Monday, December 3, 2012

Terhutang Budi Kepada DEB

GOLONGAN ini mementingkan diri sendiri dan bertindak menjual kepentingan yang dimiliki, ini banyak berlaku dalam era 1980-an dan 1990-an. Semua ini berlaku sebab mereka merasakan kepentingan kewangan mereka tergugat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara. Mereka mengambil tunai hasil penjualan saham syarikat yang dibangunkan di bawah DEB."

Ini antara yang luahan tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary ketika saya mewawancara beliau pada Januari 2008 di Muzium Kesenian Islam. Syed Mokhtar adalah usahawan Melayu yang memanfaatkan peluang dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Beliau menyertai dunia perniagaan pada 1971, serentak dengan bermulanya DEB yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

Banyak yang mengenali Syed Mokhtar sebagai tokoh korporat Melayu yang berjaya dan berada dalam senarai 10 tokoh terkaya di negara ini. Perjalanan penuh liku sebelum menggapai kejayaan jarang diketahui. Ini kerana beliau membina empayar perniagaan jauh dari liputan media.

Buku Syed Mokhtar Albukhary : A Biography menjadi khazanah penting untuk dirujuk. Buku nipis ini memuatkan banyak perkara tentang usaha dan kecekalan Syed Mokhtar, dari keluarga miskin kini menjadi kaya dan ternama.

Biografi ini mendedahkan bagaimana Syed Mokhtar gagal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keluarganya tidak dapat melunaskan yuran peperiksaan. Walaupun pedih, Syed Mokhtar tidak terus menangisi nasib. Sebaliknya bangun untuk mengubah hidup dengan berbekalkan sedikit pengalaman dan selebihnya keikhlasan untuk menyumbang kepada anak bangsa. Buktinya Syed Mokhtar banyak membuat kebajikan untuk memastikan generasi hari ini tidak mengalami nasib sepertinya.

Beliau tidak meletakkan kepentingan diri di hadapan dalam perniagaan. Prinsip ini mungkin tidak banyak diamalkan oleh ahli korporat lain. Tetapi bagi Syed Mokhtar, penglibatan dan penguasaan beliau dalam perniagaan tidak lebih saluran untuk membangunkan anak bangsa. Kerana itu selari dengan kejayaan demi kejayaan dalam perniagaan, Syed Mokhtar menubuhkan Yayasan Albukhary untuk membantu golongan yang kurang kemampuan.

Syed Mokhtar nampak dengan jelas matlamat DEB untuk meningkatkan pemilikan ekuiti orang Melayu yang ketinggalan pada dekad 1970-an. Beliau secara jujur mengakui sangat terhutang budi kepada DEB dan sangat kecewa apabila terdapat sesetengah usahawan Melayu yang dilahirkan menerusi DEB mengambil sikap mementingkan diri semasa negara dilanda krisis ekonomi.

Syed Mokhtar adalah segelintir usahawan Melayu yang berjaya melepasi krisis ekonomi paling hebat melanda Asia pada 1997. Menerusi buku ini ditekankan bagaimana Syed Mokhtar mengalami kerugian apabila nilai ringgit merudum semasa krisis ekonomi.

Beliau boleh sahaja menjualkan syarikat-syarikat yang tidak menguntungkan untuk menyelamatkan diri daripada terus kerugian. Tetapi Syed Mokhtar tidak berbuat demikian kerana memikirkan kakitangan yang mencari rezeki dengan syarikat berkenaan. Kini Syed Mokhtar adalah payung kepada 110,000 kakitangan yang secara langsung mendapat manfaat daripada kejayaannya.

Syed Mokhtar bermula dengan syarikat pengangkutan lori, Syarikat Kenderaan Sentosa pada pada 1972. Sebagai permulaan beliau memohon dua permit lori tetapi melihat kesungguhannya, Syed Mokhtar diberi empat permit lori. Beliau membuat pinjaman daripada Mara untuk membeli dua buah lori.

Ketika inilah ada tauke Cina menawarkan untuk menyewa permit lori yang diperolehnya. Syed Mokhtar menolak kerana sedar inilah "Ali-Baba" yang boleh menggagalkan matlamat DEB. Walaupun hanya ada dua lori, dua permit lagi tidak disewakan kepada tauke Cina kerana tidak mahu menjadi tauke Ali Baba.

Langkah Syed Mokhtar seterusnya adalah mendapatkan lesen berniaga beras daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) kini Bernas. Beliau realistik dengan penguasaan tauke-tauke Cina dalam perniagaan beras di Kedah dan Perlis.

Untuk memecah monopoli ini bukan mudah tetapi Syed Mokhtar ada caranya. Beliau mendapatkan rakan kongsi Cina untuk memanfaatkan rangkaian pengedaran yang lebih luas. Menerusi syarikat Bukhary Sdn. Bhd, Syed Mokhtar dan rakan kongsinya Ng Ghik Gee memulakan perniagaan dengan modal RM200,000. Semasa berniaga beras, Syed Mokhtar berkenalan dengan Pengarah Urusan Sergam Berhad, Muhyiddin Yassin (kini Timbalan Perdana Menteri).

Barangkali banyak yang terkejut kalau dikatakan Syed Mokhtar pertama kali berjumpa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir tahun 1997. Beliau tidak menggunakan kuasa orang politik untuk berjaya. Malah yang penting ditekankan adalah beliau tidak pernah membelakangkan prosedur malah mematuhinya.

Syed Mokhtar membuat temujanji untuk berjumpa Dr. Mahathir bagi menerangkan rancangannya membangunkan Kompleks Ilmu Sharifah Rokiah di Alor Setar. Antara yang terdapat dalam kompleks ini ialah masjid, pusat kesihatan untuk golongan miskin dan sebuah universiti antarabangsa.

Beliau hanya diberi masa sejam bertemu Dr. Mahathir tetapi terlebih menjadi sejam sepuluh minit. Bagaimanapun sepanjang 70 minit itu, Dr. Mahathir tidak berkata sepatah pun mengenai cadangan Syed Mokhtar. Beberapa hari selepas itu beliau menerima mesej dari pejabat Perdana Menteri mengatakan cadangan itu diterima.

Mengenai Syed Mokhtar, Dr. Mahathir berkata, "Syed Mokhtar ada instinct dalam perniagaan dan belajar dengan cepat. Beliau adalah salah satu cerita kejayaan DEB seperti diraih oleh Mustapha Kamal (Emkay), Shamsudin Kadir (Sapura), Azman Hashim (Ambank) dan beberapa lagi. Beliau memanfaatkan insentif DEB. Bila beliau membeli saham, mereka tidak menjual saham itu."

Perwatakan Syed Mokhtar yang tidak memperagakan kekayaan seperti sesetengah tokoh korporat lain juga menarik perhatian Dr. Mahathir. Kata beliau, "Syed Mokhtar seorang yang sederhana, beliau tidak menunjuk-nunjuk kekayaannya. Beliau menggunakan Proton Perdana lama, pakai tali leher pun bila perlu sahaja dan tidak hadir semua acara. Kerap kali beliau menghantar orang lain sebagai wakilnya."

Walaupun dilahirkan dalam keluarga miskin di Alor Setar, Kedah, Syed Mokhtar beruntung kerana keluarganya berpegang kuat kepada agama dan tidak menyalahkan takdir mewarnai hidup mereka sedemikian rupa. Asas agama yang kukuh inilah menjadikan Syed Mokhtar tidak pernah melupakan golongan miskin dan sentiasa membantu mereka. Sejak 1990, Yayasan Albukhary membiayai 50 orang miskin setiap tahun mengerjakan haji selain menawarkan biasiswa kepada pelajar miskin melanjutkan pelajaran hingga peringkat tertinggi.

Misalnya Program Tuisyen Albukhary yang dilancarkan pada 2001 untuk pelajar-pelajar miskin di luar bandar. Selepas sembilan tahun diadakan, program itu memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah.

Syed Mokhtar menjadi jutawan ketika berusia 30 tahun pada 1982. Beliau banyak memberi masa untuk membina empayar menyebabkan terlambat berkahwin. Syed Mokhtar berkahwin pada usia 41 tahun dengan sepupunya, Sharifah Zarah anak kepada tokoh korporat Melayu terkenal, Syed Kechik yang ketika itu berusia 24 tahun.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment