Thursday, July 8, 2021

Portal Mandarin Petanda Ramai Orang Cina Tak Faham Bahasa Melayu?

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan portal bahasa Mandarin jelas menunjukkan rata-rata masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan dengan baik.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong merumuskan perkara itu dengan beranggapan sama ada sistem pendidikan negara gagal atau sikap orang Cina terhadap bahasa Melayu ‘dingin’ sehinggakan belajar untuk lulus peperiksaan sahaja.

“… dan selepas lulus peperiksaan mereka persetankan jadi pengetahuan itu berkarat.

“Mereka tidak faham sebab setelah belajar secara instrumental untuk lulus dalam peperiksaan dapat kepujian dan lulus SPM, maka mereka ketepikan sahaja lama-lama menjadi karat.

“Justeru bila wujud dalam bahasa Melayu sahaja, memang mereka tidak faham jadi perlu ada terjemahan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas mengenai gesaan supaya SPRM menutup portal berkenaan, Prof Kok Seong berkata, meskipun boleh atas desakan masyarakat, namun maklumat penting yang kerajaan ingin sampaikan kepada rakyat terutamanya bangsa Cina mengenai rasuah tidak akan kesampaian.

“Portal itu diwujudkan pertamanya untuk menyampaikan mesej satu masalah negara yang besar iaitu rasuah. Itu matlamatnya serta tidak ada cara lain untuk diterjemahkan dan wujudnya portal dalam bahasa Cina.

“Kalau kita tutup portal bahasa Cina dan minta mereka rujuk kepada portal bahasa Melayu, mereka tidak faham jadi maklumat itu tidak sampai,” katanya.

Bagi Prof Kok Seong, untuk waktu terdekat ini portal bahasa Mandarin itu adalah cara untuk menyampaikan maklumat penting mengenai rasuah.

“Tetapi untuk jangka panjang takkan 20 tahun lagi kena portal bahasa Cina.

“Buat masa ini portal itu untuk maksud menyampaikan maklumat rasuah itu. Tapi permasalahan ini kena diselesaikan dengan cara lain bahawa pengetahuan bahasa Melayu perlu dipertingkatkan. Sehubungan itu minta pemimpin Cina selesaikan masalah ini,” katanya.

Terdahulu, SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, tindakan itu menerima kecaman ramai pihak yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar dan memalukan.

Sumber: ismaweb.net
Artikel ini telah disiarkan pada September 21,2020

No comments:

Post a Comment