Sunday, October 30, 2011

Mana Peserta Bukan Melayu?

Siti kerap juga menonton program kanak-kanak Tom Tom Bak hos oleh Aznil Nawawi. Bagi Siti program ini menarik dan tidak hairan kalau popular kalangan kanak-kanak serta ibubapa. Ini program berbahasa Melayu dan kita boleh berbangga dengan kejayaan yang dicatatkan oleh Tom Tom Bak.

Tapi Siti tertanya-tanya kenapa semua kanak-kanak dalam program ini terdiri daripada Melayu? Memang benar ini program bahasa Melayu. Tapi adakah mustahil sebuah program Melayu turut disertai oleh Cina dan India misalnya? Adakah bukan Melayu tidak mahu menyertai program ini atau pihak stesen televisyen tidak terfikir untuk berbuat demikian?

Siti fikir mustahil keluarga bukan Melayu memulaukan program ini. Tapi mungkin pihak stesen televisyen tidak proaktif mencari keluarga bukan Melayu yang mempunyai anak berbakat dan dibawa dalam program itu.

Apabila penonton di studio hanya keluarga Melayu, peserta kanak-kanak juga Melayu, Siti mengandaikan program ini hanya untuk orang Melayu. Dalam lain perkataan program bahasa Melayu hanya untuk Melayu. Tapi adakah benar bahasa Melayu hanya untuk orang Melayu?

Ini adalah satu yang tidak benar sama sekali. Berapa banyak orang bukan Melayu menguasai bahasa Melayu dengan baik, malah lebih baik daripada orang Melayu sendiri. Tapi kalau program popular seperti ini dijadikan rujukan, seolah-olah benarlah tanggapan bahasa Melayu hanya untuk Melayu.

Populariti program ini boleh dimanfaatkan sebagai menyuburkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kepada semua orang. Kalau ada peserta bukan Melayu, tentu keluarga bukan Melayu di studio. Bukanlah ini realitinya di luar studio?

Tidak menyelitkan orang bukan Melayu dalam program ini dengan sendirinya telah mengecil atau merendahkan bahasa Melayu. Ia seolah-olah hanya diterima oleh orang Melayu. Adakah memang dirancang supaya bahasa Melayu kelihatan mundur dan untuk orang Melayu sahaja?

Amatlah memalukan kalau kesan daripada program ini menimbulkan tanggapan negatif tentang bahasa Melayu. Siti fikir tidak terlalu sukar untuk mengajak keluarga bukan Melayu menyertainya. Malah kita tidak boleh merendahkan tahap penguasaan bahasa Melayu mereka.

Kalau stesen televisyen melihat selangkah ke depan, tidak perlulah ada kempen bahasa Melayu atau Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun. Mengajak secara halus orang bukan Melayu menyintai bahasa Melayu seperti dalam program ini tentu lebih berkesan.

Dalam menjalankan peranan serampang dua mata seperti ini, pihak televisyen perlu melihat kesan yang lebih besar dari keuntungan dalam jangka pendek. Kerana itu Siti sangat kecewa kerana selepas setengah abad merdeka, kita masih memaparkan seolah-olah orang bukan Melayu tidak tahu atau tidak mahu berbahasa Melayu. Harap-harap ini tidak ada agenda memperendah atau mengecilkan ruang litup bahasa Melayu di negara ini.

SITI JARUM: Melihat yang tersurat dan tersirat.

No comments:

Post a Comment