Wednesday, July 28, 2021

Kebun Durian Haram Di Hutan Simpan Bukit Cerakah?

PETALING JAYA: ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’.

Itu perumpamaan terhadap aktiviti penanaman durian dipercayai secara haram di Hutan Simpan Bukit Cerakah, Selangor berhampiran Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama Sungai Buloh yang dilakukan secara senyap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Walaupun aktiviti itu mungkin tidak seluas penerokaan Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, Pahang, ia juga bakal memberi implikasi terhadap ekosistem di kawasan itu untuk jangka masa panjang.

Malah jika dibiarkan, tidak mustahil kawasan hutan simpan merangkumi keluasan beberapa ribu hektar musnah dan kemudian menjejaskan kawasan tadahan air utama Selangor.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati banyak pokok durian yang dipercayai berusia kira-kira empat minggu sudah ditanam selain terdapat kesan penerokaan lain termasuk penebangan pokok.

Kerja-kerja penerokaan dI hutan simpan berkenaan melibatkan tanah seluas 0.8 hektar.

Selain itu, struktur paip dan tangki dipercayai untuk tujuan penanaman durian dan beberapa pokok buah-buahan lain turut kelihatan.

Malah sebuah bangsal untuk kegunaan kerja-kerja berkaitan telah dibina di kawasan hutan berkenaan dan disita pihak Jabatan Perhutanan.

Bagaimanapun, yang menimbulkan persoalan, tanaman pokok durian masih dibiarkan tanpa tindakan termasuk dimusnahkan.

Bangsal dan beberapa struktur binaan yang telah disita dengan tali turut ditanggalkan pihak tertentu.

Difahamkan aduan telah dibuat kepada Jabatan Perhutanan sebelum ini menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun jawapan yang diterima agak mendukacitakan.

Menurut sumber, jawapan yang disertakan hanya kepada kewujudan dan tindakan terhadap bangsal berkenaan semata-mata tanpa memperincikan status sebenar termasuk anak pokok durian di kawasan itu.

“Mengapa Jabatan Perhutanan hanya bertindak terhadap pondok yang mereka temui sahaja dan membiarkan anak pokok durian,” ujarnya.

Sementara itu, ketika tinjauan mendapati terdapat sebuah bangsal di pintu masuk utama Tanah Perkuburan Saujana Utama yang dihuni individu tertentu.

Apa yang pasti pihak berkenaan bukanlah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan berkenaan.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya berhubung status individu berkenaan dan keperluan untuk tinggal di kawasan perkuburan berkenaan, sedangkan ia tidak berlaku di kawasan tanah perkuburan lain.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment