Friday, July 16, 2021

Cukai Progresif Untuk Golongan Kaya

KETIKA kebanyakan rakyat biasa di negara kita sedang terkesan teruk kerana pandemik Covid-19, 50 bilionair menetap di negara ini yang berada dalam Senarai Orang Paling Kaya Malaysia Forbes 2021 terus mencatatkan peningkatan jumlah kekayaan.

Kekayaan mereka sekarang telah meningkat sebanyak 14 peratus walaupun ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu.

Nampaknya, golongan bilionair bukan sahaja tidak terjejas kerana kemelesetan ekonomi, malah menjadi lebih kaya semasa ekonomi negara berada dalam krisis yang menyaksikan semakin ramai rakyat bawahan tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk menyara kehidupan mereka.

Jumlah kekayaan 50 bilionair Malaysia itu telah mencecah sebanyak AS$90 bilion atau lebih RM370 bilion. Adakah kehidupan rakyat biasa telah bertambah baik sebanyak 14 peratus ketika para bilionair meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 14 peratus?

Syarikat pengeluar sarung tangan getah telah mencatatkan peningkatan keuntungan yang besar ketika dunia sedang diancam pandemik Covid-19. Peningkatan kekayaan itu berlaku ketika heboh pelbagai kontroversi mengenai eksploitasi pekerja.

Golongan terkaya menjadi semakin kaya ketika dunia dalam krisis, bukan sesuatu yang mengejutkan di bawah sistem kapitalis. Sistem itu telah mewujudkan ketidaksamarataan pengagihan kekayaan masyarakat dan sering berlaku eksploitasi.

Ketika ekonomi sedang berkembang pesat, golongan pekerja telah diperah tenaga mereka dengan bayaran gaji tidak setimpal dengan sumbangan diberikan. Sebaliknya, semasa ekonomi mengalami kemerosotan, pekerja pula menjadi korban apabila diberhentikan atau dikurangkan gaji bagi menyelamatkan syarikat.

Rakyat biasa akan terus mengalami kesusahan dalam kehidupan dengan ancaman pandemik yang masih berterusan dan krisis ekonomi yang diburukkan oleh Covid-19. Kita boleh menjangkakan ekonomi tidak akan pulih ke tahap seperti sebelum berlakunya pandemik dalam jangka masa singkat.

Jika ekonomi dipulihkan kepada keadaan sebelum ini pun, ia masih tidak membawa makna yang besar kepada rakyat biasa kerana sistem ekonomi kapitalis yang mengeksploitasi pekerja dengan gaji rendah, masa kerja panjang dan kekurangan perlindungan sosial terus berfungsi.

Kita bukan sahaja perlu memulihkan ekonomi, tetapi harus memulihkan juga fungsi ekonomi yang sebenar, iaitu menjamin kesejahteraan hidup masyarakat yang mampan. Untuk berbuat demikian, kita perlukan anjakan paradigma dalam dasar ekonomi kita.

Kita tidak boleh lagi bergantung kepada ekonomi pasaran kapitalis yang berlandaskan cukai ke atas keuntungan korporat untuk membiayai keperluan masyarakat.

Matlamat mengaut keuntungan lumayan dalam masa singkat di bawah sistem ekonomi kapitalis dikuasai oleh golongan pemodal yang mempunyai wang banyak telah melemahkan keimunan masyarakat kita terhadap ancaman krisis.

Masalah ini hanya dapat diatasi dengan jika dasar sosioekonomi kita beralih daripada dasar mengutamakan keuntungan korporat kepada polisi mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk memastikan golongan bilionair yang mengaut keuntungan lumayan daripada kesengsaraan rakyat itu membayar lebih banyak cukai melalui sistem percukaian progresif yang mengagihkan semula kekayaan.

Bayangkanlah jika 14 peratus peningkatan kekayaan 50 bilionair di Malaysia itu boleh digunakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kita sudah tentu dapat mengatasi banyak kekangan dalam sistem kesihatan awam, di samping menyediakan lebih banyak kediaman dan meningkatkan kemudahan asas untuk rakyat.

PARTI SOSIALIS MALAYSIA (PSM)
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment