Saturday, July 3, 2021

Mampu Bertahan Hanya 4 Minggu

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mulai esok hanya boleh dilakukan sehingga empat minggu.

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, negara tidak akan mampu melakukan PKPD melebihi tempoh itu kerana ia akan memberi kesan bukan hanya kepada ekonomi tetapi juga kesan sosial yang akan menjadi semakin teruk.

“Jika PKPD dilaksanakan secara sistematik dan rakyat mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP), tempoh PKPD selama dua minggu sudah cukup memadai.

“Namun jika perlu ditambah, tempoh selama 2 minggu sahaja yang negara mampu terima,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, pelaksanaan PKPD menyeluruh itu adalah perkara yang patut dilakukan walaupun ia adalah pendekatan yang ketat namun ia pasti akan berkesan.

Namun begitu, Baharom menjelaskan, penutupan kilang-kilang akan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memandangkan Selangor dan Kuala Lumpur merupakan nadi kepada ekonomi negara.

“Tetapi kesan itu hanyalah sementara dan dijangka akan pulih kembali,” katanya.

Selangor dan Kuala Lumpur dianggarkan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada KDNK negara.

Lantaran itu, keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPD di kedua-dua negeri menerima reaksi negatif daripada pasaran apabila Bursa Malaysia yang baru pulih daripada kejatuhan terburuk dalam tempoh tujuh bulan kelmarin, kembali jatuh dalam sesi dagangan semalam.

Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim menjelaskan, salah satu faktor urus niaga Bursa Malaysia ditutup rendah semalam dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.88 kepada 1,533.35, adalah PKPD yang dilaksanakan mulai esok (hari ini).

“Itu kerana kemungkinan kilang-kilang sarung tangan getah yang kebanyakannya terletak di Klang tidak dapat beroperasi selama tempoh PKPD itu.

“Antara faktor lain kejatuhan mata itu ialah, tindakan Pertubuhan Pengeluaran Minyak (OPEC) melanjutkan mesyuarat mereka yang berlangsung semalam kepada hari ini kerana Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak bersetuju dengan cadangan menaikkan pengeluaran minyak sebanyak 0.5 juta tong sehari bermula Ogos,” jelas Adam.

Ujarnya, perbincang itu perlu diteruskan untuk mencapai kata sepakat. Justeru, itu telah menyebabkan ketidaktentuan terhadap pasaran minyak sedunia semalam.

Semalam, minyak mentah WTI ditutup pada kadar AS$75.08 (RM312.56) setong, susut 0.04 peratus daripada kelmarin, sementara Brent AS$75.65 (RM314.93) setong, jatuh 0.15 peratus daripada sesi dagangan sehari sebelumnya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment