Monday, July 12, 2021

MCA, MIC Perlu Cari ‘Angin Baharu’ Jika Mahu Kekal Relevan, Kata Penganalisis

PETALING JAYA: Dua parti teras utama komponen Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama perlu mencari “angin baharu” dengan menyertai gabungan yang lebih kuat jika mahu mencapai prestasi lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, kewujudan MCA dan MIC dalam BN sangat bergantung kepada jenama Umno sehingga parti itu tidak mampu bersaing sendirian di kawasan bukan Melayu.

Malah katanya, keputusan kurang memberangsangkan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu membuktikan kekuatan parti komponen BN itu tidak mampu memberi sumbangan besar kepada gabungan tersebut.

“Parti ini sudah tidak begitu berkesan pada masa ini kerana keupayaan mereka untuk tarik sokongan orang Melayu menjadi sesuatu diragukan, sebaliknya MCA dan MIC banyak bergantung kepada kerusi ramai pengundi Melayu.

“Sekiranya MCA dan MIC bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu yang dikuasai kaum Cina, mereka akan kalah kepada parti seperti DAP dan parti pelbagai kaum lain.

“Maka orang kerap pertikaikan apakah sumbangan parti-parti ini? Dengan menyertai gabungan lain akan memberi angin baharu, menjenamakan semula parti dalam konteks peranan yang berbeza,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas mengenai polemik antara parti gabungan BN yang menyaksikan Presiden MIC, S A Vigneswaran secara terbuka menegur Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berhubung penarikan semula sokongan parti itu kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, teguran berkenaan mungkin berpunca daripada kelemahan kepimpinan Zahid mengemudi BN dan beberapa keputusannya yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakan komponen.

“Antaranya membelakangkan BN dan cuba membentuk kerjasama dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, iaitu seteru utama gabungan itu.

“Perkara seperti ini bukan menimbulkan keraguan dalam Umno itu sendiri, malah mempengaruhi rakan komponen yang nampaknya tidak begitu menghormati pengerusi BN,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Achmad Dzariean Nadzri pula berkata, defisit kepercayaan yang berlaku dalam hubungan parti-parti BN sememangnya wujud dan tidak mampu disorok.

“Kita dapat lihat dengan tindakan lantang presiden MIC walaupun kita akui MCA dan MIC tidak memiliki jumlah kerusi besar, tetapi untuk pastikan mereka sentiasa relevan, mereka perlu suarakan apa yang tidak betul dalam BN,” katanya.

Katanya, tindakan Zahid melantik Zambry Abdul Kadir sebagai setiausaha agung BN yang baharu menggantikan Annuar Musa tanpa mencapai konsensus daripada semua parti gabungan juga menyebabkan dua parti berkenaan “berkecil hati”.

“Tindakan Umno ini umpama membelakangkan MCA dan MIC yang menjadi antara tulang belakang BN, selain Umno,” katanya.

Polemik antara gabungan BN juga umpama tiada jalan penyelesaian apabila tindakan MIC yang menjemput Muhyiddin selaku pengerusi PN melancarkan Perhimpunan Agung MIC 2021 pada April lalu, walhal mereka adalah parti komponen BN.

“Ini menunjukkan MIC seolah-olah lebih menghormati perdana menteri berbanding pengerusi BN (Zahid). Ini tidak pernah berlaku dalam kepimpinan terdahulu tetapi berlaku sekarang menunjukkan gabungan BN terdiri daripada Umno, MCA dan MIC begitu longgar kedudukannya berbanding dahulu,” katanya.

Bagaimanapun pakar geostrategi Azmi Hassan sebaliknya memberi peringatan kepada MIC dan MCA supaya mempertimbangkan hasrat mereka jika benar mahu menyertai PN kerana dikhuatiri akan menjadi parti minoriti sama seperti dalam BN.

Katanya, MIC dan MCA mampu kekal sehingga kini kerana Umno sanggup berkorban dan memberi peluang kepada parti berkenaan bertanding di kawasan majoriti Melayu.

“Mereka perlu fikir habis-habisan kerana selama ini peluang banyak diberikan oleh Umno untuk bertanding. Jika mereka masuk PN, mereka akan dianggap sebagai minoriti sama juga dalam BN, tetapi sejarah membuktikan Umno sanggup berkorban dan beri peluang kepada MIC dan MCA.

“Kalau kita lihat bagaimana gerakan untuk sertai PN itu, kita boleh tahu apa akan terjadi jika MCA dan MIC sertai PN,” katanya yang turut berpendapat pergolakan antara parti komponen BN lebih menjurus kepada kurang hormat mereka kepada presiden Umno. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment