Perjuangan Muslim Patani – antara sejarah penindasan dan cita-cita perdamaian di Patani Darussalam
Buku kecil ini sangat berharga pada saya kerana telah membuka mata dan menyedarkan saya akan penderitaan yang telah dan sedang dirasakan oleh saudara-saudara kita di Patani. Apabila membicarakan penindasan ummat Islam, fikiran saya selalu terbayang akan ummat Islam yang tinggal di Palestine, Afghanistan, India , China, Bosnia dan Chehnya, sedangkan saudara-saudara yang tinggal bersebelahan dengan kita selalu kita lupakan. Mengapa jadi begitu? Kerana maklumat mengenai saudara-saudara kita di selatan Thailand tidak terdapat di media massa. Pemerintah Thailand tidak membenarkan gerakan kemanusiaan antarabangsa memasuki negara itu kerana pada mereka masalah selatan Thailand adalah masalah dalaman dan boleh di atasi sendiri.
Mengikut fakta sejarah, penderitaan ummat Islam Patani bermula pada awal abad ke 20. Sejak itu, mereka berhadapan pelbagai peristiwa yang menyayat hati dan menyedihkan. Pada awal abad ke 21, ketika pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, penindasan ke atas ummat Islam meningkat dengan drastik. Tragedi berdarah terjadi secara berturut-turut dan angka korban pula dalam skalar yang besar. Peristiwa Masjid Grisek pada April 2004 dan tragedi Tak Bai pada Oktober 2004 menyebabkan puluhan jiwa terkorban. Angka ini tidak termasuk korban pembunuhan misteri arahan PM ke atas penduduk-penduduk Islam di selatan Thailand. Sistem pendidikan Islam juga menjadi target pemerintah Thailand. Semasa pemerintahan Thaksin, sebanyak 166 buah sekolah Islam telah dibakar sehingga musnah. Ramai guru diculik dan dibunuh. Mengikut statistik, jumlah kematian adalah 1,908 orang sementara yang cedera pula sebanyak 2,920 orang.
Buku ini juga telah menyingkap kehebatan beberapa tokoh Patani yang telah membela dan memberikan sumbangan yang amat berharga dalam perjuangan ummat Islam di Patani. Salah seorang tokoh itu adalah Haji Sulong Abdul Kadir. Dilahirkan pada tahun 1895 dalam keluarga ulamak di mana datuknya, Haji Zainal Abidin b Ahmad adalah ulamak besar yang menulis kitab Kashyf al Litham. Beliau mendapat didikan awal di rumah dari ayahnya dalam bidang sejarah dan peradaban Islam. Kemudian bersama ayahnya mengerjakan ibadah Haji dan terus menetap di Mekah untuk menuntut ilmu dari ulamak-ulamak di sana. Kembali ke Patani pada tahun 1924 dan terus membuka sekolah Islam bernama Madrasah al Maarif al-Wataniah. Madrasah ini telah melahirkan pelajar-pelajar yang cerdas minda dan tangkas fizikalnya dan telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan masyarakat Islam. Madrasah ini telah diarahkan tutup oleh pemerintah Thailand. Haji Sulong kemudian menumpukan perhatian kepada pengajaran kelas-kelas tafsir yang memberikan kesan yang mendalam terutama perbincangan tentang jihad. Pada tahun 1939, beliau membentuk satu organisasi – al hay’ah al tanfiziah li al ahkam syariat, yang dianggotai oleh 11 ulamak -ulamak besar Patani. Seterusnya, Haji Sulong sebagai Ketua Majlis Agama Islam Patani telah memimpin ummat Islam melawan ketidakadilan dan penindasan. Beliau telah menghantar 7 tuntutan kepada Perdana Menteri Thailand yang mengandungi tuntutan menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, pendidikan, kepimpinan dan mahkamah syariah. Selang beberapa bulan selepas itu, beliau ditangkap. Tangkapan beliau telah mencetuskan pemberontakan pada tahun 1948 hingga mendapat simpati dari ummat Islam Malaysia. Dibebaskan pada tahun 1952 dan terus aktif sebagai pengajar / penceramah. Pengikutnya bertambah berlipat kali ganda sehingga setiap kali beliau berceramah, lokasi ceramah itu menjadi seolah pasar malam. Di samping mengajar , beliau telah menyusun satu gerakan pemuda-pemuda Islam melawan pemerintah Thailand. Pada suatu hari di bulan Ogos 1954 Haji Sulong , anaknya dan dua orang rakan beliau telah mengadap ketua keselamatan Thailand. Setelah itu, tiada khabar berita lagi mengenai Haji Sulong sehingga lah ke hari ini. Dari keterangan yang dihimpun, mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibuang ke laut. Walaupun jasad Haji Sulong ghaib dan tidak pernah ditemui tapi perjuangan yang diwariskannya tetap bertahan hingga sekarang.
Buku ini juga telah menyerlahkan seorang tokoh wanita yang bernama Angkhanna Neelaphaijit. Dia telah kehilangan suami, Somchai yang merupakan aktivis yang telah memprotes penahanan 5 orang pemuda Muslim dan menuduh pihak polis berkonspirasi dalam kejadian rompakan dan kebakaran ke atas sekolah-sekolah di Narathiwat, selatan Thailand. Somchai telah diculik pada 12 Mac 2004 dan hingga kini tidak kembali lagi. Sebagai isteri, Angkhanna telah berusaha mencari suami dan pencariannya telah membawa dirinya ke persidangan PBB di Geneva pada pertengahan 2005 yang lalu. Dia berkata dengan lantang mewakili rakyat Patani yang menderita, ” Jika kami tidak berhadapan dengan masalah yang besar, saya tidak akan datang ke sini”. Angkhanna, ibu yang berusia 49 tahun membiayai dirinya sendiri untuk sampai ke Geneva. Dia tidur di hotel yang sangat murah dan terpaksa menahan lapar dengan hanya meminum air paip. Dia bukan hanya berusaha mencari penculik suaminya tapi yang lebih penting keadilan bagi ummat Islam di Patani.
Moga ulasan ini mengingatkan kita agar lebih prihatin akan penderitaan ummat Islam Patani. Marilah kita memperbanyakkan doa buat mereka agar mereka diberi kekuatan untuk terus berjuang.
Tajuk Buku: Perjuangan Muslim Patani – antara sejarah penindasan dan cita-cita perdamaian di Patani Darussalam
Penulis : Herry Nurdi
Penerbit: Sabili Publishing
Cetakan pertama: Februari 2010
No ISBN: 978-979-17228-2-7
Ulasan buku oleh: Asmahan Zaidon
ya, mengapa kita sering mengutamakan negara-negara Islam yang jaraknya berjuta batu sedangkan saudara kita yang lebih hampir kita abaikan? marilah membuka minda merenung kembali kekilafan kita. berdoalah agar saudara kita terlepas dari beban kafir durjana itu.
ReplyDelete