Tindakan segera perlu diambil, khususnya oleh ibu bapa dan keluarga apabila mendapati anak-anak mereka terlibat dalam jenayah dan salah-laku.
Kes-kes jenayah yang semakin meningkat seperti; buang bayi, penyalahgunaan dadah, zina, rempit dan lumba haram, ponteng sekolah dan sebagainya memerlukan tindakan secara kolektif dan bersepadu.
Kes-kes jenayah di kalangan remaja hari ini sebenarnya bermula dari rumah. Ia bermula apabila ibu dan bapa tidak mampu lagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Kadang-kadang ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan anaknya apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila melihat anaknya melakukan maksiat di hadapan mata.
Sebagai contoh, ada di kalangan ibu bapa tidak menghalang anak perempuan mereka untuk membonceng motor teman lelakinya yang menjemput di rumah. Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang berada dalam dilema kerana bimbang anak-anak mereka lari dari rumah sekiranya sikap mereka itu ditegur.
Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun.
Apabila berada di sekolah, lagak gaya anak-anak ini semacam kumpulan kongsi gelap atau samseng sehingga menyebabkan sesetengah guru berfikir dua kali untuk menegur mereka.
Satu perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW telah diabaikan oleh para ibu bapa pada hari ini dalam konsep mendidik anak-anak yang melakukan kesalahan.
Pastinya keingkaran atau keengganan mematuhi perintah Rasulullah SAW itu mengundang kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Cuba kita hayati sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka 10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
Tanpa kita sedari bahawa rupa-rupanya inilah perkara yang menjadi punca kepada segala permasalahan jenayah dan gejala sosial yang tak pernah kunjung hentinya. Sebab itulah walaupun berbagai-bagai program dilakukan oleh kerajaan bagi menangani situasi ini namun sudah pasti tanpa melakukan segala perintah dan tanpa akur kepada larangan Allah SWT dan Rasul-Nya maka mustahil jenayah dan masalah moral remaja dapat kita atasi.
Kelazimannya apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, masyarakat secara langsung menganggap tugas menanganinya adalah terletak di bahu pihak berkuasa sahaja. Dan sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk menjalankan siasatan seterusnya.
Namun harus diingat peranan dan tanggungjawab masyarakat lebih utama dalam memastikan kejadian jenayah dapat dibendung. Fakta membuktikan bahawa institusi kekeluargaan adalah merupakan penentu kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.
Dalam hubungan ini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi generasi akan datang dapat dibuktikan melalui hadis nabi SAW yang berbunyi: Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan masa depan anaknya, sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, ibu bapa tidak wajar dipersalahkan 100 peratus terhadap masalah yang berlaku. Sebenarnya, setiap ahli masyarakat memikul tanggungjawab dalam memastikan masalah moral remaja dapat dibendung.
Dalam hubungan ini jelas kepada kita bahawa tanggungjawab dalam menangani jenayah serta kemungkaran yang berlaku telah menjadi kewajipan serta tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh semua pihak.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa melihat suatu kemungkaran maka hendaklah ia cegah dengan tangannya (kekuasaan) jika tidak mampu cegahlah dengan lisannya (nasihat) dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dicegah dengan hati (rasa benci). Demikian itu adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
Kesimpulannya, dalam membendung gejala tidak sihat ini daripada terus berlaku, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Gunakanlah garis panduan yang sarat terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Paling penting, jadikan agama dalam asas pendidikan dan pembinaan jati diri remaja. Insya-Allah kita akan menemui jalannya.
sumber : utusan@Bicara_Agama
No comments:
Post a Comment