Pernyataan kedatangan agama Kristian beraliran Nestorian ke rantau ini mengundang beberapa persoalan. Apakah tujuan pernyataan tersebut? Adakah ia bertujuan ingin menyatakan bahawa kehadiran Kristian adalah seusia dengan kedatangan Islam atau lebih awal lagi? Adakah pernyataan ini ingin mengangkat fungsi dan watak agama Kristian yang mewarnai rantau ini dalam mengubah masyarakat atau adakah ia sekadar pernyataan politik yang bertujuan menyantuni pengundi Kristian?
Pernyataan sumbangan Kristian terhadap pembangunan rantau ini perlu dibuat dengan berhati-hati, apatah lagi apabila merujuk abad ke-7. Ia boleh mendatangkan kekeliruan terhadap latar belakang pembentukan budaya dan peradaban di rantau ini.
Menurut Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam memainkan peranan yang jauh lebih signifikan dalam pembentukan budaya dan peradaban di rantau ini. Ia membebaskan dan membentuk weltanschauung atau pandangan sarwa masyarakat di sini. Pengaruh Islam sudah jauh meresap ke dalam urat nadi umat manusia di sini yang terpancar dalam pemikiran, budaya, kesusasteraan dan peraturan hidup.
Kedatangan Islam merungkai pengaruh Hindu-Buddha dalam peradaban masyarakat di Nusantara. Syed Muhammad Naquib menegaskan bahawa kehadiran Hindu-Buddha gagal mengubah pandangan hidup masyarakat dan seterusnya tidak mampu menghasilkan satu kelainan yang memerdekakan masyarakat daripada fahaman animisme yang telah bertapak terlebih dulu.
Justeru, Syed Muhammad Naquib mencatat penyebaran agama Islam di rantau ini menggunakan bahasa Melayu dan bukan bahasa Jawa. Bahasa Jawa sudah diresapi oleh pengaruh Hindu-Buddha yang begitu pekat.
Kalimah ‘Allah’ yang digunakan oleh masyarakat di sini adalah unik dan khusus kepada konsep ketuhanan yang diperakui oleh Islam saja. Maka perkongsian perkataan adalah satu usaha yang berlawanan dengan budaya masyarakat di sini. Tambahan pula tiada hujah ilmiah yang menunjukkan perkongsian itu perlu diwajarkan. Hanya dakwaan ia telah digunakan berabad lamanya di tanah Arab bukan satu hujah yang kukuh.
Kalimah Allah tidak digunakan dalam Bible versi asli yang diturunkan dalam bahasa Ibrani (bahasa kaum Yahudi). Perkataan ‘hellalujah’ digunakan bagi merujuk Tuhan dalam bahasa itu. Apatah lagi versi bahasa Inggeris yang menggunakan ‘God’ bagi rujukan yang sama. Jadi apakah hujah yang wajar bagi perkataan Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu melainkan hujah penyebaran agama Kristian kepada masyarakat Melayu?
Jika alasan ia digunakan selama lebih 50 tahun di Sabah dan Sarawak ia adalah alasan yang terbit daripada satu kesalahan situasi yang lahir daripada kefahaman yang salah. Adakah kesalahan ini mahu dibiarkan atau perlu kepada pembetulan?
Bukan kerana takut berkongsi istilah yang sama. Jika kita lihat perkembangan agama Islam di Sabah dan Sarawak dalam masa 50 tahun ini, ia sudah menunjukkan pertambahan yang ketara. Islam berkembang sehingga ke pedalaman dan terus berkembang dari semasa ke semasa. Penghayatan Islam sudah semakin baik dengan pertambahan institusi pendidikan Islam dan disambut baik oleh masyarakat.
Mereka yang berhujah kekhuatiran ini memberikan gambaran bahawa Islam ini kerdil juga telah tersilap. Penegasan Allah dalam surah al-Ikhlas, yang dengan jelas menekankan Allah adalah tidak beranak dan tidak diperanakkan memberikan isyarat bahawa istilah Allah jangan dipermudahkan.
Oleh itu, gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahukan agar perkataan Allah boleh digunakan oleh masyarakat Kristian dalam Bible versi Melayu jelas menunjukkan kejahilan beliau dalam persoalan ini. Ia hanya satu isu politik yang cuba ditonjolkan.
Polemik kalimah Allah antara penganut Islam dan Kristian di Malaysia mesti dihentikan segera dengan menghormati waq’iy atau latar sejarah dan budaya masyarakat setempat. Penegasan perasaan kesal yang mendalam terhadap ahli politik negara ini apabila isu kalimah Allah ini digunakan untuk meraih sokongan sehingga menggadaikan maruah agama Islam dan memperjudikan keharmonian hubungan antara agama. Pertubuhan dakwah di negara ini mahukan ketegasan yang ikhlas dalam memelihara agama khususnya agama Islam.
Sumber : Bharian@rencana
No comments:
Post a Comment