Thursday, December 26, 2019

Dong Zong Antiperpaduan, Tak Mustahil Cetus Huru-Hara

Tiada mana-mana catatan kata orang Melayu tolak Mandarin, Tamil
BANGI – Tidak mustahil himpunan 28 Disember yang digerakkan kumpulan pendesak Cina, Dong Jiao Zong (Dong Zong), akan mencetuskan huru-hara di antara kaum sebagaimana yang pernah berlaku pada insiden 13 Mei 1969.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, bukan sahaja DAP yang dikaitkan di sebalik gerakan itu, bahkan ia turut membabitkan parti berasaskan kaum, MCA dan Gerakan.

Beliau berkata, hampir keseluruhan gerakan Cina di negara ini mungkin terbabit dalam himpunan pada Sabtu, kononnya untuk menolak pelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, selain menyasarkan desakan berkenaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Dalam keadaan ini, semua gerakan Melayu perlu memikirkan bagaimana kaedah yang sesuai dan wajar untuk kita ambil. Kita bukan mahu berkonfrontasi, tetapi gunakan gerakan akal dan pemikiran untuk berhujah,” katanya pada temu bual Cakap Serupa Biki di TV Pertiwi, hari ini.

Sebelum ini, KPM telah memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman tulisan jawi yang hanya memberi tumpuan terhadap teks pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Secara keseluruhannya, terdapat empat teks jawi yang berbunyi: ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ dalam jata negara, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ pada nota ringgit serta ‘Malaysia’ pada setem.

Kumpulan pendesak Cina itu juga dilaporkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, pertubuhan rasis itu turut meminta lembaga pengelola dan PIBG sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada kementerian sebagai tanda bantahan.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin turut menyifatkan kumpulan yang menentang kepada pelaksanaan tulisan jawi dan mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai antiperpaduan.

“Bukan hanya isu tulisan jawi, bahkan UEC juga menolak perpaduan kerana berada di luar sistem kita. Saya dapati bahawa pihak ini berada di luar kerangka perpaduan.

“Pada mereka, perpaduan itu adalah dengan cara multilingual dan multicultural, sedangkan titik yang menyatupadukan pelbagai agama, bangsa dan budaya adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Berani untuk saya katakan, mereka ini adalah antiperpaduan,” katanya.

Beliau berkata, gerakan seumpama ini sengaja diwujudkan dan diperbesarkan untuk menolak perpaduan yang berasaskan induk masyarakat kebangsaan.

“Tiada mana-mana catatan yang mengatakan orang Melayu menolak Mandarin dan Tamil. Jadi di sini, kebijaksanaan orang Melayu lebih dasyat dalam memikirkan dan melihat kepelbagaian Malaysia.

“Sedangkan mereka (kumpulan pendesak) melihat perkara ini dengan kewarasan yang rendah, kononnya merekalah lebih baik dengan sedikit kekuatan politik dan kekuasaan ekonomi yang dimiliki,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment