Monday, July 5, 2021

Bila Ada Diantara Kita Menjadi Rakus Dan Tamak...

Caj hantar makanan naik?
ALOR SETAR: Syarikat pengendali aplikasi penghantar makanan didapati mengambil kesempatan ‘mengaut keuntungan’ dengan menaikkan caj perkhidmatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, perkhidmatan syarikat terbabit dipercayai bertindak sedemikian selepas mendapat sambutan daripada pengguna yang tidak keluar rumah ketika PKP.

Menurutnya, pada kesempatan itu, syarikat berkenaan sewenang-wenangnya menaikkan caj penghantaran kerana tiada pihak yang memantau sepenuhnya operasi mereka.

“Sebagai contoh sebelum PKP, caj penghantaran yang diambil sebanyak RM4 hingga RM5 untuk satu perkhidmatan, tetapi caj itu telah dinaikan sehingga RM10 pada PKP ini.

“Cake bimbang syarikat tersebut akan terus menaikkan caj penghantaran selepas ini sekiranya tiada tindakan diambil ke atas mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan meletakkan pemantauan operasi syarikat pengendali aplikasi makanan itu di bawah satu jabatan bagi memudahkan kawal selia dan pemantauan.

Menurutnya, jabatan ber­kenaan juga boleh menerima aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan dan makanan yang dibeli.

“Cake juga menerima laporan makanan yang dijual menerusi perkhidmatan pengendali aplikasi itu lebih mahal melebihi antara RM1 hingga RM2 berban­ding dibeli di restoran berkenaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Peniaga jalanan kaut untung

GEORGETOWN: Peniaga kuih di gerai jalanan negeri ini termasuk di kawasan perumahan digesa tidak mengaut keuntungan berganda daripada hasil jualan mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa gerai menjual kuih-muih di sekitar Bayan Lepas dan Sungai Ara di sini semalam mendapati harga makanan yang dijual seperti burger Malaysia atau pau sambal terlalu mahal.

Menerusi penelitian, ada dalam kalangan peniaga terbabit bertindak meletakan harga bagi sebiji burger Malaysia sehingga RM1 sebiji berbanding dijual hanya 50 sen ketika ini.

Seorang pelanggan, Siti Azila Mahmud, 55, berkata, dia terkejut dengan tindakan sebilangan sikap peniaga yang meletakkan harga tidak masuk akal bagi kuih-muih ketika semua rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, peniaga seharusnya menyedari keadaan yang berlaku ketika ini dan tidak perlu mengambil kesempatan di sebalik pandemik yang tersebut.

“Kuih burger Malaysia yang dijual RM1 sebiji sudah sama harga dengan sebungkus nasi lemak ikan atau ikan bilis.

“Hendak kata saiznya besar dan berbaloi dengan harga pun tidak juga kerana kuih serupa dengan bentuk dan yang saiz sama kini dijual hanya 50 sen sebiji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, peniaga kuih-muih di negeri ini tidak sepatutnya mengambil kesempatan ketika masih banyak gerai makanan itu belum dibuka ketika ini.

“Bukan peniaga sahaja yang terjejas akibat pandemik Covid-19, malah pengguna juga mengalami situasi yang sama ketika ini.

“CAP mendapati tiada berlaku kenaikan harga drastik bagi bahan mentah untuk membuat kuih seperti tepung dan gula kecuali minyak masak, jadi peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga jualan makanan secara terlampau,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment