Tuesday, December 11, 2012

Indah Hidup Jika Melayu Bersatu - ii

SALAHKAH MEMPERJUANGKAN BANGSA?
APA yang sering saya dengar adalah "Kenapa memperjuangkan bangsa, bukankah perjuangkan Islam itu lebih bagus dan diredhai Allah?" Memang benar, Allah tidak melihat hamba-Nya daripada bangsa apa kita dilahirkan, ataupun wajah kita yang cantik dan tampan, tetapi Allah melihat daripada taqwa hamba kepada-Nya.

Bagi saya mereka tidak faham apa maksud BANGSA dan AGAMA.

Mereka sering dimomokkan oleh Pas agar meninggalkan perjuangan bangsa.

Saya tidak bersetuju dengan ideologi pembawakan 'agama' semata-mata. Saya suka menggabungkan elemen Islam dan Melayu kerana kedua-dua itu adalah sealiran untuk diperjuangkan.

Tetapi apabila saya berkata kita juga perlu memperjuangkan bangsa Melayu, saya dilabel sebagai pecacai UMNO dan seorang sekular. Padahal saya tidak pernah masuk UMNO dan UMNO tidak pernah pula membayar saya untuk bercakap seperti itu.

Islam adalah cara hidup yang Allah redhai. Diciptakan kita manusia hanyalah untuk beribadat kepada Allah dan cara hidup yang Allah redha adalah dengan Islam mengikut cara Rasulullah dalam beribadah.

Jika kita dilahirkan dalam bangsa lain yang kafir, belum tentu Allah memberi kita peluang memeluk agama Islam. Berapa ramai kawan-kawan kita yang lahir bukan Islam, hidup secara kafir dan mati juga dalam keadaan tidak mentauhidkan Allah?

Oleh kerana itu, saya bersyukur kerana dilahirkan dalam bangsa Melayu yang Allah sudah muliakan dengan Islam, sekurang-kurangnya Allah sudah beri nikmat Islam untuk kita amalkan dalam hidup kita menuju syurga-Nya.

Bagaimana pula dengan memperjuangkan bangsa? Adakah salah?

"JIKA SAYA ORANG ASLI"
SAYA suka berkongsi tentang tamsilan yang selalu Ustaz Kazim Elias ceritakan sebagai perlambangaan dalam perjuangan bangsa.

Kata Ustaz Kazim:

Saya ini Orang Asli. Saya duduk dalam kampung yang serba kekurangan. Saya belajar di sekolah rendah, selepas itu masuk sekolah menengah dan masuk Universiti.

Habis Universiti saya dapat pekerjaan yang baik. Bila sudah senang, saya mahu pulang semula ke kampung saya. Seperti dahulu, kampung saya masih serba kekurangan. Tiada elektrik, tiada bekalan air yang bersih, tiada jalan bertar dan tiada sekolah yang sempurna.

Saya sebagai seorang yang berkedudukan dan berpengaruh, pasti mahukan perubahan kepada kampung saya dan memberi kemudahan kepada orang kampung saya.

Oleh kerana itu, saya perlu memperjuangkan nasib bangsa saya kepada kerajaan untuk membina jalan raya, menyalurkan elektrik ke dalam kampung saya, memberi biasiswa dan bantuan persekolahan kepada anak bangsa saya, Orang Asli.

Apa yang dibuat itu adalah satu perjuangan bagi memastikan bangsa saya (Orang Asli) hidup senang dan mendapat pembelaan.

PERJUANGAN BANGSA ITULAH MEREKA DAPAT KESENANGAN
SELAMA bertahun-tahun, UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Berkat usaha itulah ramai anak-anak Melayu dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Lihat sahaja bukti-bukti di dalam Pas, terlalu ramai profesional yang berjaya atas perjuangan UMNO membela mereka.

Ijazah Kedoktoran itu siapa yang biaya?

Belum lagi dikira bagi mereka yang belajar di universiti di luar negara dan mendapat biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran di Mesir dan sebagainya.

Jika UMNO tidak berfikir tentang agama, sudah lama tidak ada anak Melayu yang dihantar belajar agama di luar negara.

Dalam perjuangan bangsa itulah kita bangsa Melayu menikmati pelbagai kesenangan sekarang.

Disebabkan itu jugalah UMNO dicerca dan dituduh sebagai parti yang tidak buat Islam.

Yang hanya dikatakan pejuang Islam adalah orang yang memakai serban dan jubah, juga bagi mereka yang membaca ayat al-Quran dalam ceramah-ceramah sahaja. Islam bukan hadir hanya untuk menghukum manusia dengan hukum Hudud, tetapi Islam adalah cara hidup berkasih sayang dan mentauhidkan Allah.

Hanya kerana kita di Malaysia masih lagi belum mengamalkan hukum Hudud sudah dituduh tidak Islam. Mereka lupa, buat jalan raya adalah syariat, buat sekolah adalah syariat, menyambung paip air adalah syariat, bina masjid adalah syariat dan membina Bank Islam adalah syariat. Cuma UMNO jarang mengungkit apa yang mereka buat adalah sebuah perjuangan untuk agama Islam.

Oleh itu, salahkah memperjuangkan bangsa? Hebat sangatkan perjuangan Islam Pas selama ini?

Apa yang kita boleh banggakan dengan 'perjuangan Islam' yang Pas banggakan itu? Adakah hanya dibanggakan dengan banyaknya ceramah dan mentarbiah Abby Abadi? Sudah cukupkah negeri Kelantan dengan pentadbiran Pas? Jangan fikir Islam itu hanya ceramah dan ceramah, tanpa memikirkan tentang fardhu kifayah.

INDAHNYA HIDUP MELAYU BERSATU
BAYANGKAN bagaimana Rasululullah SAW dapat mentadbir Madinah dengan baik jika penduduk Madinah tidak hidup secara harmoni?

Bayangkan jika Aus dan Khazraj tidak disaudarakan oleh Nabi sebagai kaum Ansar?

Bayangkan juga jika kaum Ansar tidak menerima kaum Muhajirin Mekah di tanah Madinah?

Bolehkah Islam itu dilaksanakan dengan baik?

Jawapan yang mudah mengapa Islam tidak dapat ditegakkan secara total di Malaysia adalah kerana umat Islam khususnya orang Melayu tidak bersatu.

Jangan mimpi UMNO nak laksanakan Islam dengan baik tanpa bantuan daripada Pas. Dan Pas juga jangan berangan nak buat Islam seorang-seorang tanpa bantuan daripada UMNO, bertanding pun 66 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, bagaimana mahu buat Islam di Malaysia? Dalam Buku Jingga juga tidak menyatakan bahawa Pakatan Rakyat nak buat Hudud.

Oleh itu, saya tetap akan terus berdoa kepada Allah agar diberi keterbukaan hati sesama Islam di antara kita. Sesungguhnya persaudaraan dan silaturahim itu amat besar rahmatnya daripada Allah Subhanahu Wa Taa'la.

Oleh : Jamal Rafaie Dot Com

2 comments:

  1. Persoalannya...UMNO dah 66 TAHUN..wujud dimuka bumi...dan BRITISH dah bagi 55 tahun MERDEKA...BRITISH bagi kat orang MELAYU kuasa...bebas MERDEKA...tetapi ...kenapa MELAYU UMNO sendiri pun...PECAH BELAH...jadi S46 dan PKR...????

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apakah Tok Janggut tidak merasakan bahawa `kuasa, hasad-dengki, dendam dan tamak' punca segala angkara.....dan kita patut bersyukur masih ada pemimpin yang jujur diantara kita ! !

      Delete