PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita dikunjungi jiran selepas kira-kira 40 minit menjemur kain lap berwarna putih mencuit hati netizen hari ini yang menyifatkan peristiwa itu mencerminkan kejayaan kempen bendera putih.
Pemilik akaun Facebook bernama Annie Sait, 33, dari Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, pada mulanya dia menyangka suara perempuan memberi salam di hadapan tingkap rumahnya adalah penghantar barang.
“Sekali dia tanya kakak ‘okey’ ke? Adakah perlu apa-apa bantuan? Pada mulanya saya bingung juga mengapa dia tanya begitu. Selepas itu dia cerita kempen bendera putih.
“Saya rasa terharu dan minta maaf jemur kain begitu. Terlupa pula ada kempen bendera putih,” tulisnya menerusi kumpulan Facebook Lupa Apa Hari Ini.
Annie memuji sikap jirannya yang prihatin dan kemudian mengalihkan kain lap itu ke belakang halaman dapur kerana bimbang menarik perhatian jiran lain yang mungkin akan bertindak serupa apabila ternampak kain tersebut.
“Bermakna kempen itu berjalan dengan jayanya. Alhamdulillah,” komen Mawar Norsolehah.
“Itu tanda semangat kejiranan di situ bagus. Alhamdulillah dapat jiran yang baik dan prihatin,” ujar Nurul Wahida.
“Tapi kain lampin ini memang seronok buat lap-lap minyak atau air cepat serap,” balas seorang lagi. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment