Wednesday, July 28, 2021

Pentingnya Kewangan Islam Tatkala Pandemik

Covid-19 adalah satu pandemik yang membawa impak besar kepada pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial melibatkan masyarakat di seluruh dunia. Pengangguran mencecah jutaan orang di seluruh dunia dan banyak perniagaan ditutup atau berada di ambang kemuflisan. Jurang ekonomi antara kumpulan kaya dan miskin kelihatan semakin besar.

Sehingga Mac lalu, Jabatan Statistik Malaysia merekodkan jumlah pengangguran sebanyak 753,200 atau bersamaan 4.7 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini. Pertumbuhan produktiviti tenaga kerja mencatatkan nilai negatif sejak tahun lalu. Berbanding suku pertama tahun ini, Malaysia mengalami penurunan produktiviti buruh per pekerja sebanyak 0.4 peratus.

Kesan susulan adalah jelas apabila unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Dunia dikurangkan bermula daripada anggaran asal sebanyak 6.7 peratus pada Disember 2020 kepada enam peratus pada Mac 2021 dan unjuran terkini adalah sebanyak 4.5 peratus sahaja. Penurunan unjuran ini adalah disebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan proses vaksinasi yang agak perlahan daripada jangkaan.

Segelintir pakar ekonomi berpendapat, ekonomi global yang berteraskan sistem kapitalis dan sosialis mempunyai banyak kekurangan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, ada keperluan untuk perincian fatwa-fatwa dan hala tuju kewangan Islam bagi menghadapi situasi dan seterusnya pemulihan Covid-19. Antara usaha yang dilaksanakan adalah beberapa inisiatif produk muamalat seperti Inisiatif Waqaf dan Tabung Musaadah Covid 1.0 dan 2.0. Sistem kewangan Islam mendapat perhatian ramai terutamanya di negara-negara Islam.

Objektif utama sistem kewangan Islam adalah pembentukan masyarakat yang adil dan saksama melalui pengagihan pendapatan yang setara dan keadilan sosioekonomi. Sistem kewangan Islam menunjukkan perkembangan yang stabil dan konsisten sejak dekad lalu selepas berakhirnya krisis kewangan global.

Secara dasarnya, sistem kewangan Islam menitikberatkan prinsip pembahagian risiko, etika dan moral dan memastikan perlindungan ke atas orang yang mengalami kesusahan disebabkan sesuatu krisis yang berlaku. Kewangan Islam berasaskan pembahagian kekayaan dan bukan pengumpulan kekayaan. Antara kaedah kewangan Islam yang sesuai diguna pakai bagi membantu proses pemulihan pasca Covid-19 adalah musharaka, mudaraba, marabaha, ijarah, qardh-al-hasan, zakat dan awqaf.

Pertama, kontrak musharaka membolehkan perkongsian risiko dan sumbangan modal diberikan oleh bank-bank Islam kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Umum mengetahui, semangat dan keyakinan para pelabur dan peniaga semestinya rendah semasa krisis dan bantuan sangat diperlukan daripada institusi-institusi kewangan Islam yang ada.

Kedua, mudaraba yang secara asasnya sama seperti musharaka di mana kedua-duanya adalah kontrak pembiayaan berasaskan perkongsian keuntungan dan kerugian. Bagaimanapun, mudaraba melibatkan risiko yang lebih tinggi berbanding musharaka.

Pemulihan pasca Covid-19 memerlukan kontrak seperti musharaka dan mudaraba yang dapat membantu mengurangkan jurang ekonomi dan sosial di antara yang kaya dan miskin. Bantuan sebegini juga dapat memberi peluang kepada golongan miskin serta mereka yang hilang punca pendapatan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Ketiga, pembiayaan murabaha juga dapat meringankan beban mereka yang mengalami masalah kewangan disebabkan Covid-19. Sebagai contoh, kontrak bai-bitamin ajil murabaha adalah penjualan dalam kewangan Islam yang membenarkan penangguhan pembayaran seperti kewangan peribadi atau kewangan automatik di mana barang menjadi hak milik bank sebagai pembiaya.

Keempat, ijarah yang bermaksud pemberian kepada seseorang dengan caj, sewa atau bayaran. Dalam erti kata lain, ia adalah pajakan berlandaskan syariah.

Kelima, qardh al-hasan adalah satu kaedah pembiayaan dengan kos paling rendah bagi menggalakkan permintaan dan pengeluaran, seterusnya menurunkan paras harga dalam ekonomi. Qardh-al-hasan dapat meringankan beban mereka di mana peminjam tidak perlu membayar faedah dan ansuran juga boleh dibayar mengikut keselesaan peminjam.

Keenam, kaedah zakat sesuai untuk pembasmian kemiskinan dalam kalangan mereka yang terjejas akibat Covid-19, terutama orang miskin di mana mereka diberikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai.

Ketujuh, awqaf memainkan peranan penting dalam pembiayaan program pembasmian kemiskinan seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan bencana. Pengumpulan dana daripada golongan kaya dan berkemampuan di bawah awqaf digunakan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Kelapan, sadaqa merupakan pemberian sukarela mengikut kesanggupan pemberi untuk disalurkan kepada golongan yang layak. Seperti kaedah-kaedah pembiayaan yang dijelaskan sebelumnya, sadaqa dapat membantu meringankan mereka yang mengalami kesusahan hidup akibat Covid-19.

Pandemik Covid-19 memperlihatkan kepentingan peranan kewangan Islam dalam mengharungi isu dan cabaran dihadapi. Pemerkasaan sistem kewangan Islam dengan meluaskan penggunaannya adalah wajar terutama bagi membantu masyarakat yang ditimpa kesusahan. Selain itu, keperluan untuk pembinaan kekuatan dan keteguhan institusi-institusi kewangan Islam, penyelarasan usaha reformasi dengan pengawalseliaan kewangan global dan pengoptimuman penggunaan teknologi kewangan (fintech) adalah antara perkara penting yang perlu dilihat dan dititikberatkan oleh penggubal dasar negara.

Oleh: Dr. Nur Syazwani Mazlan

No comments:

Post a Comment