APAKAH 'kebenaran' sentiasa berubah-ubah mengikut masa dan keadaan? Apakah 'kebenaran' itu harus dihitung dari segi untung dan rugi dari segi kepentingan politik semasa semata-mata?
Jawapannya tampak begitu jelas apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini seakan-akan mempersetankan pandangan pelbagai pihak termasuk kalangan ulama yang bimbang dengan pendiriannya dan Pas apabila merestui penggunaan kalimah Allah dalam amalan penganut agama lain.
Persoalan yang melingkungi isu kalimah menyentuh perkara paling besar dalam Islam yang membezakan akidah umatnya dengan penganut agama lain itu seolah-olah cuba disesuaikan dengan pandangan para pemimpin parti-parti dalam pakatan pembangkang.
Pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan menegaskan Pas mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini kerana Islam tidak menghalang penganut agama lain mengggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Abdul Hadi dalam kenyataannya berkata, al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah." Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)
Malah Abdul Hadi menyalahkan UMNO yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebas-bebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.
Pendirian Abdul Hadi dan Pas ini disokong seketika oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bagaikan tanpa mengambil kira kemaslahatan umum dalam senario rakyat di negara ini.
Namun Majlis Syura Ulama Pas malam kelmarin mengembalikan rasional dan membuat keputusan mengejutkan - bertentangan sama sekali dengan keputusan dan hujah Abdul Hadi dalam sidang akhbar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sebelum ini.
Entah apa sebabnya Nik Abdul Aziz menjadi kendur apabila beliau bersama timbalannya, Datuk Dr. Haron Din yang mengetuai Majlis Syura Ulama Pas, memutuskan kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar daripada kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.
"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ia salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata," ujar Majlis Syura Ulama dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Abdul Hadi sendiri menyedari bahawa "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
Malah katanya kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu umat Islam pelbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.
Sememangnya ia mudah mengelirukan dan terbuka untuk disalahgunakan apabila penggunaan Allah seoalh-olah mahu disamakan dengan konsep Trinity dalam Kristian.
Sebenarnya isu ini berbangkit semula apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan membenarkan kalimah itu dimuatkan dalam bible Bahasa Melayu.
Tidakkah ini menimbulkan syak wasangka atau keraguan yang sangat berasas tentang agenda di sebaliknya dalam hubungan agama kerana kalimah itu mahu digunakan dalam bible edisi bahasa Melayu dan tidak dalam bahasa-bahasa lain.
Jika penerimaan Pas pada awalnya ini cuba dikaitkan dengan suatu dakwah apabila kalimah Allah dimuatkan dalam kitab lain, mengapa tidak Pas membantu menyebarluaskan penggunaan terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu.
Justeru kali ini ayat mana pula nantinya Abdul Hadi akan bacakan untuk mengukuhkan hujahnya 'membenarkan' pendirian baru yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.
Apakah yang menyebabkan Pas mengubah pendirian dalam situasi sekarang? Mungkinkah kerana pilihan raya semakin hampir dan merasakan penerimaan bukan Melayu terhadap parti itu tidak banyak memberi makna berbanding membiarkan keresahan yang berombak menjadi gelombang penolakan umat Islam terhadapnya?
Oleh : Wan Zulkifli Wan Yaacob
No comments:
Post a Comment