Beliau yang juga merupakan ibu kepada empat orang cahaya mata tidak menafikan ibu bapa hari ini meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak masing-masing dalam usaha menjadikan mereka seorang yang sempurna (dari segi akademik dan juga aktiviti kokurikulum).
"Dilihat dari segi usia mereka, kanak-kanak ini sebenarnya masih terlalu muda untuk memenuhi segala kehendak ibu bapa yang inginkan mereka cemerlang dalam semua bidang.
"Ibu bapa yang menyediakan segala bentuk pendidikan kepada anak mereka merasakan mereka telah menunaikan sepenuh tanggungjawab sebagai ibu bapa kerana mereka juga ingin mahu nampak terbaik di mata orang lain.
"Dalam hal ini sebenarnya ibu bapa tersebut telah memberi tekanan kepada anak mereka dan sekali gus menghilangkan masa kanak-kanak mereka yang seharusnya dilalui dengan penuh kegembiraan," ujarnya ketika ditemui pada persidangan antarabangsa School of Tomorrow anjuran syarikat pendidikan antarabangsa Kumpulan Beaconhouse di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Tambah beliau, kanak-kanak hari ini terlalu banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti bersukan, kelas bahasa, kelas muzik, kelas menari dan sebagainya hinggakan mereka tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak kerana terlalu dibebankan.
Ujar Gigi lagi, ibu bapa seharusnya berfikir adakah mereka memberi anak masing-masing kegembiraan di samping menghayati masa kanak-kanak mereka atau adakah mereka terlalu membebankan anak-anak dengan keinginan mereka yang terlalu tinggi?
Dalam hal ini, Gigi menjelaskan hak kanak-kanak untuk menikmati zaman kecil mereka dengan melakukan perkara yang mereka suka tidak seharusnya dinafikan malah mereka seharusnya diberikan masa yang banyak untuk menjadi seorang kanak-kanak yang riang tanpa sebarang bebanan.
Berbicara lanjut mengenai zaman yang semakin canggih hari ini, Gigi menegaskan kanak-kanak juga tidak seharusnya didedahkan dengan pelbagai gajet di awal usia mereka.
Ini kerana selain leka dengan gajet dan kurang melakukan aktiviti, kanak-kanak ini juga akan kurang berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.
"Hari ini dengan lambakan pelbagai jenis gajet di sekeliling kita, secara tidak langsung menjadikan anak-anak kita pasif dan kurang berkomunikasi.
"Dalam hal ini ibu bapa juga tidak terkecuali kerana apabila dalam satu keluarga sibuk dengan gajet masing-masing, masa bilakah mereka meluangkan masa bersama dan yang paling penting masa bila mereka berkomunikasi dengan anak-anak mereka?
"Untuk itu, ibu bapa berperanan penting mewujudkan suasana yang erat di dalam keluarga," katanya lagi.
Dalam pada itu, Gigi turut berkongsi maklumat di mana ibu bapa juga tidak seharusnya membezakan anak masing-masing antara satu sama lain.
Ini kerana katanya perkara tersebut bukan membantu malah keadaan akan menjadi bertambah teruk di mana anak-anak akan memberontak.
Selain itu Gigi turut menyatakan, seorang ibu yang baik akan berkomunikasi dengan guru anak masing-masing untuk mendapatkan cara terbaik dalam mendidik anak.
Dia turut menegaskan ibu bapa tidak seharusnya bergantung harap kepada guru-guru di sekolah kerana mereka (ibu bapa) sebenarnya yang patut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.
"Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada guru kelas semata-mata.
"Mereka (ibu bapa) seharusnya turut mendidik anak-anak di rumah di samping berkomunikasi dengan guru bagaimana untuk bersama-sama mendidik anak mereka.
"Yang penting, ibu adalah guru yang pertama kepada anak masing-masing," ulasnya lagi.
Oleh yang demikian, sebelum menutup bicara, Gigi berharap agar ibu bapa hari ini tidak terlalu membebankan anak-anak mereka dengan aktiviti pilihan mereka (ibu bapa).
Biarlah anak-anak memilih dan melakukan apa yang mereka suka dan yang paling penting zaman kanak-kanak mereka dilalui dengan penuh kegembiraan dan bukannya bebanan. -
Oleh : Mariatul Qatiah Zakaria
No comments:
Post a Comment