Friday, July 23, 2021

Kemakmuran Bersama....Singkirkan Sekolah Vernakular Dari Sistem Pendidikan Negara

Mahu kemakmuran bersama? Singkir dasar berasaskan kaum, kata ahli ekonomi
PETALING JAYA: Jika kerajaan benar-benar berniat mahu mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, ia mesti dimulakan dengan menyingkirkan dasar berasaskan kaum, kata seorang ahli ekonomi dan bekas penjawat awam.

Ramon Navaratnam, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, dasar perlindungan berasaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan mengakibatkan banyak penghijrahan cendekiawan, malah ramai orang telah meninggalkan Malaysia untuk mencari peluang lebih baik.

Katanya kepada FMT, bakat tempatan tiada insentif untuk bekerja di sini dan ini menunjukkan kelemahan struktur.

“Layan semua orang dengan adil, itu pengajaran kita dapat daripada Covid-19. Tolong orang miskin tanpa mengira kaum. Tetapi apabila anda lihat jiran anda yang hanya punyai separuh kelayakan anda diberi keutamaan mendapat pekerjaan, mana insentif untuk bersaing?
Ramon Navaratnam.

“Di mana insentif untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran dan seterusnya pertumbuhan ekonomi dan kapasiti untuk mengagihkan kekayaan?” soal beliau.

Sektor perkhidmatan awam katanya, terdiri daripada 90% orang Melayu, sementara hanya dua daripada 25 ketua setiausaha kementerian adalah orang bukan Melayu.

Beliau berkata, pada zaman beliau berada dalam sektor berkenaan, terdapat empat penjawat awam Melayu bagi setiap penjawat awam bukan Melayu.

Kuota kaum pada ketika itu pada kadar minimum tambahnya, dan ini membantu menarik bakat-bakat besar.

“Tak perlu banding dengan negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom atau Amerika Syarikat. Banding sahaja dengan jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan Singapura.

“Jika bersikap jujur, kita akan lihat kelemahan yang kita cipta untuk diri kita sendiri dan lebih teruk lagi, kita tak bersedia untuk berubah. Kita negara yang mempunyai banyak sumber, disebabkan itu, walaupun kita banyak kelemahan, kita masih boleh bertahan.

“Tetapi akan sampai waktu di mana, jika kita tidak berubah, kita takkan dapat kekal begitu. Kita bukan negara yang gagal, tetapi kita menuju ke arah itu,” kata Ramon.

Beliau menegaskan, DEB berguna ketika ia diwujudkan, namun manipulasi dan “penyelewangan” oleh pihak-pihak tertentu lambat laun menyebabkan perpecahan dan memperlahankan kemajuan negara.

Kata beliau lagi, pendidikan menjadi kunci kepada kemajuan atau kemerosotan Malaysia, sambil menambah bahawa kemakmuran bersama bukan hanya tentang mengenakan cukai melampau ke atas orang kaya untuk memberi kepada orang miskin.

Semua orang perlu mendapat peluang dan akses yang sama kepada pendidikan untuk membolehkan mereka maju dalam kehidupan, katanya.

Malaysia pernah mendapat pencapaian tinggi dalam PISA dan terkenal dengan kemampuan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, tambahnya.

“Ia perlu menjadi tentang peluang setara, bukan hasil setara. Kemakmuran bersama bagi saya, hanya slogan yang gah. DEB turut diasaskan atas dasar kemakmuran bersama.

“Ia mesti dibahagikan mengikut kemampuan, mengikut pemberian peluang. Anda tidak beri ikan kepada seseorang selama-lamanya, anda berikan dia joran.

“Tetapi perlu pastikan sesiapa yang boleh guna joran akan mendapatnya. Jangan hanya beri joran kepada segelintir tetapi nafikan hak yang lain,” katanya. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment