Bagaimana mahu mengembali kepercayaan pasangan sedangkan kesilapan pasangan sebelum ini masih jelas dalam ingatan?
Jawapannya hanya dua: Pertama, maafkan dengan ikhlas, kedua, kembali percaya.
Maafkan dengan ikhlas
Maaf merupakam perkara yang mudah disebut walau ramai juga yang payah melafazkannya. Persoalannya bukan payah atau mudah disebut, tetapi keikhlasan anda dalam memohon dan memberi maaf.
Ramai yang memohon maaf, tetapi tidak ramai yang berterus terang mengenai kesilapan yang perlu dimaafkan.
Ramai juga yang mengakui memberi maaf tetapi maaf yang diberi hanya dimulut, bukan lahir daripada hati.
Praktikkan untuk memberi maaf daripada hati yang ikhlas. Maafkan sepenuh hati. Jika anda mampu memberi maaf dengan ikhlas dan sepenuh hati, anda tidak akan rasai pedih, biar segala kisah lalu yang melukakan anda masih kekal dalam ingatan.
Kembali percaya
Kalau masih kekal dalam ingatan, bagaimana untuk kembali percaya?
Sebenarnya tidak perlu melupakan segala kisah lama yang membuatkan anda menderita.
Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis dan tragedi pahit akan tetap kekal dalam ingatan.
Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tetapi hampa. Ia tetap kekal malah bertambah segar.
Saya pernah kongsikan usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya akan membuatkan anda terus mengingati perkara tersebut.
Ingat lawannya lupa. Ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.
Anda tidak mungkin dapat melupakan dalam usaha melupakan kerana ia satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Apabila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi, tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut.
Lupuskan bukti kenangan lama
Paling penting, buang segala bukti kenangan lama yang memedihkan. Mungkin gambar, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa sahaja.
Ingat, apabila anda bersedia untuk memulakan hidup baharu dengan pasangan anda, mulakan betul-betul bakar terus buku lama biar menjadi abu.
Masalah yang kerap dihadapi ialah ada tindakan tertentu yang dilalui bersama pasangan merupakan perkara yang mungkin membangkitkan luka lama.
Jika berdepan dengan situasi seperti ini, baliklah kepada peraturan pertama, maafkan dengan sepenuh hati. Perit memang diakui, tetapi berilah peluang kepada pasangan anda malah peluang buat diri anda sendiri.
Pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta.
Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya, Allah masih memberinya peluang dan harapan.
Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?
Jangan berbangga. Mereka yang berada di dalam penjara kerana kesalahan jenayah mungkin lebih baik daripada kita.
Sedarlah, mereka yang pernah melakukan kesilapan kemudian sedar mengenai kesilapan tersebut seterusnya insaf dan bertaubat lebih mulia berbanding mereka yang tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan dosa kepada Allah SWT tidak kiralah dosa kecil ataupun besar.
Sumber : Pesona@Kosmo
No comments:
Post a Comment