MALAYSIA dan Indonesia ialah dua negara berjiran yang ibarat saudara kandung. Kedua-duanya penduduknya majoriti beragama Islam dan dari rumpun Melayu. Walaupun masyarakatnya banyak persamaan, namun majoriti ulama dan rakyat Indonesia tidak mahukan ‘Negara Islam’ sedangkan ramai ulama dan sebahagian masyarakat Islam di Malaysia menuntut didirikan ‘Negara Islam’ dan melaksanakan hudud. Mengapa begitu?
Hujung minggu lepas, Haji Agus Sunyoto, seorang ahli sejarah dan pensyarah falsafah di Universitas Brawijaya di Malang, datang ke Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan ketua Lesbumi iaitu Lembaga Seni Budaya Muslim Indonesia, di bawah Nahdlatul Ulama, sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia.
Pak Agus Sunyoto berkongsi ilmu di sebuah forum anjuran Sisters in Islam, mengenai sejarah pengembangan Islam di Tanah Jawa, Indonesia.
Menurutnya, Islam di Indonesia hanya berkembang luas pada abad ke 14 dan 15, dan antara pengembang Islam yang penting di Tanah Jawa ialah para ulama berasal dari Champa, Vietnam. Di Indonesia dan juga Malaysia, pendakwah-pendakwah tersebut dikenali sebagai Wali Songo (Wali Sembilan) manakala di Mindanao, mereka dikenali sebagai Wali Pitu (Wali Tujuh). Ada ulama Wali Songo, seperti Syeikh Datuk Abdul Jalil yang dikenali sebagai Syeikh Siti Jenar, berasal dari Melaka dan Sunan Kalijaga juga berguru di Pulau Upih, Melaka.
Mesra budaya dan pejuang hak rakyat berbilang agama
Menurut Pak Agus, antara sebab utama masyarakat tempatan waktu itu sudi menerima ajaran Islam yang diperkenalkan oleh para Wali Songo ialah kerana para ulama Wali Songo dapat memahami cara hidup dan amalan budaya masyarakat tempatan. Mereka menggunakan hikmah dan budi bicara yang lembut serta bersikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.
Beberapa ulama Wali Songo seperti Sunan Bonang ialah orang-orang yang mula sekali memperkenalkan musik gamelan dan pertunjukan wayang kulit di Indonesia dan juga Malaysia, yang mereka gunakan sebagai alat penyampai dakwah.
Masyarakat tempatan waktu itu juga tertarik dengan ajaran Wali Songo seperti Syeikh Datuk Abdul Jalil yang dikenali sebagai Syeikh Siti Jenar, kerana beliau menentang penindasan dan ketidakadilan. Dengan berasaskan konsep tauhid iaitu mengakui bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Tuhan, Syeikh Siti Jenar telah merubah struktur masyarakat agar rakyat jelata tidak dieksplotasi dan ditindas oleh pihak Istana. Beliau telah mengangkat darjat rakyat sebagai anggota masyarakat yang berdaulat dan yang mempunyai hak-hak penuh sebagai manusia.
Salah seorang ulama Wali Songo bernama Sunan Ja’far Shodiq atau dikenali sebagai Sunan Kudus. Sunan Kudus telah melarang umat Islam di daerah Kudus, Jawa Tengah, dari makan daging lembu bagi menghormati penganut agama Hindu yang ramai di Kudus waktu itu. Fatwa beliau telah diteruskan sebagai tradisi oleh sebahagian masyarakat Kudus sehingga kini.
Nahdhatul Ulama dan Gus Dur
Sejarah Wali Songo membuatkan kita bertanya apakah peranan dan cara ulama masakini, terutamanya di Malaysia. Apakah mereka berdakwah dengan lemah lembut, atau dengan cara keras dan caci maki? Apakah mereka menjadi tokoh penaung kesenian dan adat budaya tempatan, atau apakah mereka yang malah mahu mematikan kesenian dan budaya tempatan? Apakah mereka menjadi tokoh yang menggalakkan umat Islam untuk menghormati agama lain atau adakah mereka yang malah menghasut masyarakat agar menghina dan membenci agama lain? Apakah mereka pejuang keadilan dan lantang menentang penindasan di kalangan masyarakat, atau apakah mereka tidak ambil peduli?
Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) masih terus menggunakan pendekatan yang dilakukan oleh para Wali Songo. Bekas ketua NU (yang juga mantan Presiden Indonesia), Abdur Rahman Wahid atau dikenali sebagai Gus Dur, merupakan ulama besar yang tegas mempertahankan hak asasi manusia termasuklah dalam isu kesetaraan gender, melindungi golongan-golongan minoriti, yang lemah dan terpinggir serta memastikan hak penganut-penganut agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain, sentiasa terjamin. Gus Dur juga tegas mempertahankan agar kesenian dan budaya tempatan terus dilestarikan.
Yang menarik sekali, Nahdlatul Ulama dan Gus Dur dengan tegas menolak konsep ‘Kerajaan Islam’ (atau Islamic State) dan menolak pelaksanaan hudud di Indonesia. Gus Dur menolak penafsiran hukum agama dilakukan oleh Negara kerana ia boleh menjurus kepada autokrasi. Menurut beliau, umat Islam bebas untuk mengamalkan urusan agamanya, namun negara harus ditadbir secara demokrasi dan adil untuk semua rakyat, dan tanggungjawab Negara ialah melindungi hak asasi setiap rakyatnya terutama golongan minoriti.
Di sambutan Hari Raya Puasa beberapa bulan lalu, ketua Nahdlatul Ulama sekarang iaitu Kiyai Said Aqil Siradj, mengingatkan umat Islam bahawa “melindungi non-Muslim adalah Jihad” dan bahawa “tidak toleran (terhadap agama lain) itu melawan Tuhan”. Kiyai Said Aqil Siradj yang pernah belajar selama sepuluh tahun di Madinah, Arab Saudi, seterusnya mengingatkan firman Allah swt bahawa seandainya Allah menghendaki, semua orang akan menganuti satu agama, dan Allah juga telah berfirman bahawa tiada paksaan dalam beragama. Oleh yang demikian, jika ada orang Islam yang tidak bertoleransi dengan orang bukan Islam, bererti mereka melawan kehendak Tuhan. Menurut beliau, Nabi bersabda bahawa tidak boleh ada permusuhan kecuali terhadap orang-orang zalim atau orang yang melanggar undang-undang.
Saya secara peribadi tidak tahu apakah ada ulama di Malaysia yang mengajarkan toleransi agama sehingga berfatwa bahawa melindungi non-Muslim merupakan suatu jihad.
Ulama di kedua-dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhamadiyyah tegas menolak penubuhan ‘kerajaan Islam’ dan pelaksanaan hudud. Padahal, penduduk Islam Indonesia sekitar 85% dan penduduk bukan Islam hanya sekitar 15%.
Wajah Islam di Malaysia
Di Malaysia pula yang masyarakat bukan Islam merupakan sekitar 40% dari penduduk Malaysia, ramai ulama, terutamanya ulama dan pemimpin PAS, masih kuat mahu membentuk ‘kerajaan Islam’.
Pemimpin Umno pula, walaupun mendakwa mahu menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini sering memainkan sentimen yang tidak menyenangkan hati rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.
Lihat saja ucapan-ucapan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Rhetorik “Kita orang terpilih” bukan saja menakutkan orang bukan Melayu dan bukan Islam, malah saya yang Melayu dan Islam ini pun seriau mendengarnya. Laungan Zionist begitu jugalah, mengaku mereka sajalah orang yang dipilih oleh Tuhan.
Pemimpin Umno sebagai pemimpin di salah satu parti yang memerintah kerajaan tidak seharusnya memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama. Jika Umno mahu memastikan kemenangan di pilihanraya akan datang, bersikap anti itu dan ini bukanlah cara yang matang.
Ulama dan pemimpin-pemimpin Islam sama ada dari parti Umno, PKR atau PAS sebaiknya, ambillah pendekatan cuba memahami agar masyarakat Islam lebih matang dalam berfikir dan dalam memahami apakah masalah-masalah yang penting dan genting untuk diselesaikan.
Pancasila Indonesia dan Rukun Negara Malaysia
Ulama-ulama di Indonesia sangat faham sejarah pembentukan dan kuat mempertahankan Pancasila mereka.
Namun, saya kurang pasti apakah ulama-ulama di Malaysia peka dengan sejarah dan wawasan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta tahu apakah nilai yang mahu diketengahkan oleh Rukun Negara Malaysia.
Di sekolah kita sudah diajarkan lima prinsip Rukun Negara. Akan tetapi, berapa ramaikah antara kita, termasuk semua agamawan di Malaysia yang pernah baca atau tahu Mukadimah (Preamble) Rukun Negara kita yang sangat penting untuk difahami, iaitu:
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
-mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
-memelihara satu cara hidup demokratik;
-mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
-menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
-membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Sepertinya Mukadimah kepada lima prinsip Rukun Negara kita tidak begitu berbeza dengan Pancasila Indonesia yang juga terdiri dari lima prinsip itu. Sekiranya ulama Indonesia boleh menjiwai dan menjunjung tinggi Pancasilanya, bukankah bertambah jati diri kita sebagai rakyat Malaysia jika ulama dan ahli masyarakat menjiwai nilai-nilai dan wawasan Rukun Negara, termasuk Mukadimahnya?
Oleh : Norhayati Kaprawi
No comments:
Post a Comment