nuffnang

Monday, January 21, 2013

Perjuangan Bahasa Melayu Di Nusantara

FENOMENA Melayu, demikian tajuk siri rencana oleh Dr. H. Tabrani Rab yang disiarkan dalam beberapa akhbar Indonesia dan kemudian diterbitkan dalam buku oleh Lembaga Studi Sosial Budaya Riau pada tahun 1990.
Lalu beliau menulis antara lainnya: “Melakalah yang sebenarnya telah meletakkan asas transformasi bahasa Melayu daripada suatu bahasa kecil menjadi bahasa komunikasi perdagangan, ilmu dan diplomatik yang besar dan dengan itu memberikan tiang-tiang besar untuk perkembangannya menjadi bahasa Melayu seperti yang kita kenal hari ini.”

Terbit kini ialah buku yang mengisahkan pelbagai aspek sejarah Singapura, termasuk mengenai perkembangan bahasa Melayu, berjudul Paths Not Taken (terbitan National University of Singapore). Antara makalah ialah Malay Cosmopolitan Activism in Post-War Singapore.

Pada peringkat awal dicatat: Tidak lama selepas wujudnya koloni Singapura pada tahun 1819, orang Melayu menjadi golongan minoriti di pelabuhan yang dikuasai oleh Inggeris. Walaupun pada peringkat minoriti, peratus Melayu kekal pada peringkat global 15 peratus sejak abad ke-19, Singapura melaksanakan peranan penting dalam perkembangan intelek Melayu dan kecergasannya.

Menurut kedua penulis makalah berkenaan, keduanya sarjana bukan Melayu Timothy P. Barnard dan Jan van der Putten - punca kecergasan masyarakat Melayu itu ialah kewartawanan. Pelbagai kedai sepanjang jalan-jalan di Kampung Glam berupa tempat-tempat percetakan akhbar-akhbar dan majalah sejak 1870-an, demikian disebut.

Isu Bahasa Melayu menjadi alat dalam perjuangan terhadap feudalisme golongan elit, pihak-pihak penjajah dan majoriti golongan asing dalam masyarakat serta berkaitan dengan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia, kerana, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa utama Malaya yang merdeka.

Para wartawan dan pelbagai golongan dari bidang-bidang lain sepakat dalam keyakinan mereka kepada bahasa dan kesenian Melayu bagi mengisi kemerdekaan. Walau pun ramai pihak membicarakan isu-isu pokok di Singapura dan Malaysia, tumpuan utama mereka ialah bahasa dan budaya.

Diwarisi dari pelbagai debat di antara para wartawan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura ialah kedudukan bahasa Melayu yang begitu penting sekali “seperti kesan halilintar yang menyedarkan orang Melayu selama-lamanya.”

Menurut kedua penulis, gerakan sastera dan nasionalisme Melayu muncul di Singapura pada tahun 1950-an yang berasal dari pelbagai perkembangan di Indonesia dan politik Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dan selamanya.

Di Indonesia gerakan anti-penjajahan mempunyai talian dengan hala tuju sastera pada tahun 1930-an. Lalu muncul gerakan Pujangga Baru oleh para penulis muda seperti Sutan Takdir Al Syahbana, Armin Pane dan Amir Hamzah. Karya dan ideologi para penulis Pujangga Baru itu mempengaruhi para penulis di Semenanjung Tanah Melayu, termasuk para guru pelatih Sultan Idris Training College (STTC).

Aktivis
Ramai guru-guru menjadi aktivis politik budaya di Singapura dari 1930-an hingga 1950-an. Kegiatan-kegiatan sastera dari Indonesia itu menyeberangi Selat Melaka. Antara yang aktif ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Burhanuddin al-Helmy. Mereka menganggap Tenggara Asia sebagai Melayu Raya yang telah dibelah bagi oleh penjajah Inggeris dan Belanda.

Ibrahim Yaakob kemudian menguasai akhbar Warta Melayu dan apabila Jepun menyerang, maka antara yang mengalukan mereka ialah Ibrahim. Bersama Dr. Burhanuddin adanya, beliau mengharapkan penyatuan antara Indonesia dan Malaya.

Dunia kewartawanan di Singapura selepas tamat perang menyaksikan penerbitan pelbagai akhbar. Yang utama ialah kumpulan Utusan Melayu yang juga menerbitkan majalah Mastika dan Utusan Zaman. Antara penulis-penulisnya ialah Abdul Rahim Kajai, Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Keris Mas.

Satu lagi kumpulan diketuai oleh Harun Aminurrashid dari STTC yang dibuang ke Brunei kerana kegiatan nasionalisnya. Kumpulan ketiga diketuai oleh Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus yang sebelumnya wartawan Utusan Melayu.

Menjelang 1950, menurut kedua penulis lagi, para penulis muda kian meningkat keinginan mereka untuk melakukan modernisasi dari segi bahasa dan kandungannya. Antara mereka ialah Asraf, Rohaizad, Roomai Noor dan Jamil Sulong. Mereka berpendapat bahasa pihak penjajah telah menganiayai dan menindas orang Melayu. Maka lahir kemudiannya ialah ASAS 50.

Pada Kongres Pertama Bahasa dan Sastera Melayu tahun 1952, tumpuan perbincangan ialah penulisan yang mencerminkan keinginan untuk menggunakan politik, masyarakat dan budaya bagi memupuk keyakinan pada diri sendiri dan semangat kebangsaan.

Antara cara untuk mencapai matlamat ialah mengutamakan tulisan rumi, iaitu cadangan para penulis muda ASAS 50. Menurut yang empunya cerita Samad Ismail diperintah oleh ayahnya supaya membaca akhbar-akhbar Melayu, bukan buku-buku cerita detektif yang dibeli olehnya setiap minggu. Kajai pula dikatakan lebih senang bercakap dalam bahasa Inggeris.

Turut disebut dalam makalah ialah nama-nama Jamil Sulong, Omar Rojik, Abdullah Hussain dan P. Ramlee dengan filemnya Penarik Becha. Populariti filem-filem Melayu dianggap meningkatkan bilangan penulis-penulis skrip dan pengarah-pengarah Melayu menggantikan pengarah-pengarah dari Calcutta dan Bombay.

Kongres Bahasa Melayu ketiga pada tahun 1956 memperteguh cita-cita dan aspirasi para aktivis Melayu. Antara para peserta ialah Zubir Said yang kemudian menggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura. Ia diperdengarkan secara rasmi pada 3 Disember 1959 ketika pertabalan Yusof Ishak sebagai Yang Di Pertua Negara.

Ia dinyanyikan oleh kumpulan dari pelbagai bangsa. Bahawa mereka menyanyi lagu Melayu untuk menyambut pengasas akhbar Utusan Melayu menjadi ketua negara dianggap sebagai sesuatu yang simbolik kerana memenuhi matlamat penting para wartawan Melayu dari tahun 1950-an.

Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi, dan rakyat mempelajarinya di sekolah-sekolah serta menyanyikannya sebagai lagu kebangsaan demikian dicatat. Sebagaimana disebut oleh Profesor Ismail Hussein: Bahasa Melayu selepas perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Oleh : Mazlan Nordin

No comments:

Post a Comment