Saturday, July 24, 2021

Kesukaran Masuk Gaza, OIC Digesa Main Peranan

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar kerajaan menggunakan saluran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membantu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Islam untuk masuk ke Gaza.

Menurut Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid, kerjasama dengan OIC amat penting bagi membantu rakyat Palestin di Gaza yang dilanda krisis kemanusiaan ekoran ketegangan yang berlaku.

“Dalam masa yang sama, suatu prosedur jelas antara dua negara, Malaysia dan Mesir perlu digariskan sebagai panduan kepada NGO Malaysia bagi merencana bantuan kemanusiaan dan masuk ke Gaza.

“Oleh itu jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan dengan telus dan lancar harus dibincangkan antara kedua-dua negara, Malaysia dan Mesir. Faktor keselamatan adalah perkara paling utama dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, banyak NGO Malaysia yang dapat masuk ke Gaza sejak 2009 dan melaksanakan pelbagai projek kemanusiaan sangat bergantung kepada pihak berkuasa Mesir.

Jelas Mohd. Azmi, NGO kemanusiaan dari banyak negara lain memasuki Gaza hanya setelah dibenarkan oleh Mesir.

“Kami mengambil maklum mengenai kesukaran buat masa ini untuk NGO Malaysia memasuki Gaza. Kami menyeru agar Wisma Putra menggunakan hubungan diplomatik yang terbaik untuk mendapat kerjasama dengan pihak Mesir bagi usaha kemanusiaan NGO Malaysia berjalan lancar di Gaza.

“Usaha beberapa pihak NGO Malaysia untuk masuk ke Gaza tetapi tidak mendapat kelulusan, menandakan suatu koordinasi rasmi antara dua kerajaan Mesir dan Malaysia perlu diadakan,” jelasnya.

Katanya, pihak berkuasa Mesir mempunyai banyak pertimbangan untuk membenarkan mana-mana NGO atau individu dari luar Mesir masuk ke Gaza.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Misi Humanitarian Mission (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diminta untuk tidak meneruskan misi ke Gaza dan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, sejak berlepas ke Mesir pada 16 Jun lalu, rombongan itu masih belum mendapat kebenaran untuk memasuki Gaza untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan ke wilayah itu dan kawasan al-Quds.

Selain itu, rombongan misi kemanusiaan ke Gaza oleh pendakwah dan penceramah bebas, Ebit Liew dibenarkan masuk ke wilayah bergolak itu selepas mendapat kebenaran daripada Kerajaan Mesir.

Namun, rombongan itu dilanda kontroversi apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilemparkan kepada pendakwah terkenal itu melibatkan beberapa selebriti terkemuka tanah air. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment