SEOUL: Kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun, wanita hamil dan menyusukan anak, warga emas serta mereka yang sakit merupakan golongan paling berisiko berdepan dengan kebuluran di Korea Utara ketika ini.
Sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pandemik Covid-19 yang menyaksikan kawasan sempadan dengan China ditutup dan fenomena kemarau. di negara itu memburukkan lagi kekurangan bekalan makanan.
Jika berterusan, tidak mustahil krisis kebuluran yang pernah dialami negara itu pada 1990-an berulang kembali.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada bulan lalu mengakui negaranya kini berdepan dengan krisis bekalan makanan.
“Keadaan ketika ini semakin tegang kerana sektor pertanian tidak mampu mengeluarkan hasil yang mencukupi susulan taufan pada tahun lepas dengan Covid-19 memburukkan situasi,” katanya.
Korea Utara memerlukan 5.2 tan makanan pada tahun lepas, namun sektor pertaniannya hanya mampu menghasilkan empat juta tan, menyebabkan kekurangan bekalan makanan lebih sejuta tan.
Walaupun dengan import makanan, negara itu tetap berdepan dengan kekurangan bekalan sebanyak 780,000 tan bagi tempoh 2020-2021.
Perkara itu dimaklumkan dalam laporan Organisasi Makanan dan Agrikultur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lalu.
“Sekiranya jurang itu tidak dipulihkan menerusi import komersial atau bantuan bekalan makanan, penduduk Korea Utara berdepan dengan kebuluran bermula antara Ogos dan Oktober tahun ini,” jelas organisasi itu.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan seramai 10 juta penduduk di Korea Utara terjejas akibat bekalan makanan tidak mencukupi dengan 140,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun bakal mengalami kekurangan zat.
Keadaan itu juga dijangka menyebabkan kadar kematian penduduk Korea Utara meningkat pada tahun ini.
Selepas Pyongyang menutup pintu sempadan sebagai usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19, kadar import dari China menurun sehingga 81 peratus pada 2020.
Antara barangan yang meningkat masuk dari China ke negara itu sebelum ini adalah baja serta minyak, manakala bekalan perubatan dan keperluan isu rumah ditahan.
Dilaporkan, ribuan kontena yang membawa barang keperluan ke Korea Utara terkandas di beberapa pelabuhan China, malah ada yang sudah sampai tarikh luput. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment