Wednesday, December 18, 2019

Sekolah Vernakular Bercanggah Perlembagaan Persekutuan

MAPPIM, GPMS fail writ saman isytihar sekolah vernakular bercanggah Perlembagaan
BANGI – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), hari ini, memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan writ saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur dibuat menerusi peguamcara Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.

Saman berkenaan menamakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, dan difailkan bagi mendapatkan pengisytiharan oleh Mahkamah bahawa kewujudan vernakular adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa kebangsaan di bawah Fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemfailan saman ini adalah susulan dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11 November 2019 lalu, yang menolak permohonan seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, bagi mencabar keabsaban kewujudan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia, kerana menurut Mahkamah Persekutuan, permohonan tersebut sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, dan bukan di Mahkamah Persekutuan.

“Justeru, atas keputusan Mahkamah Persekutuan, GPMS dan MAPPIM telah mengambil inisiatif bagi memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi, supaya persoalan penting tentang keabsaban kewujudan sekolah-sekolah aliran vernakular adalah sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan dapat diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada masa sama, peguamcara itu berkata, GPMS dan MAPPIM telah memilih untuk melantik peguam kanannya, Haniff Khatri Abdulla sebagai kaunsel utama mewakili kedua-kedua gerakan ketika perbicaraan di mahkamah kelak.

“Kami juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa GPMS dan MAPPIM menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran.

“Tetapi, menolak mana-mana bahasa asing tersebut dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam, yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” katanya.

Dalam saman dan writ tuntutannya, GPMS dan MAPPIM memohon perintah untuk suatu pengisytiharan bahawa Seksyen 2,17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), setakat mana SJKC dan SJKT yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing adalah bercanggah dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, perkara berkenaan adalah tidak sah dan terbatal setakat percanggahan itu.

Plaintif juga memohon suatu pengisytiharan bahawa kewujudan SJKC dan SKJT adalah bercanggah dengan Perkara 5 iaitu hak terhadap kehidupan yang bermaruah dan Perkara 8 iaitu hak kesaksamaan.

Malah, kedua-dua sekolah vernakular berkenaan turut bercanggah dengan Perkara 10 iaitu hak berekspresi, Perkara 11 iaitu kebebasan beragama serta Perkara 12 iaitu hak terhadap pendidikan.

Turut dimohon, antaranya Dr Maszlee dan kerajaan hendaklah diperintah mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kewujudan sekolah vernakular yang sedia ada di negara ini diselarikan dengan peruntukan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh enam tahun daripada tarikh mahkamah memberi penghakiman.
- www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment