Monday, December 9, 2019

Bukakan Kedua Kaki Kamu....

Wanita wajar amalkan duduk dengan gaya lelaki demi kesihatan
90% pesakit wanita duduk sambil menyilangkan kaki untuk tempoh yang lama, boleh menyebabkan kaki kebas serta kesakitan pada bahagian lutut dan pinggul.

Pakar ortopedik menyarankan untuk wanita duduk dengan gaya lelaki
bagi mengelakkan kesakitan pada bahagian lutut dan pinggul.

Bagaimana pula gaya duduk boleh menyebabkan kesakitan?

Gaya lelaki vs gaya wanita
Wanita yang duduk sambil menyilangkan kaki, memang tampak sopan.

Tetapi duduk dengan gaya itu untuk tempoh yang lama, boleh menyebabkan kaki kebas serta kesakitan pada bahagian lutut dan pinggul.

Menurut seorang pengamal perubatan di Austin, Texas, Dr Barbara Bergin, setiap tahun beliau telah melihat ribuan pesakit yang berlawan dengan kesakitan melibatkan bahagian bawah lutut dan pinggul mereka.

90% daripada pesakit itu adalah wanita.
Dr Barbara percaya faktor pemacu utama adalah kerana wanita telah dilatih untuk duduk dengan gaya kewanitaan.

Di mana lutut dirapatkan yang mengakibatkan wujudnya ketegangan pada sendi dan otot sokongan pada bahagian kaki.

Berbeza dengan individu lelaki, gaya duduk mereka adalah lebih kepada mewujudkan keluasan antara paha dan kaki mereka berpijak dengan rata pada tanah, atau istilah lain disebut sebagai “manspreading”.

Keadaan ini sekali gus memberikan badan mereka menjadi lebih stabil dan sejajar di atas kedua-dua kaki, berbanding hanya bergantung pada sebelah kaki.

Bergantung kepada keadaan
Dr Barbara juga menyatakan bahawa kedudukan gaya lelaki sama ada ketika duduk mahupun berdiri adalah lebih baik berbanding gaya wanita.

Ini kerana gaya lelaki membuatkan pelvis dapat memutarkan tulang femur ke dalam secara semula jadi.

“Saya tidak mencadangkan individu wanita untuk duduk S.L.A.M (sit like a man) sentiasa. Ini kerana sudah tentu dalam keadaan tertentu, anda perlu memastikan kaki tertutup terutama apabila memakai skirt dan berada di hadapan lelaki. Ia adalah ciri kewanitaan,” ujar Dr Barbara.

Bagaimanapun, Dr Barbara mencadangkan agar 90% daripada waktu duduk anda adalah dengan gaya lelaki.

Ia tidak mendatangkan masalah, malahan ia memberikan manfaat kepada kesihatan.

Kesakitan kronik
Ini kerana sama ada kaki mencecah tanah atau tidak, keadaan lutut yang rapat memberikan tekanan yang tidak wajar kepada dua tendon utama yang mendasari kesakitan kronik, iliotibial band syndrome (IT).

Sebelum ini sindrom ini dianggap disebabkan oleh geseran oleh IT, yang bergerak ke depan dan belakang (anterior dan posteriorly) ke atas epicondyle femoral lateral (LFE) semasa berjalan.

Bagaimanapun, dalam kajian lain menunjukkan sindrom IT ini berpunca oleh LFE yang terikat pada ligamen epicondylo-patellar dan patellar retinaculum.

Ia tidak melakukan sebarang pergerakan ketara pada sagittal plane, geseran atau menjadi punca kepada kesakitan.

Cara terbaik untuk mengatasi masalah kesakitan ini adalah dengan menghindari daripada duduk.

Alamak! Takkan seharian tidak boleh duduk? Bertenang.

Jika anda perlu untuk duduk, disarankan untuk duduk dengan tapak kaki berada dalam kedudukan rata di tanah.

Bukakan kaki anda pada kedudukan jam 11 dan 1, serta lutut berada pada paras atau bawah pinggang. Gaya duduk ini membolehkan band IT untuk meregang.

Umumnya, wanita dilabelkan sebagai individu yang sopan.

Namun itu tidak bermakna anda perlu menyeksa diri dan mendedahkan diri kepada kesakitan yang kronik.

Anda masih boleh duduk dengan sopan walaupun dengan gaya lelaki, dengan tidak perlu mengangkang secara berlebihan.

Jom ubah gaya duduk mulai hari ini! - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment