SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang menjadi tumpuan politik tempatan ekoran kenyataan kontroversi sejak baru-baru ini, mengakui negara demokrasi memerlukan pembangkang.
Bagaimanapun menurut beliau, barisan pembangkang itu sewajarnya terdiri daripada barisan "berkualiti" untuk menstabilkan hala tuju negara.
Musa yang bersara sebagai Ketua Polis Negara dua tahun lalu berkata, pembangkang dapat mengelak kerajaan daripada "bermaharajalela", dengan menggunakan kuasa ke atas rakyat secara sewenang-wenangnya.
"Sesebuah negara demokrasi perlu ada pembangkang, tapi perlu ada kualiti untuk menentukan apa yang perlu dibantahnya.
"Kalau tak ada pembangkang, pemerintah kerajaan akan bermaharaja lela dalam menggunakan kuasa.
"Bukan buat bantahan sesuka hati yang akan mencetuskan perkara lain yang ancam keselamatan dan sebagainya," kata beliau pada Wacana Sinar Siri ke-16, bertajuk "Politik Samseng Di Mana Maruah Kita?" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
Musa mendapat liputan media baru-baru apabila mendakwa Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan dalam Polis Diraja Malaysia.
Kenyataan itu mencetuskan tanda tanya sama ada beliau akan menyertai politik. Bagaimanapun Musa menegaskan beliau tidak berminat menyertai politik.
Negara menyaksikan buat pertama kali Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu.
Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka diadakan Mac depan.
Mengulas lanjut, Musa juga berkata, pembangkang tidak perlu turun ke "jalan raya" untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan.
Menjawab pertanyaan yang berkisar peranan polis terhadap politik samseng, beliau berkata, pembangkang juga perlu mengubah persepsi terhadap anggota polis yang mengatakan badan berkanun ini tidak adil dan memihak kepada kerajaan BN.
Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan secara adil jika timbul masalah terhadap kedua-dua parti politik.
"Oleh kerana pembangkang ramai-ramai turun ke jalan itu tidak betul, sepatutnya anggap polis anggap sebagai kawan bukan anggap musuh dan berpihak kepada kerajaan sahaja.
"Kedua-dua pihak kita siasat kalau terlibat masalah, bukan kita propaganda tetapi kalau masalah ini tidak kawal, akan jadi masalah contohnya seperti 13 Mei.
"Semua kena bersama-sama untuk perbetulkan kedaan," katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment