Saturday, December 28, 2019

Kerajaan Bertindaklah!

Jangan biar si `penghasut' Dong Zong terlepas
KENYATAAN terbaharu dari Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ng Chai Heng yang takut murid-murid diislamkan jika pembelajaran tulisan jawi diteruskan amat menjengkelkan.

Secara logik akal, mampukah pembelajaran tiga muka surat dengan tujuh perkataan antaranya bersekutu, bertambah, mutu, bank, negara dan Malaysia mengubah pegangan agama seseorang.

Jangan menjadi terlalu paranoid Dong Zong dan cuba menggunakan agama Islam sebagai perisai untuk menutup sikap perkauman anda.

Jawi adalah bahasa Melayu yang tidak membawa kepada pengislaman, nahu jawi jauh langit dari bumi dengan bahasa Arab.

Ejaan jawi bunyinya berbeza dengan ayat al-Quran walaupun hurufnya sama tetapi hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza.

Siapakah agaknya gerangan mereka yang telah menyemai benih dalam benak hati dan sanubari Dong Zong bahawa belajar jawi akan menyebabkan masuk Islam.

Sudah dua kali kerajaan melalui Kementerian Pendidikan menyatakan pengajaran jawi hanyalah pilihan di sekolah vernakular, dan ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan sama ada subjek itu boleh diajar atau sebaliknya.

Kes tutup, nokhtah di situ dan mengapa perlu lagi dianjurkan Kongres Organisasi Cina? Adakah untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu yang selama ini hanya memendam rasa.

Justeru, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap Dong Zong yang dilihat cuba menjadi `penghasut’ dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Jika tidak dikawal segera keharmonian yang ditanam sejak merdeka mungkin terburai dan adakah perkara seperti ini kita semua mahukan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai bekas Menteri Pendidikan pastinya sangat faham dengan ragam Dong Zong dan penulis yakin beliau sedang menunggu masa untuk bertindak.

Beliau memiliki kuasa di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966, untuk mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau akhlak. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment