nuffnang

Friday, December 21, 2012

Berhati-Hati Pinda Kanun Rogol Statutori

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori kepada sesiapa yang disabitkan dengan kes rogol statutori.

Seperti mana yang dilaporkan, Jabatan Peguam Negara telah menasihatkan bahawa Seksyen 376 Kanun Keseksaan perlu dipinda supaya hakim-hakim tidak lagi boleh menjalankan kuasa budi bicara untuk mengurangkan hukuman atas kesalahan rogol statutori.

Ketika ini, undang-undang membenarkan hakim menguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan budi bicara mereka.

Beliau telah menyatakan bahawa hukuman penjara mandatori akan dikenakan kepada semua perogol apabila pindaan tersebut telah dibentang dan diluluskan pada sesi Parlimen akan datang.

Seksyen 376 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa mereka yang disabitkan dengan rogol, termasuk mengadakan hubungan seks dengan mereka yang di bawah umur 16 tahun, hendaklah dipenjara selama tidak kurang daripada lima tahun, dan tidak lebih daripada 20 tahun, serta boleh dikenakan sebatan .

Rogol statutori adalah satu kesalahan yang sangat serius dan perlu dilihat sebagai kesalahan yang sangat berat.

Berdasarkan maklum balas orang ramai terhadap cadangan kerajaan, tidak timbul sebarang keraguan bahawa mereka mahu melihat hukuman yang berat dikenakan terhadap pesalah.

Memandangkan hakikat terdapat kira-kira 6,000 kes rogol statutori yang dilaporkan di antara 2007 dan 2012, yang secara purata menggambarkan sekurang-kurangnya empat kes berlaku setiap hari, adalah menjadi kewajaran untuk kita mengambil tindakan yang lebih berat terhadap pesalah.

Banyak kes ini melibatkan ahli keluarga mangsa, termasuk bapa mereka sendiri.

Walaupun saya menyokong supaya diambil tindakan yang keras terhadap perogol yang disabitkan dengan kesalahan, saya juga ingin melihat bahawa sebarang pindaan yang akan diperkenalkan perlu dikaji dengan teliti dan berdasarkan keadilan sebelum diluluskan di Parlimen.

Baru-baru ini sepasang ibu bapa memaklumkan kepada saya beberapa isu penting serta meluahkan kebimbangan terhadap cadangan pindaan kanun rogol statutori yang saya ingin kongsikan bersama Menteri berkenaan.

Ibu bapa berpendapat bahawa:
-Undang-undang rogol statutori juga perlu melihat latar belakang pengadu (gadis) dan juga melihat kepada rentetan peristiwa yang membawa kepada aktiviti seksual. Ini adalah dua elemen penting yang boleh terlepas pandang oleh penggubal undang-undang apabila mereka memutuskan untuk meminda dan meluluskan undang-undang.

-Penggubal undang-undang juga perlu melihat apakah langkah-langkah pembetulan yang boleh diambil bagi kes-kes di mana kedua-dua pihak adalah di bawah umur dan telah membuat kesilapan.

-Dalam kes di mana kedua-dua pihak adalah di bawah umur yang tidak melibatkan unsur-unsur kekerasan, penipuan dan paksaan, prosiding jenayah adalah langkah terakhir jika perlu diambil terhadap mereka, sebaliknya mereka harus dihantar untuk khidmat kaunseling dan diberi peluang kedua. Kita tidak harus menafikan masa depan yang cerah dengan menghantar mereka ke penjara kerana satu kesilapan yang dibuat dalam proses pembesaran.



Pendekatan undang-undang atau pengunaan Kanun Keseksaan perlu dilihat untuk melindungi gadis-gadis muda daripada dipaksa, ditipu dan dimanipulasi oleh rakan-rakan dan orang dewasa termasuk ahli keluarga mereka.

Kesilapan yang dibuat oleh anak-anak yang masih mentah dalam proses pembesaran tidak perlu terus dikaitkan dengan undang-undang baru. Ia perlu ada satu garis panduan yang jelas membezakan di mana undang-undang terpakai.

Tidak ada satu kes jenayah yang serupa. Setiap kes mempunyai merit dan keganjilanya yang tersendiri. Hakim adalah orang yang terbaik untuk mengenal pasti dan menilai merit dan keganjilannya.

Di sebalik kebimbangan saya tentang betapa seriusnya kes rogol statutori, pandangan yang dinyatakan oleh ibu bapa berkenaan adalah satu pandangan yang rasional dan perlu diteliti oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Oleh : Tan Sri Lee Lam Thye

No comments:

Post a Comment