Wednesday, December 18, 2019

PH Memerintah Lagi Teruk Dari BN

Pelbagai isu ancam Islam timbul, aset dijual konon bayar hutang
BANGI – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya menempelak kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang menafikan bahawa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih makmur dari Pakatan Harapan (PH).

Haji Aminuddin berkata, pentadbiran di zaman BN tidaklah terlalu sempurna bagi memerintah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, namun pemerintahan PH hari ini lebih teruk.

Beliau berkata, pelbagai isu yang menjadi ancaman kepada umat Islam ditimbulkan termasuk Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom, pemansuhan hukuman mati, pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), pembelajaran tulisan jawi, dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Ini semua berpunca apabila negara dikawal oleh DAP dan bukan lagi orang Melayu.

“Pertelagahan di kalangan pimpinan Melayu juga punca mereka tidak ambil berat soal kebajikan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Khalid menafikan dakwaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa ekonomi negara hari ini tidak semakmur semasa pentadbiran BN dulu, hingga mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

“Bila dikata dikurangkan perjawatan awam itu tidak mencerminkan keadaan ekonomi negara, sebaliknya hanya mencerminkan bahawa adanya peningkatan dari segi efisiensi dan aktiviti di kalangan kakitangan kerajaan dan sebagainya dan juga penggunaan teknologi yang menyebabkan tidak perlu jumlah yang ramai untuk melakukan kerja yang sama,” kata Khalid.

Tidak bersetuju dengan perkara itu, Haji Aminuddin menegaskan, banyak aset-aset negara dijual, kononnya dengan alasan untuk membayar hutang walhal hutang negara semakin bertambah.

Beliau berkata, ramai pelabur yang lari dan membatalkan hasrat untuk melabur di negara ini.

Katanya lagi, perkara berkenaan juga berpunca daripada ketidaktentuan suasana politik negara yang masih tidak tahu mengenai transisi antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedudukan ekonomi orang Melayu semakin terkebelakang dan jurang pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu juga semakin besar.

“Malah, pengangguran semakin meningkat dan ramai pekerja dibuang. Ini semua akan mengakibatkan isu sosial kian meruncing.

“Jika kerajaan tidak segera tangani isu ini, maka Malaysia akan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran lain di rantau Asia,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment