Kena tegas tangani kes jejas keharmonian
Dalam tempoh seminggu dua ini, orang Melayu dan Islam negara ini dikejutkan dengan perlakuan beberapa pihak tertentu yang jelas bertujuan menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, selain menggugat kesuciannya.
Kurang pasti apa sebenarnya tujuan sikap provokasi mereka tetapi nampaknya ia sengaja dilakukan untuk menimbulkan perasaan resah dalam kalangan orang Melayu dan Islam sehingga boleh mengancam keharmonian beragama dalam negara.
"Ramai pula tertanya-tanya kenapa satu perkara yang sudah pun diputuskan dengan begitu jelas oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam, boleh pula ditimbulkan kembali dan ada pula pemimpin Islam merestui desakan itu."
Orang yang memulakan hasutan ini iaitu pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sudah berjaya bukan saja menimbulkan kegelisahan orang Melayu/Islam tetapi juga mencetuskan polemik antara pimpinan PAS (sebuah parti yang kononnya berjuang untuk menegakkan kehendak Islam) dengan rakannya dalam pakatan pembangkang.
Selepas bersekongkol dengan DAP, ia boleh pula mencemari pendirian awal, termasuk perjuangan mahu menjadikan negara ini sebuah negara Islam lengkap melaksanakan hukum syariah, termasuk hudud. Jadi perjuangan asalnya ini boleh pula bertukar menjadi usaha menubuhkan sebuah negara berkebajikan.
Berikutan itu, pucuk pimpinan pakatan pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk juga Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semuanya menyokong gesaan Guan Eng itu.
Impian hati Guan Eng tercapai
Ini bukan saja menimbulkan kegelisahan umat Islam keseluruhannya, tetapi memusykilkan perasaan seorang lagi ulama terkemuka PAS, Datuk Dr Haron Din hingga Dewan Syuranya terpaksa bermesyuarat untuk memutuskan bahawa kalimah itu sememangnya tidak boleh digunakan dalam Bible yang dialih bahasa ke bahasa Melayu.
Malah, Haron dalam ceramah khasnya mengenai isu itu di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, minggu lalu, berkata orang Islam yang meredakan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh jatuh syirik kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai kufur. Reda dengan perkara kufur boleh menjadikan kita turut kufur, tambah beliau.
Ramai pula tertanya-tanya kenapa satu perkara yang sudah pun diputuskan dengan begitu jelas oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam, boleh pula ditimbulkan kembali dan ada pula pemimpin Islam merestui desakan itu.
Natijahnya, usaha itu mencapai apa yang mungkin tersirat dalam hati Guan Eng, iaitu mahu menimbulkan semula polemik antara ulama Islam dengan ulama politik.
Sengaja perkecilkan agama Islam
Tidak beberapa hari kemudian tersebar pula berita bagaimana dua orang pastor Kristian sudah mengedarkan Bible kepada murid Islam di Sekolah Menengah Jelutong, Pulau Pinang.
Sebelum itu seorang juruhebah radio yang terkenal bermulut ‘capoi’ yang bersimpati dengan DAP dan pernah dengan angkuhnya mendabik dirinya sebagai seorang selebriti sudah mempersendakan dan mencemuh orang Islam yang sembahyang lima kali sehari dan wanita Islam yang memakai tudung.
Oleh kerana tidak senang dengan peraturan ditetapkan kerajaan PAS Kedah mengenai pertunjukan sempena Tahun Baru Cina bulan depan, Patrick Teoh bukan saja mempersendakan peraturan itu, pada masa sama mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama suci Islam dan penganutnya.
Walaupun tulisan dalam Facebooknya itu dipadamkan dan memohon maaf tetapi ia masih boleh dibaca orang ramai melalui laman The Mole.
Beliau sebelum ini memang dianggap ramai sebagai amat tidak senang dengan kedudukan Melayu dan Islam tetapi pandai menyoroknya, namun mungkin kerana begitu berang terhadap peraturan kerajaan PAS itu apa yang dapat disoroknya begitu lama akhirnya terdedah juga.
Perlakuan melampau demikian memberi gambaran seolah-olah ada usaha sengaja mahu memperkecilkan agama Islam dalam negara ini hingga tidak mahu menghormati kedudukannya sebagai agama rasmi negara.
Pengedaran Bible kepada murid sekolah, termasuk murid Islam jelas suatu usaha pihak Kristian tertentu persendakan Perlembagaan negara yang melarang sebarang usaha memurtadkan orang Islam.
Pihak berkuasa tutup mata
Sekalipun ada peruntukan itu, usaha pihak tertentu Kristian memurtadkan orang Islam berterusan dilakukan secara licik. Malangnya, tidak pula ada usaha berkesan menghalang atau mengheret mereka terutama gereja bersangkutan ke pengadilan.
Selagi tidak ada tindakan berkesan kerajaan terhadap pihak yang jelas tidak mahu menghormati Perlembagaan Persekutuan, selagi itulah mereka akan terus melakukan kegiatan yang boleh menjejas keharmonian beragama dalam negara ini.
Ia seolah-olah mahu mencabar orang Islam mengenai kedudukan rasminya itu. Orang Islam sendiri di sini tidak pula pernah perkecil atau persendakan agama lain kerana menghormati agama itu dan tidak mahu menyinggung keharmonian antara kaum.
Tetapi nampaknya ada pihak tertentu agama lain berterusan menggugat kesabaran orang Islam. Persoalannya, sampai bila pihak berkuasa mahu menutup mata tanpa mahu bertindak tegas terhadap mereka yang berterusan menggugat keharmonian kaum, selain mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh : Rejal Arbee
No comments:
Post a Comment