Thursday, December 20, 2012

Kehebatan ATM Diakui PBB

TERLIBAT dalam menjayakan beberapa misi pengaman di wilayah bergolak antaranya di Lebanon, Afghanistan dan Mindanao, Filipina, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin dipandang tinggi pelbagai pihak termasuk badan dunia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berkhidmat penuh cemerlang, ATM bukan hanya bermegah dengan nota-nota pujian malah gerak kerja serta pendekatan yang diketengahkan mula mendapat perhatian dan dicontohi negara-negara luar.

Usah dibilang pengiktirafan-pengiktirafan yang dikalungkan oleh dunia, kekuatan serta pengalaman ATM dalam misi-misi pengaman di pentas antarabangsa, baik sekarang atau misi-misi terdahulu, bukannya kecil tetapi hadir sebagai satu pasukan yang dihormati.

Mengambil contoh penglibatan ATM dalam misi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Malcon ISAF) di Afghanistan, biarpun perkhidmatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di negara bergolak itu bakal berakhir, ATM ditawarkan untuk terus berada di sana.

Perkara itu sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Afghanistan selepas melihat rekod baik pasukan ATM terutama permintaan untuk memperbesarkan kemudahan perubatan ke tahap kedua.

Hal sedemikian diakui sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima pelawaan berkenaan daripada Kementerian Pertahanan Afghanistan serta NATO, baru-baru ini.

Alasannya cuma satu iaitu Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan pasukan doktor dan pembantu perubatan wanita untuk menjalankan khidmat perubatan kepada kaum wanita di sana yang tidak selesa jika menerima rawatan daripada pegawai berlainan jantina.

Lebih membanggakan, 'sentuhan' dan kerja kuat pasukan perubatan berkenaan berjaya mencipta rekod apabila kadar kematian bayi dan wanita mengandung khususnya di kawasan Bamiyan berada pada tahap sifar.

''Di Bamiyan, kita menyediakan transit untuk menempatkan wanita-wanita mengandung beberapa hari sebelum tarikh bersalin.

''Transit yang disediakan merangkumi pelbagai aspek penjagaan dan perubatan khusus untuk golongan tersebut. Dengan itu, ia telah berjaya mengawal kadar kematian bayi sewaktu bersalin. Ini contoh kejayaan ATM,'' kata Ahmad Zahid.

Pendekatan tersebut, jelas beliau, 'diintai' pasukan pengaman lain yang bercadang mengambil pendekatan sama dengan menyediakan pasukan perubatan wanita.

Begitu juga dengan pelaksanaan program Jiwa Murni yang sedikit sebanyak mendekatkan Malaysia di hati rakyat Afghanistan.

Program itu antara lainnya membabitkan anggota ATM dengan pelbagai projek seperti menggali perigi dan bekalan air, membina pusat asuhan kanak-kanak serta membaiki masjid dan sekolah.

ATM mula menghantar pasukan ke Afghanistan di bawah panji-panji NATO di bumi Bamiyan sejak 2010 dan dijangka berakhir pada 2014.

Beralih ke wilayah Mindanao, Filipina pula, penyertaan ATM dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) turut memahat memori berharga dengan pelawaan untuk terus 'bertapak' menjalankan misi bagi memastikan proses damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) berjalan lancar.

Bukan hanya permintaan itu datang daripada Presiden Filipina, Benigno Aquino III tetapi permintaan sama dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu.

Peranan pasukan tersebut dalam mewujudkan keamanan di wilayah berkenaan diakui menjadi faktor kepada kemakmuran kawasan sekitar Mindanao terutama dari segi perniagaan dan pelbagai bentuk pembangunan lain.

Melangkaui sempadan benua, peranan ATM menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi kapal-kapal dagang berkepentingan negara di Teluk Aden, Somalia membuktikan kemampuan pasukan keselamatan negara dalam membendung kegiatan lanun.

Walaupun berdepan lanun yang berada nun jauh daripada perairan negara, kerjasama strategik TLDM dan MISC Bhd. mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh kelompok maritim dunia.

''Sejak melaksanakan operasi di Teluk Aden, lanun-lanun Somalia berjaya ditangkap dan tiada sebuah pun kapal dagang negara mendapat ancaman lanun. Ini sekali lagi membanggakan apabila tentera luar turut mengikut jejak langkah kita,'' ujar Ahmad Zahid yang cukup berbangga dengan kehebatan pahlawan-pahlawan negara di pentas antarabangsa.

Tidak cukup dengan lanun di perairan berkenaan, kerjasama kukuh antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), TLDM dan pelbagai agensi penguatkuasa maritim termasuk dari Indonesia, Singapura dan Thailand telah berjaya mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka.

Dengan kehadiran aset terbaharu TUDM menerusi helikopter pengangkut jarak jauh, Eurocopter EC725 bagi menggantikan Sikorsky S61A-4 Nuri yang telah digunakan sejak 1968, perkara itu sudah pasti akan meningkatkan lagi kekuatan pertahanan udara negara.

Selain itu, pemilikan helikopter enjin berkembar daripada keluarga Super Puma atau Cougar itu dapat memantapkan lagi tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR), logistik dan keupayaan tempur ATM secara amnya.

Tidak dilupakan misi-misi pengaman lain termasuk penyertaan ATM dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Lebanon (UNIFIL) yang berkorban apa sahaja demi memastikan keamanan sejagat.

Sumber : rencana@utusan

No comments:

Post a Comment