Friday, January 4, 2013

Percubaan Semarak Fahaman Sekular

PENGGUNAAN kalimah Allah bagi merujuk kepada agama Kristian di dalam versi Bahasa Melayu kembali mendapat tempat dalam kalangan media tempatan. Ia berikutan perutusan perayaan Hari Krismas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP telah dilaporkan menggesa Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional supaya membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan Allah dalam Alkitab versi Bahasa Malaysia bagi merujuk kepada amalan agama mereka.

Menurut Lim, "Sebuah kerajaan yang mesra rakyat juga boleh membawa keamanan dan kemakmuran yang berdasarkan prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti. Atas sebab ini, DAP menggesa Kerajaan Persekutuan BN untuk membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam Alkitab versi Bahasa Malaysia bagi merujuk kepada amalan agama Kristian seperti yang telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diamalkan di Timur Tengah selama lebih daripada seribu tahun."

PPMM bersimpati dengan kejahilan Lim berhubung hal ini. Adalah menjadi sesuatu yang pelik dan menghairankan bagi seseorang pemimpin sebuah parti sekular yang ingin bercakap tentang "prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti", tetapi telah dengan sengaja tidak menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan proses undang-undang.

Pada hakikatnya, Mahkamah belum lagi mendengar rayuan pihak kerajaan berhubung perkara ini, maka penganut Kristian tetap dilarang daripada menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk pada Tuhan di dalam agama kristian di dalam sebarang bentuk penerbitan.

Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Herald dalam kes tersebut namun perintah tersebut telah digantung sementara menunggu Rayuan pihak Kerajaan dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Dalam erti kata lain, kedudukan hal ini masih bersifat status quo.

Selain itu, kenyataan Lim yang mengaitkan penggunaan perkataan Allah di kalangan penganut Kristian dengan "prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti" ternyata bersifat simplistik serta sebenarnya percubaan berterusan sebuah parti politik memperjuang prinsip sekular seperti DAP untuk menyemarakkan nilai-nilai faham sekular di dalam sebuah negara yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama negara.

Fahaman kebebasan dan demokrasi yang dianuti Lim serta mereka di dalam parti politik DAP adalah berlandaskan kerangka sekular yang beracuan barat. Oleh itu, dalam mencari apa yang didakwa sebagai "kebenaran, kebebasan, keadilan dan integriti," DAP berpandangan bahawa sensitiviti umat Islam di Malaysia boleh diketepikan dan mesti dikorbankan demi kepentingan minoriti kira-kira sembilan peratus penganut Kristian pelbagai aliran.

Sebaliknya, sesiapapun yang memahami dengan jujur konteks dan realiti sejarah serta latar belakang kedudukan Islam sebagai agama bagi negara akan bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah ini perlu dihadkan untuk mereka yang menganut Islam di Malaysia.

PPMM menggesa Lim dan keseluruhan masyarakat Malaysia, demi semangat keluhuran Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan menghormati due process of law, agar mengelakkan daripada sikap oportunis dalam membuat tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan mencabar sensitiviti keagamaan.

Apatah lagi di dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia yang berteraskan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi Persekutuan; namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman damai di mana-mana bahagian Persekutuan dengan erti kata boleh diamalkan selagi tidak menghakis keamanan dan kedamaian agama Persekutuan iaitu Islam.

Apatah lagi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan undang-undang negeri dan Persekutuan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dibuat bagi mengawal dan mengehadkan penyebaran doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Sehubungan dengan itu, 10 buah negeri telah pun menggubal undang-undang tersebut yang antara lain menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu di kalangan orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka.

PPMM menggesa empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan menggubal undang-undang tersebut. PPMM juga mendesak negeri-negeri yang telah meluluskan undang-undang tersebut segera melaksanakannya. Bagi negeri Pulau Pinang pula PPMM difahamkan bahawa suatu fatwa telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri sendiri tentang pengharaman penggunaan kalimah tersebut.

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar

No comments:

Post a Comment