IMAN ialah benteng diri daripada melakukan perkara maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT. Apabila tiada orang yang memerhati dan tiada mata yang melihat, maka tiada pertahanan diri yang paling kukuh melainkan iman yang membuahkan perasaan ihsan iaitu merasakan Allah SWT sedang mengawasi diri.
Sebagai manusia biasa, adakalanya iman yang ada dalam diri menurun. Maka pada ketika itu, kita pasti lemah dalam menepis ujian yang datang kepada diri.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ketikanya kita terleka dan terlalai dalam kehidupan di dunia. Mungkin ada di antara kita yang pernah terlibat, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dalam aktiviti atau pekerjaan yang tidak bertepatan dengan Syariah sebelum ini.
Penglibatan ini akhirnya menyebabkan kita memperoleh pendapatan, sama ada dalam bentuk gaji, komisen, dividen, keuntungan dan sebagainya secara yang tidak halal. Begitu juga mungkin ada di kalangan kita yang pernah terjebak dalam rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.
Semua harta yang diperoleh itu bakal mengundang kemurkaan Allah SWT dan balasannya amatlah dahsyat di akhirat nanti.
Penglibatan ini bukan sahaja menyebabkan orang yang terlibat melakukannya secara langsung mendapat dosa, bahkan pendapatan serta hartanya pula menjadi haram.
Harta haram yang dimaksudkan di sini ialah harta yang diperoleh melalui jalan atau kaedah yang bercanggah dengan syarak. Ini termasuklah faedah yang diperoleh daripada akaun simpanan di bank-bank konvensional.
Oleh itu, mereka yang menyedari akan hakikat ini akan segera bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkal jalan. Allah SWT Maha Pengampun dan Dia suka sekiranya hamba yang telah melakukan dosa, cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada-Nya.
Lantaran itu, wajib bagi mereka untuk bersegera dalam bertaubat dengan tidak bertangguh. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa: 17)
Antara syarat untuk bertaubat kepada Allah SWT kerana mendapat harta haram adalah dengan cara melupuskannya. Perkataan 'melupuskan' sengaja digunakan kerana orang yang terlibat tidak boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya, sama ada untuk membuat pembelian dan urusniaga-urusniaga yang lain.
Bahkan, Allah SWT tidak memberikan pahala sekiranya dia menggunakan harta tersebut untuk menunaikan haji dan umrah, membayar zakat dan menderma kepada golongan fakir miskin.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala dan tanggungan dosanya tersebut adalah kekal (sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT)" (riwayat al-Hakim)
Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim).
Demikianlah betapa beratnya bahana daripada pengambilan harta haram sehingga Allah SWT tidak menerima amalan yang berkaitan dengan harta tersebut.
Sumber : utusan@bicara_agama
No comments:
Post a Comment