Wednesday, December 25, 2019

Jawi: Perjuangan Dong Zong Makin Rancak Selepas PRU14

Cakap Melayu pun tak mahir bila membesar dengan pendidikan luar
BANGI – Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kumpulan pendesak Cina, Dong Zong melampau kerana merancang mengadakan persidangan untuk membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Beliau berkata, perjuangan pertubuhan rasis berkenaan dilihat semakin rancak setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

“Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, mereka masih boleh berlembut lagi tetapi pada zaman PH, Dong Zong seolah-olah mendapat sokongan.

“Sejak daripada zaman BN dahulu pun kita dapati memang kumpulan ini sentiasa perjuangkan penggunaan bahasa yang tidak mesra dengan Perlembagaan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Kongres Organisasi Cina dijadual diadakan pada 28 Disember ini kononnya untuk membantah garis panduan pengajaran tulisan Jawi terkini oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Kongres itu bertujuan menggesa kerajaan membatalkan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi di sekolah vernakular.

Garis panduan baharu oleh kementerian membenarkan ibu bapa memutuskan sama ada pengajaran itu boleh diperkenalkan di sekolah. Pengajaran akan diteruskan jika lebih daripada separuh ibu bapa murid bersetuju.

Dong Zong tidak bersetuju dengan syarat itu kerana dilihat akan menimbulkan perselisihan dan menyebabkan ketidakharmonian antara ibu bapa berbeza kaum yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular.

Kumpulan pendesak itu menegaskan bahawa lembaga pentadbir sekolah sepatutnya diberi kuasa untuk memutuskan mengenai pelaksanaan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi yang dijadualkan bermula tahun depan untuk murid tahun empat.

Menyelar penganjuran Dong Zong itu, Che Abdullah berkata, kongres itu adalah perjuangan yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia bercanggah dengan dasar-dasar asas negara.

Beliau berkata, persidangan berkenaan juga bukan sahaja tidak selaras dengan dasar pendidikan Malaysia, bahkan bercanggah dengan mana-mana dasar pendidikan di negara lain.

“Kalau kita lihat di Thailand, Indonesia dan di Barat sekalipun, aliran pendidikan mestilah menggunakan satu bahasa dalam usaha untuk memupuk perpaduan.

“Jadi, kumpulan ini macam memecah-belahkan rakyat, seolah-olah memisahkan rakyat daripada Malaysia, kerana mereka memperjuangkan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan.

“Dan apabila membesar dengan sistem pendidikan mereka, untuk bercakap bahasa Melayu pun mereka tidak mahir. Apa yang lebih teruk ialah hari ini pun kita lihat ramai di kalangan Ahli Parlimen yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment