Monday, July 5, 2021

Jom ‘Jaga Tepi Kain’ Jiran

Kisah kibar bendera putih bagi yang keputusan makanan semasa pandemik Covid-19 adalah satu lagi episod sedih yang sedang berlaku. Ia berlaku di sekeliling kita. Jika tidak melibatkan kita, ia melibatkan jiran-jiran kita yang sedang diuji dengan kelaparan dan kekurangan harta.

Memanglah dalam hidup, duit bukan segala-galanya. Tetapi segala-galanya perlukan duit. Dengan duit kita memberi nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anak selain melunaskan segala hutang-piutang yang lain.

Kini selepas lebih dua tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan coronavirus sebagai darurat kesihatan dunia bermula 31 Januari 2019, ramai yang makin terdesak. Hidup makin sukar apabila banyak sektor ekonomi terjejas dan ditutup.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pada 21 Julai 2020 meramalkan kira-kira 1.9 juta orang di negara ini akan hilang pekerjaan menjelang hujung tahun 2020.

Lebih membimbangkan, ia turut membabitkan golongan profesional.

Kesukaran yang dialami boleh dibayangkan. Jika ada simpanan pun tetapi selepas lebih setahun diberhentikan kerja dan masih menganggur, berapa ramai yang mampu bertahan?

Mungkin ibu bapa boleh menahan selera makan sajian mewah tetapi bagaimana pula anak-anak yang masih kecil yang terliur misalnya apabila melihat KFC? Realitinya, usahkan KFC nak beli lauk harian pun perit.

Apa tidaknya, harga ikan kembung di Lembah Klang misalnya RM20 sekilogram. Lauk paling murah adalah ayam, kira-kira RM7 sekilogram.

Di sinilah, jiran boleh membantu. Islam amat memberi perhatian kepada peranan jiran dalam hidup bermasyarakat. Memanglah dalam hidup ini, ada yang Allah beri keluasan rezeki dan ada yang diuji dengan kekurangan rezeki. Yang terbaik, mereka yang diberi kelebihan rezeki, bantulah jiran yang memerlukan.

Jiran mencakupi semua sama ada yang Muslim dan kafir, orang taat beribadat dan orang fasik, teman atau musuh, orang asing dan pribumi, orang baik dan orang jahat, saudara dan bukan saudara, yang paling dekat rumahnya atau yang berjauhan. Ini dijelaskan menerusi Rasulullah SAW yang bermaksud: Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga. (Riwayat Abu Daud)

MENGANGGUR

Perlu kita mengambil sikap jaga tepi kain jiran. Jika kita tahu ada yang sudah berbulan-bulan diberhentikan kerja, masih menganggur dan mempunyai tanggungan yang ramai, usah banyak soal. Aturkan bantuan baik dalam bentuk wang tunai atau barang-barang keperluan.

Bantu semampunya. Tidak salah jika kita tubuhkan pasukan atau pakatan bersama beberapa jiran lain untuk membantu agar jumlah bantuan yang lebih besar dapat disalurkan.

Sedar atau tidak, situasi ini juga menguji mereka yang diberi kelebihan harta, sejauh mana mereka beriman dengan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:⁣ “Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan.” (Riwayat al-Tabarani)

Adakah kita mengaku sudah beriman tetapi tewas dengan ujian dengan sedikit harta yang Allah kurniakan? Jangan kita jadi orang yang tidak ada perasaan atau belas ihsan terhadap apa yang menimpa jiran dan saudara-saudara kita. Rezeki itu daripada Allah dan ia boleh ditarik pada bila-bila masa jika kita kufur dan tidak bersyukur.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah: 214)

Selain itu, apabila masak makanan, lebihkan sedikit supaya boleh dikongsi dengan jiran-jiran yang terkesan ekoran pandemik Covid-19. Budaya tolong-menolong suatu ketika dahulu perlu disuburkan kembali. Lebih-lebih lagi jika masakan itu terhidu oleh jiran kita.

Ini amat disarankan oleh Islam sebagaimana sabda Nabi SAW kepada Abu Dzar r.a (sahabat Nabi): “Hai Abu Dzar, jika engkau memasak kuah, maka perbanyaklah airnya, kemudian berikan kepada tetanggamu.” (Riwayat Bukhari)

PENGEMIS

Jangan pula kita lupa kepada mereka yang tidak pernah menceritakan kepayahan dan kesukaran hidup yang dilalui. Bantulah juga golongan begini yang dapat kita kesan kesulitan mereka hasil sedikit risikan yang dilakukan.

Sebabnya, kita digalakkan untuk memberikan sedekah kepada mereka yang tidak meminta-minta. Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.” (al-Baqarah: 273)

Mereka ini adalah golongan yang tidak mahu meminta kepada orang lain dengan cara mendesak sebagaimana yang dilakukan oleh para pengemis.

Tidak dinafikan banyak pihak baik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan agama Islam negeri dan orang perseorangan yang tampil membantu. Antaranya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui program Gerobok Rezeki (barang asas dapur) dan Dapur It’am (makan tengah hari).

Sebanyak 132 masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terlibat dalam program Gerobok Rezeki manakala 69 lagi masjid dan surau Jumaat yang terlibat dalam Dapur It’am.

Jumlah keseluruhan untuk dua inisiatif itu setakat Jun lalu adalah lebih RM4 juta. Tahniah dan syabas kepada Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Tidak dilupakan terima kasih kepada para pembayar zakat!

No comments:

Post a Comment