Sunday, December 8, 2019

Chin Peng: Ketua Komunis Malaya Pengkhianat Negara

Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924, dengan nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya, dan beliau sebenarnya bukan berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai, tetapi dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletak 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak.

 Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

Sejak kematian Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua pada 16 September 2013 pada usia 89 tahun, wujud perdebatan berkenaan peranannya dalam sejarah, kerana bagi ramai bekas pegawai kerajaan British dan Malaysia, bekas polis dan tentera, mereka menganggap tokoh kontroversi Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebagai pengkhianat dan merupakan punca kepada kematian lebih 11,000 orang semasa tempoh Darurat.

Namun, ada pula menganggap tanpa anak jati Sitiawan, Perak itu, Malaysia tidak akan mendapat kemerdekaan yang dijanjikan pihak British pada 31 Ogos 1957. Makanya menurut mereka, dia seharusnya diangkat setaraf dengan Mao Zedong dan Ho Chi Minh.

Untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak, ramai mengakui Chin Peng sebenarnya seorang yang bijak dan ini sudah ditunjukkan semasa penyertaan awalnya dalam parti. Dia menyertai parti semasa usia remaja dan mula mendaki hierarki PKM dengan pantas lebih-lebih selepas 1943.

Pada pertengahan tahun berkenaan, selepas parti mengalami kehilangan besar akibat ramai pemimpin tertinggi ditahan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Chin Peng terpaksa memegang dua peranan iaitu setiausaha parti di Perak dan komander Rejimen Kelima Tentera Rakyat Anti-Jepun Malaya (MPAJA).

Selepas tamat perang, dia mengambil alih peranan sebagai Setiausaha Agung PKM menggantikan Lai Teck pada usia 23 tahun. Ini kerana Lai Teck didedahkan sebagai ejen British dan turut menyeleweng dana parti berkenaan.

Dan ini membawa kepada pembunuhan bekas Setiausaha Agung PKM itu di tangan anggota komunis Thailand pada tahun 1947. Walaupun Chin Peng menafikan penglibatannya dalam pembunuhan berkenaan, ramai mengesyaki pembabitannya dalam pembunuhan Lai Teck.

Dan kerana usianya yang dianggap masih hijau dan tidak berpengalaman dalam kepimpinan, dia melakukan banyak kesilapan serius yang memberi kesan kepada perjuangan PKM itu sendiri.

Kesilapan Chin Peng
Kesilapan pertama anak kelahiran Sitiawan itu ialah membuat anggapan populasi luar bandar Cina memberi sokongan penuh kepada parti semasa tempoh Darurat, dia menyangka sokongan tersebut akan berkekalan.

Hakikatnya sejak tahun 1948, semasa bermulanya tempoh Darurat, proses pemulihan ekonomi sedang berjalan dan tiada sesiapapun yang berfikiran waras mahu terlibat dalam satu lagi konflik bersenjata yang akan merugikan mereka untuk jangka masa panjang.

Kesilapan kedua Chin Peng ialah tidak menekankan soal pendidikan politik kepada populasi luar bandar Cina. Ini kerana dia menyangka melalui taktik paksaan dan ugutan sudah mencukupi untuk mendapatkan ketaatan kepada PKM.

Memandangkan populasi itu dianggap deposit tetap PKM, makanya sebarang bentuk rungutan atau cacian terhadap parti berkenaan bukan dianggap pemikiran yang menyeleweng tetapi dianggap pengkhianatan yang layak dihukum sekeras-kerasnya.

Menurut penulis buku Communism in South East Asia iaitu JH Brimmell, komunis mempunyai definisi yang bersifat elastik berkenaan pengkhianatan dan ini bermakna sesiapa saja tidak terlepas dari dianggap suspek dan duri dalam daging terhadap parti berkenaan.

Atas sebab itulah, PKM tidak teragak-agak menggunakan taktik keganasan yang bukan saja bersifat tidak berperikemanusiaan tetapi juga tidak mengenal siapa mangsa sama ada orang awam, anggota pasukan keselamatan atau pegawai kerajaan.

Ada satu insiden di Johor di mana mereka menembak mati seorang penduduk setinggan Cina, menetak sampai mati isterinya dengan parang, membakar pondok kediaman mereka dan mencampakkan anak pasangan berkenaan dalam pondok yang terbakar itu. Di Perak pula, mereka mengetuk paku pada kepala seorang wanita Cina.

Sesiapa saja yang melihat seksaan sebegini pasti akan merasa kecut perut dan ini diakui sendiri gerila komunis yang ditahan atau menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Malah, berdasarkan satu laporan pada tahun 1952 mendapati, modus operandi kekejaman sebegini merupakan satu norma bagi ratusan insiden yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Rundingan Baling
Kesilapan sebegini yang akhirnya merosakkan terus sokongan rakyat kepada PKM dan ini juga memaksa parti membuat rancangan sandaran iaitu menyediakan parti ke arah penyertaan arena politik untuk mendapatkan kemerdekaan dan melupakan terus impian membina sebuah negara republik. Dan ini membawa kepada Rundingan Baling pada tahun 1955.

Untuk rundingan berkenaan, PKM memilih Chin Peng, Chen Tian dan Rashid Maidin sebagai wakil sementara pihak kerajaan memilih Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall.

Kita semua tahu rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang konsensus dicapai tapi ada satu perkara tidak diketahui umum antara Marshall dengan dia. Bila Ketua Menteri Singapura itu bertanya apa sebab perjuangan Chin Peng, dia hanya menjawab demi maruah manusia.

Ini menyebabkan Marshall memberi komen pedas, keganasan untuk meraih sokongan rakyat untuk mengikut ideologi yang tidak dimahukan mereka sama sekali tidak sesuai dengan alasan demi maruah yang dinyatakan orang kuat PKM itu.

Menyedari dirinya sudah terperangkap dengan alasan sebegitu, Chin Peng memberi komen, mereka mempunyai pandangan berbeza dan dia tidak mahu berbalah berkenaan itu.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Chin Peng masih tidak mahu melupakan impian membina sebuah negara republik dan ini mendorong kepada pemberontakan kedua komunis hasil pengaruh rakan-rakan parti dari Vietnam dan China pada tahun 1968. Ini kerana pada mereka, Malaysia dianggap tempat sesuai untuk satu lagi revolusi bersenjata dilaksanakan.

Jika dahulu, perang mereka ialah memerangi penjajahan British tetapi untuk fasa kedua pemberontakan, mereka memerangi kelompok yang dianggap menyokong cita-cita imperialis British dan kapitalis.

Dan ini termasuklah orang Cina termasuk anggota polis dari bangsa berkenaan yang dianggap pengkhianat oleh PKM. Ini kerana mereka bergadai nyawa dengan menyusup masuk ke dalam kumpulan gerila dan menyamar sebagai anggota komunis.

Sesetengah operasi ini turut dilakukan oleh bekas gerila komunis yang berjaya dipulihkan, sukarela menyertai Cawangan Khas dan kembali menyusup ke hutan untuk memujuk rakan-rakan mereka keluar dan meletakkan senjata.

Ganas
Dan ini menyebabkan PKM melakukan pelbagai operasi ganas seperti serangan hendap, serangan bom dan pembunuhan. Apa yang dilakukan mereka ini seolah-olah mengulangi semula kesilapan Chin Peng semasa pemberontakan pertama era Darurat.

Antara tahun 1974 hingga 1978 misalnya, sekurang-kurangnya 23 pegawai Cawangan Khas (SB) berbangsa Cina mati ditembak anggota PKM dan pada satu ketika, seorang kerani Cina yang ditempatkan di SB Kuala Lumpur ditembak mati semasa dalam perjalanan pulang ke rumah kerana disangka anggota SB.

PKM bukan saja mensasarkan anggota keselamatan, malah tidak teragak-agak mensasarkan pemberi maklumat dan orang awam terutama orang Cina.

Malah, ada satu insiden menyayat hati di mana isteri kepada seorang pegawai SB yang sarat mengandung mati ditembak anggota PKM semasa bersama suaminya keluar dari sebuah restoran di Jalan Imbi.

Pembunuhan ini dilakukan oleh pasukan pembunuh bergerak PKM dan mereka juga bertanggungjawab dalam beberapa siri pembunuhan berprofil tinggi.

Perak misalnya menyaksikan Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong mati dibunuh dua anggota komunis yang menyamar sebagai pelajar sekolah berhampiran Sekolah Anderson.

Kumpulan ini juga cuba membunuh Pesuruhjaya Polis Singapura, Tan Sri Tan Teik Khim sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 1976 tetapi cubaan tersebut gagal dan anggotanya ditahan polis.

Perang Psikologi
Kesilapan Chin Peng ini diambil kesempatan oleh pihak kerajaan melalui pendekatan psikologi yang dibawa dua tokoh iaitu mendiang Tan Sri Too Chee Chew dan mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng.

Pendekatan psikologi yang digunakan kedua-duanya mendorong ramai anggota komunis keluar dari hutan dan meletakkan senjata, di mana mereka menyalahkan keadaan dalam hutan dan layanan buruk yand diterima sebagai punca mereka keluar dan bagi PKM, ini satu perkembangan yang berbahaya.

Maka tidak hairanlah mengapa PKM yang berang dengan taktik ini cuba menculik anak perempuan Tan Sri Yuen hingga memaksa beliau menghantarnya ke Britain demi menjaga keselamatannya.

Kehebatan Tan Sri Too atau lebih dikenali sebagai C.C. Too dalam perang psikologi terhadap PKM mendorong rakan baiknya, Lim Cheng Leng yang menulis buku biografinya berkata, “C.C. Too boleh membaca fikiran komunis seperti seorang komunis.”

PKM juga tidak teragak-agak meneruskan polisi menyerang dan membunuh sasaran berprofil tinggi. Selain Tan Sri Yuen di mana beliau hampir dibunuh pada tahun 1951 semasa era Darurat dan pembunuhan Tan Sri Koo, PKM juga turut bertanggungjawab membunuh Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan tiga kali melancarkan cubaan bunuh ke atas Allahyarham Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail.

Malah, ramai tidak tahu pada tahun 1975, PKM juga melancarkan serangan ke atas Tugu Negara dengan mengebom kawasan berkenaan.

Tetapi semua itu gagal memberi sebarang makna kepada perjuangan Chin Peng. Akhirnya, PKM mengakhiri pemberontakan dengan memeterai perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna api revolusi yang tertanam dalam bekas Setiausaha Agung PKM itu sudah berakhir. Buktinya ialah pertemuan antara Profesor Madya Kumar Ramakrishnan dengan dia di London pada tahun 1998.

Profesor Kumar ketika itu sedang membuat satu tesis berkenaan zaman Darurat. Beliau bersama tiga orang profesor sejarah dan seorang penerbit British Broadcasting Council (BBC) bertemu dengan Chin Peng untuk satu dokumentari khas berkenaan zaman itu.

Dalam pertemuan selama tiga jam itu, Profesor Kumar menyifatkan dia masih lagi seorang fanatik yang enggan berputus asa memenuhi agendanya.

Beliau masih ingat bagaimana Chin Peng memberitahu krisis kewangan yang melanda Asia terutama Asia Tenggara sebenarnya memberi peluang kepada PKM untuk kembali berkumpul dan membina semula kekuatan.

Maka tidak hairanlah mengapa Profesor Kumar teringat ejekan yang dikeluarkan mendiang C.C. Too kepada kelompok komunis. Beliau berkata, “Mereka merupakan sekumpulan manusia yang mendapat pendidikan rendah, besar kepala dan gila kuasa yang cuba mengambil alih negara ini.”

Dan ini juga mendorong kepada beberapa kesimpulan iaitu; PKM gagal dalam perjuangan mereka semasa Darurat dan tempoh kedua pemberontakan kerana gagal mendapat sokongan majoriti Melayu, tiada sokongan Parti Komunis China (CCP) tidak seperti Vietcong, tiada peralatan wayarles dan gagal menguruskan organisasi mereka dengan baik.

Selain itu, kecekapan pihak berkuasa terutama semasa era Darurat dari segi perisikan dan perang psikologi yang menyebabkan organisasi itu lumpuh dan gagal memberi tekanan kepada pihak berkuasa pada akhirnya.

'Abu Chin Peng telah ditabur di Lumut, banjaran Titiwangsa'
Selepas enam tahun berada di “perantauan”, abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan telah dibawa masuk ke Perak pada 16 September 2019 lalu.

Sebelum ini, Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Menurut penyelaras kumpulan yang menguruskan kepulangan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand ke Malaysia dan sebahagiannya ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak, serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Chin Peng pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Beliau juga pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM, menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Namun, selepas kematian Chin Peng, kerajaan Malaysia menegaskan untuk tidak akan membenarkan abu mayat Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

Bukan Pejuang Kemerdekaan
Jika benarlah dakwaan Chin Peng bahawa perjuangan PKM itu sebenarnya mempercepatkan lagi proses kemerdekaan, maka itu merupakan satu dakwaan yang bersifat dangkal.

Ini kerana pencapaian yang dicapai parti-parti politik Tanah Melayu terutama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melebihi apa yang cuba dicapai PKM melalui perang gerila mereka.

Selain itu, pendekatan ganas mereka dan pendedahan wujud diskriminasi terhadap orang Melayu terutama dalam PKM sendiri makin membuatkan mereka tawar hati dengan PKM, sekaligus mendorong mereka menyokong perjuangan meraih kemerdekaan melalui jalan rundingan dan bukan konflik bersenjata.

Bagi Profesor Kumar sendiri, dakwaan Chin Peng berkenaan peranan PKM untuk kemerdekaan sudah rosak sejak dari awal lagi. Ini kerana ia dipengaruhi pertama, strategi Britain yang bergabung dengan negara-negara blok Barat diketuai Amerika Syarikat dalam Perang Dingin.

Walaupun Perang Dingin sedang berlangsung, itu tidak menghalang para penjajah terutama Britain meneruskan dasar dekolonisasi termasuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahan mereka termasuk Tanah Melayu.

Kedua, hujah David Marshall seperti dinyatakan di atas.

Jika benarlah dakwaan Chin Peng bahawa dia berlawan demi maruah manusia, maka matlamatnya itu mestilah bersesuaian dengan kaedah yang digunakan. Rekod sejarah jelas menunjukkan apa yang berlaku sebaliknya.

Profesor Kumar turut menambah, walaupun Chin Peng memang seorang pemimpin berkaliber dan bijak tetapi dia juga seorang fanatik dengan agendanya itu.

Kepercayaan sebegini yang akhirnya membawa kepada pelbagai serangan pengganas yang berlaku di seluruh dunia tanpa mengira agama, bangsa atau negara.

Maka, adalah elok untuk dinyatakan di sini Chin Peng memang seorang fanatik, tetapi dirinya dan PKM diangkat sebagai wira negara sehingga dicadangkan patut diabadikan dalam buku teks sejarah negara? Tidak patut sama sekali.

Sumber : www.sentiasapanas.com

No comments:

Post a Comment