Thursday, January 10, 2013

Jenis Penulisan Manuskrip Melayu


MANUSKRIP Melayu merupakan warisan ilmu para cendekiawan Melayu yang ditinggalkan untuk dibaca dan dikembangkan oleh generasi Melayu yang seterusnya. Sungguhpun begitu, situasi bidang penulisan manuskrip Melayu tidak seperti penulisan manuskrip di dalam kerajaan Islam yang lain, di mana pilihan subjek penulisan manuskrip lebih luas dan lebih mendalam terutamanya astronomi, perubatan, botani dan sebagainya.

 MANUSKRIP mengenai penyakit kulit yang dikenali sebagai puru.

Terdapat tiga jenis penulisan manuskrip Melayu yang utama iaitu; penyalinan, penterjemahan dan penulisan baru. Ketiga-tiga kategori utama ini telah diusahakan oleh para penulis Melayu sebelum abad ke-20 bagi memperkayakan lagi bahan bacaan dan ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Penyalinan ialah di mana para penulis Melayu menyalin semula manuskrip yang telah dihasilkan sebelum mereka ataupun manuskrip yang dihasilkan di tempat lain. Contoh yang paling jelas ialah al-Quran. Naskhah al-Quran yang digunakan oleh masyarakat Melayu Islam di Nusantara telah disalin semula oleh para penulis Melayu.

MANUSKRIP Doa dan Selawat yang disalin daripada
manuskrip yang dihasilkan di luar Nusantara.

Kerja penyalinan selalunya mempunyai seorang penyunting yang arif tentang subjek tersebut seperti seorang yang hafiz al-Quran yang akan memeriksa kerja penyalinan al-Quran sebelum naskhah tersebut digunakan.

Selain al-Quran, manuskrip atau kitab agama berbahasa Arab yang berkaitan dengan tauhid atau fikah, khususnya telah disalin dan digunakan sebagai buku rujukan oleh ahli agama yang mengajar di masjid dan di sekolah-sekolah pondok.

Selalunya, para guru akan membaca dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan untuk para hadirin atau pelajar yang hadir di dalam kelas tersebut sebelum dikupas dan dijelaskan dengan teliti oleh seseorang ahli agama tersebut.

Kerja penyalinan tidak terhad daripada sumber buku sahaja, ia juga disalin dari kelas agama yang dihadiri oleh penulis terutamanya yang menuntut di Mekah seperti Sheikh Daud Al-Fatani. Manuskrip yang disalin daripada sesi pengajaran ulama-ulama di Mekah akan dicatatkan di bahagian kolofon yang terletak di belakang manuskrip.

Antara maklumat penting yang dinyatakan ialah sumber isi manuskrip ini diambil, siapa nama gurunya, tarikh dan masa. Ini secara tidak langsung menunjukkan rasa amanah dan jujur dalam mengembangkan ilmu di mana para penulis Melayu dahulu tidak akan mengakui kerja penulisan yang bukan dihasilkan sendiri sebagai karya mereka.

MANUSKRIP Fikah yang diterjemahkan daripada bahasa
Arab ke bahasa Melayu.

Penterjemahan
Kategori yang kedua ialah penterjemahan manuskrip. Kerja-kerja penterjemahan yang dilakukan oleh para penulis Melayu pada waktu itu patut diberi pujian kerana kebanyakan manuskrip yang diterjemahkan mempunyai nada yang 'sejadi' dengan penulisan tempatan. Contohnya, hikayat-hikayat yang diterjemahkan daripada karya berbahasa Arab atau Parsi, jika dibaca seakan-akan cerita hikayat yang berlatarkan Nusantara.

Ini menunjukkan kepakaran dan penguasaan bahasa penulis Melayu pada waktu itu yang mampu menterjemah dengan amat baik sekali walaupun tanpa bantuan kamus atau alat terjemahan atas talian seperti hari ini yang banyak digunakan walaupun terjemahan yang selalu diberikan lebih kepada terjemahan perkataan dan bukan ayat penulisan Melayu yang sebenarnya.

Karya baru
Penulisan baru ialah karya baru yang dihasilkan oleh para penulis Melayu tentang apa yang mereka alami, miliki dan pelajari. Antara bidang yang banyak dihasilkan ialah perubatan tradisional, pantang larang dan hikayat.

Namun begitu, berbanding dengan manuskrip botani dunia Islam yang lain, manuskrip Melayu yang membincangkan tentang tumbuhan herba tidak mempunyai sebarang lakaran tentang tumbuhan yang dimaksudkan.

Kebanyakan manuskrip botani wilayah Islam lain yang membincangkan tentang tumbuhan herba mempunyai lukisan tumbuhan atau bahagian-bahagian pokok yang dimaksudkan untuk memudahkan pembaca atau pelajar mengenalpasti tumbuhan yang dimaksudkan.

Bagi bidang sejarah tempatan, hikayat seperti; Taj al-Salatin atau Sulalatus Salatin banyak mengandungi maklumat tentang budaya, politik dan gaya hidup, khususnya golongan bangsawan Melayu.

Selain daripada maklumat kesultanan tempatan, Hikayat Munsyi Abdullah dan Pelayaran Abdullah, contohnya banyak memberi maklumat tentang sosio politik di zaman penjajahan Belanda dan Inggeris di Melaka serta negeri-negeri Melayu lain yang mereka lawati.

Sumber : utusan@sastera

No comments:

Post a Comment