Saturday, July 24, 2021

Sumbangan Ustaz Ebit Lew Berjaya Masuk Ke Gaza: Nadir

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan, sumbangan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang dibeli di Kaherah, Mesir berjaya memasuki Gaza, Palestin pada hari pertama Aidiladha.

Dalam laman Telegramnya, Muhammad Nadir berkata, barangan tersebut tiba bersama-sama dengan 300 tan bantuan lain.

“Wah, alhamdulillah! Ada kawan kongsikan post yang sumbangan EL yang dibeli di Cairo telah masuk pada hari raya pertama bersama 300 tan bantuan lain.


“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Nadir menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau berasa dengki terhadap misi bantuan kemanusiaan Ustaz Ebit di Gaza.

“Buat apa nak dengki dan iri hati sebab bantuan ini akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini.

“Satu persoalan dah terjawab, lepas ni kita tunggu jawapan kepada persoalan lain juga. Tahniah sekali lagi!,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi tercetus selepas penyanyi rap, Caprice membuat beberapa dakwaan berhubung cara Ustaz Ebit mendapatkan kebenaran untuk masuk ke Gaza.

Isu membabitkan misi kemanusiaan Ustaz Ebit itu kemudian memasuki episod baharu selepas pendedahan Muhammad Nadir menerusi Telegram, Selasa lalu.

Antara lain, Muhammad Nadir menegur cara pasukan Ustaz Ebit mengendalikan misi kemanusiaan mereka, yang didakwa tidak melalui proses dan prosedur yang biasa dilakukan oleh kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara untuk masuk ke Gaza.

Susulan itu, Ustaz Ebit bertindak melaporkan dakwaan-dakwaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment