SUATU ketika hampir gegak-gempita dibuatnya apabila diuar-uarkan Putrajaya mahu dilelong jika satu pihak terbabit berkuasa.
Ke belakang sedikit dari itu, pernah dicemuhnya Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau merancang mahu membina sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru di sebuah tempat 'hulu' yang dikenali Prang Besar.
Namun, waktu menilai semua ini. Sejak dilancarkan dengan mercu tanda dan kerja-kerja tanah pada 29 Ogos 1995, Putrajaya kian pesat membangun. Gah, kata orang.
Dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 pada Hari Malaysia 16 September ini, makin bertambah-tambah lagilah aroma kepesatan yang tercerna dari Putrajaya.
Selama empat tahun penulis bertugas di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini, peningkatan kepesatan Putrajaya terhitung dari bulan ke bulan, tahun ke tahun.
Berbanding 40 buah keluarga yang berpindah ke Putrajaya pada 1999, kini bancian 2010 menunjukkan populasi Putrajaya adalah sebanyak 68,000 orang. Kakitangan kerajaan sahaja dianggarkan sekitar 54,000 orang. Populasi pada waktu siang pula dianggarkan dalam lingkungan 150,000 orang.
Sehingga April tahun ini sahaja lebih 2.4 juta meter persegi (mp) ruang lantai pejabat kerajaan telah disiapkan untuk menempatkan 21 Kementerian dan lebih 40 Jabatan Kerajaan.
Keseluruhan perpindahan kementerian ke Putrajaya dijangka pada penghujung tahun ini. Sejumlah 26,000 unit kediaman juga dibangunkan dengan kebanyakannya kuarters kerajaan.
Selain itu, pembangunan ruang lantai komersial yang dibina berjumlah 440,000 mp telah disiapkan dan seterusnya pada tahun-tahun akan datang bakal menyaksikan pembangunan aktif di sektor ini. Kepesatan dijangka berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang dengan pembangunan pejabat-pejabat swasta.
Peralihan kepada pembangunan sektor swasta ini menandakan pembangunan komponen kerajaan di Putrajaya telah hampir ke penghujungnya, kecuali baki unit kediaman dan kemudahan sokongan lain (sekolah, pusat kejiranan dan lain-lain).
Putrajaya juga sentiasa bersemangat dengan projek-projek masa depannya. Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diketuai Tan Sri Samsudin Osman kini dalam peringkat penyediaan tempat letak kereta bertingkat sejumlah hampir 1,000 petak di Presint 4 yang menempatkan empat kementerian baru yang mula beroperasi pada tahun ini. Pembangunan dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
Projek yang sedang dikaji di bawah NKEA Vitalizing Putrajaya bagi memeriahkan Persiaran Perdana dan Pesisir Tasik Putrajaya termasuklah penyediaan kiosk, menambah penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa, penyediaan water taxi, menambahbaik pencahayaan di pesisir tasik dan beberapa aktiviti lain.
Putrajaya Holdings Sdn. Bhd pula akan membangunkan lebih banyak kawasan komersial termasuk di Pesisir Tasik yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, juga sedang berusaha untuk menarik salah sebuah Universiti bertaraf dunia ke Putrajaya.
Pada masa sama, membangunkan lebih banyak kediaman dari pelbagai jenis dan pilihan kepada pengguna termasuklah kediaman PR1MA yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Dan sehingga kini, sebanyak 49 lot daripada jumlah keseluruhan 61 lot kedutaan di Presint Diplomatik Putrajaya, Presint 15 telah dibeli.
Setakat ini juga PPj masih giat meneruskan usaha untuk memasarkan dan menjual semua baki lot-lot kedutaan yang masih ada di Kawasan Diplomatik Putrajaya iaitu 12 lot di Presint 15 dan 4 lot di Presint 4.
"Selain rakyat kita, ramai pemimpin dan warga asing telah datang mengunjungi Putrajaya. Kebanyakan mereka memuji dan mengakui kecantikan dan keunikan bandar yang telah kita bina ini.
"Jika negara seperti Korea dan Jepun terpegun dengan keindahannya, ini adalah satu pengiktirafan Putrajaya sebagai model perancangan bandar yang boleh diketengahkan. Ia adalah simbol kecemerlangan negara yang keseluruhan rakyat Malaysia boleh banggakan," kata Samsudin ketika ditemui penulis baru-baru ini.
Melangkaui tahun 2015 nanti, Putrajaya diyakini tertera sebagai sebuah bandar mampan dari segi sosial, ekonomi dan alam persekitarannya. Dari segi kesediaan infrastruktur, pencapaian matlamatnya telah tercapai.
Malah ia kini dalam proses memuktamadkan Rancangan Struktur Putrajaya - satu dokumen statutory yang akan menunjuk arah pembangunan Putrajaya daripada sebuah bandar dalam taman kepada sebuah bandar hijau.
Tidak hairanlah mengapa ada pihak begitu teruja untuk 'mendiami' Putrajaya.
Oleh : Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment