Monday, July 26, 2021

Kenapa Bukan Pelbagai Kaum?

Syukur alhamdulillah, setelah melalui pelbagai rintangan serta turun naik mahkamah, akhirnya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diluluskan pada 8 Julai lalu. Maka bertambah rancaklah ahli-ahli Pejuang menjalankan semua aktiviti yang telah dirancang sejak sekian lama. Bertambah meriah jugalah dunia politik tanah air dengan kemunculan parti baharu ini.

Namun, masih lagi kedengaran ramai yang mempersoalkan kenapa Pejuang tidak ditubuhkan sebagai sebuah parti pelbagai kaum, sebaliknya masih berasaskan satu bangsa, iaitu Melayu dan bumiputera sahaja?

Berkali-kali soalan ini diajukan kepada Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada pandangan saya, Malaysia masih belum bersedia untuk betul-betul mempunyai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum. Bukan waktu terdekat ini tetapi mungkin akan datang apabila Malaysia hanya mempunyai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Secara demografi, komposisi kaum terbesar di Malaysia adalah Melayu, Cina dan India, mempunyai perbezaan yang amat ketara dari segi bahasa, budaya dan identiti. Ditambah kecenderungan memperkenalkan diri sebagai satu bangsa negara. Umpamanya, seseorang yang mengakui dirinya sebagai orang Cina atau orang India, yang merujuk kepada negara asal mereka. Tidaklah diminta melupakan negara asal atau bahasa ibunda serta budaya mereka, tetapi ini menunjukkan ikatan yang kuat kepada negara-negara tersebut. Sepatutnya mereka lebih sesuai memperkenalkan diri sebagai keturunan Teo Chew atau Hakka, Tamil atau Malayalam.

Agak sukar juga berubah, sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan Cina, memakai lencana di dada yang bertulis ‘Negara Cina’, dari umur tujuh sehingga 12 tahun, kemudian menyambung pelajaran ke sekolah menengah persendirian Cina sehingga umur 18 tahun. Bayangkanlah.

Diharapkan sampai suatu ketika nanti, kita boleh memperkenalkan diri kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Tetapi untuk menjadi satu bangsa, perlulah mempraktikkan satu bahasa dan satu budaya. Seperti mana bangsa Indonesia, bangsa Thai atau bangsa Amerika.

Antara tujuan penubuhan Pejuang adalah kerana sekumpulan daripada kami merasakan negara ini perlu diselamatkan daripada segala penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Pada masa sama, Pejuang berharap dapat membantu kumpulan rakyat yang masih ketinggalan dari segi pendidikan dan ekonomi. Majoritinya Melayu dan bumiputera, iaitu hampir 70 peratus daripada jumlah seluruh rakyat (mengikut statistik suku pertama 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.)

Oleh kerana majoriti rakyat adalah Melayu dan bumiputera, dan Melayu itu juga beragama Islam, maka untuk memperjuangkan nasib mereka, sebuah parti Melayu amat diperlukan. Kerana banyak isu orang Melayu yang selalunya melibatkan agama hanya sesuai ditangani oleh parti Melayu. Tidak dinafikan memang sudah sedia ada parti Melayu yang memperjuangkan orang Melayu tetapi mereka dilihat telah terpesong jauh daripada tujuan asal. Maka, Pejuang menampilkan diri untuk memulihkan keadaan, mengembalikan maruah orang Melayu dan berjuang bagi pihak mereka.

Pada masa sama Pejuang juga perlu mendapatkan sokongan daripada semua rakyat tidak mengira kaum yang memahami dan bersetuju dengan aspirasi parti ini. Sebagai sebuah parti politik Melayu yang berprinsip, perjuangan Pejuang adalah jelas. Pejuang tidak akan mengabaikan hak kaum-kaum dan menjadi tanggungjawab Pejuang untuk mempertahankan hak-hak mereka seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pejuang juga akur, seandainya diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negara, ia perlu dikongsi dengan yang lain. Tidak mungkin Pejuang akan memegang kuasa seratus peratus.

Parti pelbagai kaum terbesar di Malaysia ialah PKR dan DAP tetapi rakyat umum melihat DAP adalah parti politik yang didominasi oleh kaum Cina. Ini jelas kerana 80 peratus kepimpinan tertinggi DAP adalah orang Cina. Sama juga dengan PKR, sebuah parti yang didominasi orang Melayu yang mana 70 peratus kepimpinan tertingginya adalah Melayu. Sebagai sebuah parti pelbagai kaum, sudah tentu ahli DAP ada orang Melayu. Persoalannya, adakah masalah orang Melayu yang perlu dibantu ekonominya, pendidikannya dan sosialnya dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi DAP? Masalah tanah rezab Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dibincangkan juga bagaimana cara untuk mempertahankannya?

Pada Jun lalu, PKR mengumumkan penubuhan Biro Agama yang diketuai oleh orang Melayu. Besar kemungkinan beliau beragama Islam. Jadi, Biro Agama ini adakah untuk Islam sahaja atau juga Kristian, Hindu dan Sikh memandangkan parti ini pelbagai kaum? Adakah akan dibincangkan masalah gereja, kuil Hindu, tokong Cina atau gurdwara dan juga masalah jirat Cina?

Jadi, adakah kedua-dua parti politik pelbagai kaum ini benar-benar jujur ingin mewakili semua kaum atau sekadar strategi politik? Sebuah parti politik yang dominannya kaum Cina, memerlukan juga sokongan kaum-kaum lain. Parti Melayu juga amat memerlukan sokongan kaum Cina dan India.

Kembali kepada soalan yang berkali-kali ditanya kepada Dr. Mahathir, jawaban beliau, “Malaysia sebenarnya tidak perlu parti pelbagai bangsa, hanya perlu ada satu parti pemerintah dan satu lagi parti pembangkang, seperti di Amerika. Tetapi di Amerika ada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Amerika.”

Oleh: Azman Mohd. Hashim
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

No comments:

Post a Comment