Wednesday, July 14, 2021

Kita Bukan Lembu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak menyesal dengan penggugurannya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO hanya kerana memberikan pandangan kritikal ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, minggu lalu.

Tajuddin menegaskan, apa yang beliau bangkit dan perkatakan dalam mesyuarat itu adalah perkara benar apabila sehingga hari ini tidak ada pihak menafikan pandangannya.

"Terpulanglah kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) nak terima atau tak pandangan saya.

"Kalau itu yang jadi sebab dia nak ganti saya, tak apa lah. Saya tak menyesal dengan apa yang saya perkatakan kerana itu perkara 100 peratus benar.

"Dia ada kuasa, maka terpulang pada dialah. Saya pun tak kecewa sebab banyak lagi kerja lain saya boleh buat untuk bantu parti," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya parti itu berkuat kuasa serta-merta menggantikan Tajuddin yang dilantik ke jawatan itu pada 4 November tahun lalu.

Baru-baru, ini tular rakaman audio dikatakan suara Tajuddin ketika mesyuarat MKT UMNO pada Rabu lalu yang menyifatkan keputusan parti menarik sokongan daripada Muhyiddin ketika rakyat bergelut dengan krisis COVID-19, sebagai tidak wajar.

Sementara itu, Tajuddin berkata perbezaan pendapat dalam mesyuarat sepatutnya tidak menjadi masalah kerana dengan cara itu akan wujud idea yang boleh dipertimbangkan untuk kebaikan parti.

Katanya, sebagai ahli UMNO selama 45 tahun, beliau tidak mahu menjadi 'pak turut' dalam semua keadaan.

Beliau berkata, pandangannya dalam mesyuarat MKT UMNO itu menyentuh masa depan parti selepas beberapa kali membuat keputusan yang salah.

"UMNO ini sebuah parti besar, kalau buat keputusan biarlah yang tepat dan membawa kepada kejayaan. Kalau membawa kesan negatif kepada parti, nak buat apa. Rakyat memerhatikan.

"Sepatutnya tidak ada masalah perbezaan pendapat kerana kita bukannya lembu. Seekor lembu di depan masuk kandang, kita yang lain pun ikut masuk kandang. Bila seekor keluar kandang, kita pun keluar kandang," katanya.

"Sekarang Tok Mat (Mohamad) ambil alih, baguslah. Teruskanlah, saya doakan dia boleh buat, cuma masa akan menentukan sama ada dia boleh atau tidak boleh," katanya. - bharian.com.my

No comments:

Post a Comment