Sunday, July 25, 2021

Isu Tabung Haji: Jangan Cuba Rampas Kuasa Parlimen

Bergegar sebentar tanah air susulan isu Tabung Haji (TH) baru-baru ini, sehingga menenggelamkan sedikit borak-borak pasal pandemik.

Soalnya, di mana titik permulaan polemik babitkan institusi Islam yang unggul itu, sampai terpaksa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat, malah ingin diletakkan pula di bawah Bank Negara? Apakah yang hendak disiasat sebenarnya?

Soalan lagi menyeluruh, bercakap soal TH juga, adakah isu ini hanya cebisan daripada kerangka permasalahan Melayu-Islam yang lebih besar? Bagaimana pula institusi bumiputera lain, adakah bermasalah juga?

Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), DATUK DR. HASSAN MAD serta ahli MPM lain, semalam secara atas talian.

Ikuti wawancara ini, yang turut membincangkan soal ekonomi hitam didalangi kartel yang didakwa mencengkam bukan sahaja anggota kerajaan termasuk penguat kuasa, malah juga sistem politik negara.

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah fungsi Majlis Perundingan Melayu (MPM)?
HASSAN: MPM ini secara asasnya adalah kaukus (kumpulan perundingan). Kami ditubuhkan pada akhir 2009 selepas Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU-8), apabila kedudukan politik Melayu tergugat. Maka ramai cendekiawan Melayu memikirkan perlu ada satu badan yang menghimpunkan semua pertubuhan Melayu-Islam.

Apa peranan MPM bagi memelihara institusi Tabung Haji (TH)?
Kes ini bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu mempersoalkan isu pengiraan hibah TH. Jadi apa yang berlaku, ia adalah permainan orang dalam. Jadi isu politiking dalam TH ini bukan membabitkan Ahli Lembaga Pengarah saja, tapi juga dalam kalangan pengurusan kanan. Berselindung di sebalik tanggungjawab, ini boleh diistilahkan sebagai ‘thin line syndrome’.

Apa maksudnya?
Berselindung atas nama tanggung­jawab, tapi oportunis. Jadi apa yang berlaku, mereka inilah yang kononnya meyakinkan PH mengatakan pengiraan hibah itu salah dan sebagainya. Sebenar­nya pada masa itu, ahli kaukus MPM telah sediakan satu kertas penjelasan yang sangat terperinci mengenai various accounting options untuk hibah ini.

SUMBER YANG KUAT
Siapa sumber MPM dapatkan maklumat dalaman TH, dan apa jadi selepas itu?

Jadi apabila PH tidak dapat bertahan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH pada masa itupun tak dapat bertahan, kerana sebelum 18 Januari 2019 itu kami sudah buat konsultasi dengan dua bekas CEO TH. Mereka ini sangat rapat dengan MPM. Jadi kami dapatkan pandangan mereka. Selepas itu pada 18 Januari itu kami panggil (bekas) CEO TH, Datuk Seri Zukri Samat ke Wisma MPM. Kita tanya beliau, petang itu kita panggil semua pakar MPM untuk bincang balik apa yang kita dapat daripada beliau. Jadi ia sangat jelas, bahawa sebenarnya tiada langsung salah tadbir (malpractice), tiada isu mengenai pengiraan hibah, jadi PH pun tak boleh nak teruskan dan terhenti begitu sahaja (isu TH pada waktu itu).

Apa agenda mereka?
Agenda mereka mahu pindahkan apa yang disebut sebagai non-performing assets, itu mereka mahu lakukan. Padahal dalam manifesto PH, mereka kata (nak buat) pendedahan skandal 1MDB, Tabung Haji, Mara dan Felda. Soalnya, kenapa bila pegang saja kerajaan PH (waktu itu), mereka tak buat pun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji? Sebab tiada isu pun sebenarnya. Jadi apa yang mereka buat, ditubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk pindahkan non-performing assets ini. Yang pengiraan hibah semua, lepas itu langsung mereka tak sebut. Jadi di situ kita nampak, ini 100 peratus permainan politik.

RAMAI BUTA HATI
Di mana silapnya sampai jadi macam itu?

Ini silap kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, kerana mereka letak terla­lu ramai orang politik dalam TH. Perdana Menteri dah orang politik, men­teri aga­ma orang politik, bila Penge­rusi dan ramai Ahli Lembaga Penga­rah terdiri dalam kalangan orang poli­tik, jadi musuh politik BN melihat TH ini telah dipolitikkan. Kerana TH mempunyai angka.

Angka apa yang dimaksudkan?
Ada tiga perkara mengenai TH yang kita kena faham. Pertama, TH ada angka, lapan juta lebih pendeposit. Dari sudut politik, kalau sesiapa dapat kuasai TH, mereka kuasai angka ini, lapan juta pendeposit yang juga lapan juta pengundi. Itu lapan juta pengundi dari segi pendeposit, kalau campur ahli keluarga mereka lagi?

Yang kedua, dari sudut ekonomi, siapa yang kuasai TH akan kuasai liquidity. Kerana nilai tabungan TH lebih daripada RM80 bilion. Nampak tak? Itu sahaja sudah cukup menunjukkan kekuatan liquidity. Itu sebab kenapa Kementerian Kewangan sekarang ini mahu pindahkan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM). Kerana jika buat begitu, BNM boleh kuasai liquidity Tabung Haji. Jadi soal angka dan liquidity ini sangat penting.

Maksudnya, TH disasarkan sebab politik?
Sekitar 2014 lagi isu TH dimainkan oleh pembangkang, untuk alihkan sokongan lebih lapan juta pendeposit dari sokong kerajaan BN. Bila pembangkang membentuk PH dan hasilkan manifesto, TH adalah salah satu dari tiga institusi kepentingan Bumiputera-Islam mereka sasarkan termasuk 1MDB, Felda dan Mara. Jelas sekali perbalahan politik sesama kita menyebabkan ramai di antara kita buta hati, lantas memusuhi sesama sendiri, amat mudah untuk dimanipulasi atas permusuhan politiknya itu.

MODEL PERTAMA, TERBAIK DUNIA
Ada lagi faktor lain mengakibatkan TH disasarkan?

Ya, sebab ini adalah soal agenda ekonomi Islam kerana kita telah buktikan bahawa TH ini yang terbaik antara semua model perusahaan sosial (social enterprise) seluruh dunia. Kita bercakap tentang perusahaan sosial baru-baru ini sahaja, tapi di Malaysia kita sudah bercerita mengenainya sejak 1970-an lagi (sewaktu penubuhan Tabung Haji).
Kita sebenarnya melangkaui masa berbanding seluruh dunia apabila menyentuh aspek perusahaan sosial melalui institusi Tabung Haji yang kita ada ini. Malah ini sebenarnya lagi unik, sebab ia adalah model perusahaan sosial berlandaskan Islam. Belum ada lagi model sebegini, Arab Saudi tiada, Turki tiada, kita pula antara semua negara Islam lain, kita berjaya bangunkan. Jadi ketiga-tiga ini menyebabkan kita disasarkan.

SOAL BANK NEGARA MALAYSIA
Macam mana pula dalam konteks kerajaan sekarang? Kenapa Kementerian Kewangan mahu pindahkan Tabung Haji ini kepada BNM?

Sebenarnya ia salah dan tak relevan (untuk bertindak demikian), kenapa? Sebab di BNM itu sendiri masa zaman Tan Sri Zeti Aziz telah ditubuhkan satu jawatankuasa dinamakan Financial Stability Executive Committee atau FSEC. Jawatankuasa ini sangat berkuasa, lima orang saja ahlinya; Gabenor sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, seorang lagi CEO Malaysia Deposit Insurance Corporation dan seorang ahli bebas, jadi lima orang semuanya.

Apa fungsi suruhanjaya ini?
Mereka memantau semua institusi yang mengambil deposit dari segi pengurusan kewangan mereka. Jadi sudah ada FSEC, kenapa perlunya hendak pindahkan pula bawah BNM? Sedangkan BNM sudah memang ada suruhanjaya sendiri untuk memantau (Tabung Haji). Suruhanjaya ini sampai sekarang wujud, sebab selepas satu kenyataan pada 26 Januari 2016, tiada kenyataan baru dikeluarkan oleh BNM yang mengatakan TH punya sistem kewangan diragui, tiada.

Apa antara isi kenyataan 26 Januari 2016 itu?
Kenyataan BNM pada tarikh itu mengesahkan dapatan FSEC bahawa tiada irregularities dalam tadbir urus kewangan TH. Laporan Tahunan Audit oleh Jabatan Audit Negara juga jelas menyatakan tiada penyelewengan (irregularities) ketara. Laporan Tahunan 2018 tak dapat dibentang di penghujung sidang Parlimen 2019, sebab kesuntukan masa, bukan sebab TH tak siap siaga. Sepanjang 2020 pula, tiada sidang Parlimen. Jadi maknanya sejak 2016 sampai hari ini, tak berlaku pun sebarang persoalan mengenai cara TH uruskan kewangan.

Apa lagi faktor Kementerian Kewangan mahu letakkan TH bawah BNM?
Liquidity, macam saya sebut tadi. Kalau boleh diletakkan bawah BNM, maknanya angka itu tadi dipindahkan ke bawah seliaan BNM. TH tak boleh buat keputusan sendiri dah, kerana ia sudah jatuh bawah kategori institusi kewangan. Bukan itu sahaja, BNM juga akan tentukan siapa yang boleh jadi pengerusi, nampak tak?

Apa masalah kalau pengerusi dilantik BNM?
Itu soal kedua, soal utamanya sekarang adalah TH satu-satunya institusi yang diperuntukkan oleh akta sendiri, yang mana badan kawal selianya adalah Parlimen. Itu sebabnya penyata kewangannya wajib dibentangkan di Parlimen. Jika Parlimen sudah berperanan sebagai badan kawal selia TH, apa perlunya ia diletakkan di bawah BNM? Adakah Kementerian Kewangan hendak rampas kuasa itu dari Parlimen dan berikan kepada BNM? Satu-satunya badan yang boleh ambil alih kuasa Parlimen ini hanyalah Majlis Raja-Raja, bukan BNM, Kementerian Kewangan atau Kabinet. Sepatutnya semua menteri dalam Kabinet tahu akan tatacara ini.

Tapi bukankah kerajaan telah keluarkan kenyataan, letak bawah BNM secara interim sampai ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)?
Yang ini saya rasa alasan saja, sebab bila kita tekan mereka, kita letakkan semua hujah ini, mereka menggelabah. Sebab bila mereka buat kenyataan pada 14 Julai lalu, kenyataan itu sendiri tergesa-gesa. Kabinet buat keputusan sebelum RCI bersidang. Kabinet dah buat keputusan sebelum Jawatankuasa Bersama Kementerian Kewangan – Pejabat Perdana Menteri – Tabung Haji belum berjumpa pun. Jadi belum ada recommendation pun, tapi Kementerian Kewangan dah dapat meyakinkan Kabinet untuk cepat-cepat pindahkan TH.

Jadi bila kita tekan mereka, “kenapa buat macam ini sedangkan RCI pun belum bersidang?”, itu yang mereka keluarkan kenyataan interim. Apa perlunya interim, adakah dalam masa dua bulan ini ada salah laku dalam urus tadbir kewangan TH, sampai segera mahu pindahkan bawah BNM? Tiada. Malah kita nak tanya, interim untuk apa?

RCI TAK PERLU!
Bagaimana pula soal penubuhan RCI yang diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Ilham penubuhan RCI ini dari PH dan DAP. Hairan mengapa kerajaan PN juga tertarik mahu tubuhkan RCI bagi menyiasat TH. Nak siasat apa?

Jadi, RCI tak perlu?
RCI tak perlu. Yang perlu perkukuhkan kredibiliti kepimpinan dalam TH, dari Menteri sehingga semua Ahli Lembaga Pengarah dan seterusnya pengurusan kanan dalam TH, wajib semua golongan profesional bertauliah dalam pengurusan institusi kepentingan ummah, berintegriti dan kompeten. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment