Abu Ching Peng setara musuh Islam paling tegar seperti Abu Lahab
TERUJA membaca berita Malaysiakini bertajuk ‘Persatuan Pendamai Hat Yai: Abu Chin Peng isu kecil yang sengaja dipolitikkan’. Abu Chin Peng atau abu mayat Chin Peng? Saya fikir media ultra kiasu sengaja menggunakan istilah Abu selepas nama Chin Peng menjadi Abu Chin Peng supaya setara dengan nama Abu Bakar.
Sedangkan Abu Ching Peng setara dengan abu-abu yang menjadi musuh Islam paling tegar seperti Abu Lahab dan Abu Jalal.
Ultra kiasu merasa hairan kenapa rakyat Malaysia tidak dapat menerima Chin Peng seperti mana negara Thailand. Thailand begitu terbuka menerima komunis Chin Peng. Kenapa tidak kita di Malaysia? Sedap betul cakap ultra kiasu ini. Mentang-mentang ultra kiasu berada dalam Kabinet, bukan main lagi lagak cakapnya.
Jika Thailand terbuka dengan komunis, itu tidak bermakna Malaysia perlu ikut rentak Thailand. Negara Thailand tidak pernah dijajah. Negara Thailand tidak merasai dizalimi, dibunuh dan dianiayai komunis, berbanding negara kita.
Pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai, Indrajaya Abdullah, yang juga menantu Abdullah CD, pemimpin komunis berbangsa Melayu berkata, abu mendiang Chin Peng sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia.
Malah Inderajaya turut berkata, sempena majlis Memperingati Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di Songkla, Thailand, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sepatutnya lebih bertoleransi dalam isu ini.
Pengalaman di Thailand menunjukkan komunis berasa sangat bebas dan tidak ada apa-apa diskriminasi dalam hal ini. Jika begitu keadaannya, tinggal sahaja di Thailand, kenapa perlu kembali ke Tanah Melayu di sini. Negara kita mempunyai sejarah sangat hitam dengan komunis.
Catatan sejarah membuktikan, sepanjang zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman dilakukan komunis terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam. Komunis membunuh sebanyak 2,083 anggota keselamatan negara dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera.
Begitulah jahatnya komunis yang diketuai Chin Peng. Siapa kata komunis ini pejuang atau hero kemerdekaan? Penentangan Cina komunis terhadap Jepun bukan mahu memerdekakan negara, tetapi lebih kepada permusuhan panjang antara kedua negara ini. Justeru, saya cukup hairan dengan mereka yang terpengaruh mengatakan komunis ini pejuang.
Hanya ultra kiasu komunis sahaja yang mengiktiraf komunis itu pejuang. Sebab itu abunya dibenarkan bawa masuk. Ketua komunis yang yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya dikatakan dapat “kembali ke rumah” pada 16 September sempena Hari Malaysia. Satu perancangan yang cukup halus, licik dan berstrategi. Menunjukkan kemenangan komunis kembali ke tanah air ini.
Menurut kumpulan pengurusan abu mayat, abu mayat Chin Peng dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya. Kenapa baru sekarang uar-uarkan abu mayat setelah lebih dua bulan? Kenapa selepas kekalahan teruk dalam PRK Tanjung Piai, baru diberitahu?
Untuk makluman, pihak kerajaan telah menandatangani perjanjian damai atau meletak senjata dengan PKM di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989. Namun, itu bukan bermakna kekejaman komunis mampu dihapuskan dalam lipatan kenangan dan sejarah tanah air. Ultra kiasu masih menganggap komunis sebagai hero.
Pada 2 Disember 2019, sambutan diadakan, di Hotel Lee Garden itu dihadiri sekitar 1,000 orang bekas dan ahli keluarga komunis. Turut dihadiri senator Thailand, dan bekas Panglima Tentera Thailand dan bekas anggota PKM dari Thailand.
Ingin saya bertanya, adakah persatuan yang menganjurkannya, Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai, berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS)? Tersangat musykil jika berdaftar. Atas alasan apa RoS meluluskan pendaftaran pertubuhan komunis ini? Jika tidak berdaftar, ini perhimpunan haram oleh pertubuhan haram. Polis mesti segera bertindak.
Ideologi komunis sangat bertentangan dengan Islam. Berhati-hatilah terhadap tipu daya komunis yang mempropagandakan seolah-olah Islam sama seperti komunisme. Tujuan mereka sebenarnya ialah untuk mempengaruhi umat Islam supaya menyokong usaha-usaha mereka untuk menjajah negara ini apabila hasrat mereka dahulu tidak tercapai.
Justeru, saya memohon kerajaan segera tangani komunisme ini daripada merebak. Abu mayat Chin Peng, satu hal. Bagaimana pula dengan tugu komunis yang dibina dalam Taman Peringatan Nilai? Kenapa tidak dirobohkan? Boleh dikatakan semua pemimpin parti Cina pernah bertafakur di hadapan tugu komunis. Tanya presiden MCA jika tidak percaya?
Justeru, saya mohon kepada pihak berkuasa, segera tangani ideologi dan gerakan komunis daripada terus merebak.
Pertamanya, tangani dan kawal perjalanan SJKC, SMJKC, SPC, Kolej Universiti New Era, Kolej Unversiti Han Chiang dan semua institusi pendidikan di bawah kawalan Dong Jiao Zong. NGO ini membawa pemikiran komunis.
Sehari sebelum ‘reunion’ bekas komunis ini, di Kolej Universiti New Era College, Kajang, perhimpunan yang sama telah pun diadakan. Ingat! Sebahagian besar pelajar SJKC, SMJKC, SPC, belajar di sini.
Pada 30 November 2019, perhimpunan turut diadakan di Dewan Persatuan Bola Keranjang Kuala Langit, Banting, atas nama Konvensyen Kebangsaan Persahabatan Berpanjangan Kali Ke-12 oleh Persatuan Persahabatan Lao You, Banting Selangor.
Ahli-ahli persatuan komunis ini begitu berani menyentuh dasar-dasar kerajaan. Antaranya menyentuh pertambahan jumlah kakitangan awam adalah tidak sihat kepada pertumbuhan ekonomi, terutama sekali melibatkan pembiayaan pencen yang tinggi.
Komunis ini turut menyelar orang Melayu dan Bumiputera dengan mengatakan pembayar cukai di kalangan orang Melayu Semenanjung dan Bumiputera Sabah Sarawak adalah terlalu rendah bagi menampung pertumbuhan ekonomi negara. Orang Islam dikenakan zakat namun zakat hanya untuk membantu orang Islam yang miskin sahaja. Sedangkan zakat itu pula tidak dikenakan cukai.
Komunis ultra kiasu juga turut mendesak agar Tun Dr Mahathir Mohamad segera melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sedang disandangnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disokong kuat oleh ultra kiasu.
Pemimpin komunis tegar turut menyeru kepada semua pemimpin Cina agar memperhebatkan kempen terutama dalam isu pendidikan Cina demi masa hadapan masyarakat Cina di Malaysia. Kenapa? Di sinilah kubu ideologi komunis ditanamkan.
Dalam sambutan majlis di Kolej Universiti New Era, komunis-komunis ini turut memberikan sumbangan bernilai RM40,000 kepada kolej tersebut yang turut bersama menganjurkan perhimpunan haram komunis ini.
Kolej komunis ini juga turut menerima sumbangan begitu besar daripada kerajaan hari ini. Kolej komunis ini juga mendesak kerajaan mengkaji semula buku teks sejarah mengikut naratif Malaysia baharu.
Insiden nyanyian lagu Negaraku, versi Cina, di salah sebuah SJKC Seremban sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Komunis sentiasa hidup dalam versi yang berlainan.
Singapura tetap kekal, “Majulah Singapura”, tanpa diubah walau sedikit meskipun telah berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965. Begitu ‘command’ tentera tetap kekal dalam bahasa Melayu.
Seteruk-teruk ultra kiasu Singapura, mereka tetap hormati jati negara dan lagu negara mereka. Kekal dalam bahasa Melayu. Teramat-amat hina sekali jika ada rakyat Malaysia yang melakukan perkara ini.
Semua bukti ini menunjukkan ada beberapa Sekolah Cina (SJKC, SMKJC), Sekolah Persendirian Cina (SPC), Institusi Pendidikan Tinggi Cina seperti Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Han Chiang menjadi pusat pemikiran ideologi komunis.
Polis hendaklah segera menyiasat semua institusi pendidikan Cina terutama yang ada kaitan langsung dengan Dong Jiao Zong, pertubuhan komunis ini.
Oleh: Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment