Friday, July 9, 2021

COVID-19...Siapa Berani Muncul Sebagai ‘Solution’ Kepada Situasi Yang Ada

UMNO buat ‘havoc’ tapi tiada penyelesaian

Kemelut politik yang melanda negara ketika ini sama sekali tidak akan membantu meringankan masalah yang dihadapi rakyat.

Terbaharu, UMNO menuntut supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Bagi Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, UMNO hanya membuat ‘havoc’ tetapi tidak cuba membawa sebarang penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang ada.

Justeru katanya, tidak banyak yang boleh diharapkan dalam situasi sekarang.

“UMNO hanya tuntut Perdana Menteri baharu dengan tugas terhad.

“Siapa yang berani muncul sebagai ‘solution’ kepada situasi yang ada,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam, bermula 8.30 malam.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Ustaz Abdullah berpandangan, tidak ada wajah baharu dalam kalangan ahli politik yang boleh menggantikan Perdana Menteri buat masa ini.

“Kalau pusing-pusing sekitar nama-nama politikus yang sedia ada, saya tak nampak muka yang boleh bawa harapan baharu.

“Masalah kita lebih besar daripada semata-mata tukar perdana menteri,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment