Ada ketikanya anda mungkin cukup bernasib baik kerana mudah membina hubungan mesra dan intim dengan pasangan sama ada suami atau isteri mahupun kekasih.
Ia nampak seperti satu hubungan yang sempurna, hangat dengan perbualan tanpa perlu bersusah-payah mencari topik yang serupa, berkongsi rahsia dan penuh kepastian bahawa anda berdua akan terus bersama untuk jangka masa yang panjang.
Bagaimanapun tidak semua perhubungan bermula dengan ikatan sekukuh itu dan tidak semua hubungan mesra serta intim mampu dikekalkan untuk jangka masa panjang.
Perhubungan memerlukan usaha dan ada perkara-perkara yang anda perlu lakukan untuk meningkat kemesraan dan keintiman. Berikut beberapa tip yang mungkin boleh diberi perhatian.
Cari minat yang serupa dan lakukannya bersama-sama
Mengikut kajian, kebanyakan perkahwinan berakhir dengan perceraian pada tempoh lapan tahun pertama. Kajian juga mendapati bahawa selepas tempoh tujuh tahun pasangan akan mula bosan dengan perhubungan mereka. Ketika itu hubungan menjadi renggang dan masing-masing mula kurang berpuas hati terhadap perkahwinan mereka.
Bunuh perasaan bosan itu sebelum ia menjadi 'barah' dengan cara berkongsi pengalaman antara satu sama lain.
Apa persamaan minat yang anda berdua miliki? Kongsi minat tersebut dengan melakukan aktiviti bersama. Ia bukan saja untuk merapatkan lagi hubungan bahkan anda akan berkongsi pengalaman dan gurau-senda bersama.
Ketawa bersama
Ketawa sebenarnya berjangkit. Ini kerana apabila kita mendengar orang ketawa, otak kita secara automatik mahu turut terbabit dalam situasi tersebut.
Berdasarkan beberapa kajian, termasuk kajian di
Institute of Cognitive Neuroscience, University College London, kita secara semula jadi akan meniru gerak dan ekspresi wajah orang yang bercakap dengan kita, termasuk ketawa.
Kita akan ketawa apabila mendengar jenaka yang kelakar, ketika sedang bermain, ketika digeletek dan sebagainya.
Bagaimanapun ketawa bukan saja tanda kita memikirkan sesuatu yang kelakar, ia juga salah satu cara kita mengukuh ikatan dengan orang lain.
Ketawa merupakan sesuatu yang universal dan pengubat duka, jadi pergilah menyaksikan filem-filem komedi ketika bertemu janji bukan saja ketawa anda akan membuatkan mood anda bertambah baik bahkan ia mungkin meningkatkan lagi ikatan perhubungan anda.
Jadilah seorang yang sentiasa menyokong
Dalam satu kajian selama lima tahun oleh penyelidik dari Universiti Iowa Amerika Syarikat, mendapati pasangan yang baru berkahwin memberi empat jenis sokongan yang mereka labelkan sebagai:
1.Sokongan fizikal dan emosional - berkongsi dan mendengar selain berpegang tangan dan berpelukan.
2.Hormat - Menawarkan sokongan sebagai penghormatan dan keyakinan diri.
3. Informational - memberi nasihat secara umum
4.Tangible - membantu dengan tanggungjawab tambahan atau menyelesaikan masalah
Rahsianya ialah memberi bentuk dan tahap sokongan yang betul sebagaimana diperlukan. Tiada siapa yang suka jika mereka berasa seolah sentiasa diarah atau diperintah oleh pasangannya.
Setiap orang mempunyai idea berbeza mengenai bentuk dan jumlah sokongan yang diperlukan. Jadi pastikan pasangan anda tahu anda sentiasa berada di sisinya untuk menyokong dalam apa juga keadaan termasuk kewangan.
Menerima seadanya tanpa syarat
Memang mudah untuk terbabit dalam perhubungan dengan idea bahawa anda mampu mendorong pasangan untuk berubah - walaupun kecil - untuk menjadi seperti yang anda ingini.
Bagaimanapun idea tersebut tidak selalunya realistik atau adil untuk pasangan anda.
Biarpun apa yang anda ingin ubah itu perkara kecil seperti meminta pasangan memotong rambut atau meminta pasangan meminati kumpulan muzik yang anda minati atau meminta pasangan berhenti memakai baju yang anda tidak sukai, semua itu mampu menjadi halangan kepada keintiman hubungan anda.
Terimalah pasangan seadanya. Penerimaan datang seiring dengan dorongan untuk pasangan berkongsi perkara-perkara yang peribadi dan intim seperti impian, perasan dan sejarah hidupnya.
Memanglah ada masa apabila perubahan itu perlu dan penting seperti meminta pasangan berhenti merokok kerana tabiat tersebut menjejaskan kesihatan, tetapi permintaan itu mestilah berasaskan kepada percaya dan menerima bukannya mengkritik dan menilai.
Beri perhatian
Keintiman secara mental, emosional dan fizikal dengan pasangan anda bermula dengan anda mendengar apa yang dia perkatakan dan beri perhatian kepada segala tindakannya.
Bunyinya seperti mudah, tetapi sebenarnya tidak. Untuk beri perhatian sepenuhnya anda perlu menolak perkara lain ke tepi daripada keributan kerja hingga kepada senarai apa yang hendak dimasak untuk makan malam.
Ketepikan semua hal peribadi anda dulu dan dengarlah apa yang ingin disampaikan oleh pasangan anda.
Ketika mendengar luahannya, pandang mata pasangan anda, senyap ketika dia sedang berkata-kata dan apabila anda menyuarakan pandangan nadanya biar nampak anda benar-benar prihatin dan mengambil berat.
Kekalkan pandangan mata
Mata adalah jendela hati atau mungkin juga mata jendela keintiman. Ketika anda memandang mata pasangan anda dari seberang meja, anda bukan sekadar memberi perhatian tetapi sebenarnya anda meluahkan keintiman anda.
Pandangan mata adalah komponen penting tentang bagaimana kita bersosial dengan orang dan ia adalah salah satu perkara penting dalam mencetuskan hubungan intim dan romantik atau sebaliknya.
Komunikasi dari mata ke mata bersifat lembut, dan penegasan secara senyap (non-verbal) bahawa anda amat penting bagi pasangan. Pandangan mata memperlihatkan rasa percaya dan terbuka.
Pastikan anda 'ada' ketika bersama pasangan
Menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh membahayakan, tetapi ia juga boleh membuatkan hubungan kekeluargaan anda berisiko.
Ini sebabnya. Menggunakan telefon bimbit nampak seperti perkara sangat penting, tetapi sebenarnya ia mengurangkan 'keberadaan' anda bersama pasangan.
Apabila anda membuat pelbagai kerja pada satu masa - contohnya memandu dan bercakap di telefon - anda tidak menumpukan kepada perbualan dan tidak dapat menangkap isu-isu penting yang dibualkan yang boleh membawa kepada salah faham serta membuatkan pasangan terasa seperti disisihkan dan terluka.
Anda membahagi masa antara telefon, jalan raya dan perbualan. Untuk membina dan mengekalkan keintiman, pilih salah satu pada satu-satu masa.
Jadi cuba fikirkan, adakah iPhone lebih mendapat perhatian berbanding pasangan anda? Adakah anda bekerja apabila telefon berbunyai sedangkan ketika itu anda sedang makan dengan pasanga? Adakah anda membawa BlackBerry ke bilik tidur? Jika semua jawapannya ya, anda mungkin perlu mematikannya untuk memberi lebih perhatian kepada perhubungan anda.
Sumber : keluarga@utusan