Sunday, December 29, 2019

Dong Zong Makin Angkuh Bantah Pembatalan Himpunan

Mahkamah, polis dipertikai tak mustahil raja jadi mangsa seterusnya
BANGI – Keangkuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) semakin terserlah apabila membidas pihak keselamatan yang mendapatkan injunksi dari mahkamah, untuk membatalkan persidangan membantah pengajaran tulisan jawi, hari ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pertubuhan rasis itu menjadikan pihak keselamatan sebagai mangsa seterusnya, selepas mengenepikan arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, para menteri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk membatalkan persidangan itu.

“Keberanian mereka ini mesti ada sebab, ianya adalah mustahil untuk mereka berani bersuara kalau tidak mendapat ‘back up’ dari sesiapa.

“Kenyataan parti-parti politik mereka iaitu MCA, DAP dan GERAKAN jelas menyokong mereka secara bersungguh-sungguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, penganjur Kongres Organisasi Cina hari ini membantah tindakan pihak polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang kongres berhubung pembelajaran tulisan jawi yang sepatutnya diadakan hari ini.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim ketika membacakan kenyataan daripada 17 kumpulan berkata, mereka sangat tidak senang dengan tindakan pihak berkuasa itu.

Semalam, Dong Zong akur setelah polis mendapatkan perintah Mahkamah Kajang, yang mengarahkannya untuk membatalkan persidangan berkaitan isu tulisan jawi.

Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata, pihaknya tiada pilihan lain melainkan untuk menurut perintah yang dikeluarkan mahkamah.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin menyifatkan bahawa keberanian Dong Zong untuk bersuara bukanlah sikap biasa kerana terdapat agenda tersirat yang lebih besar perlu dicapai.

Tambahan pula, dakwanya, mungkin terdapat kuasa yang lebih tinggi daripada parti-parti politik yang menyebabkan Dong Zong semakin lantang bersuara.

“Perkara ini memerlukan satu siasatan supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk,” tegasnya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin tidak menolak kemungkinan sekiranya suatu hari nanti raja-raja Melayu akan menjadi sasaran untuk Dong Zong membuat bantahan.

“Jika mahkamah dan pihak polis pun mereka boleh pertikai, maka ini bermakna mereka anggap mereka lebih tinggi dan lebih berkuasa.

“Rakyat mesti berhati-hati dengan Dong Zong kerana mereka bukan sebarang gerakan dan mempunyai ‘back up’ yang kita tidak tahu kekuatannya.

“Mungkin kekuatannya boleh mengancam keselamatan negara, siapa tahu?” soalnya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment