Malah, Abdullah berkata, ada pihak tertentu berani tampil untuk mendesak kerajaan supaya menghapuskan keperluan menulis nama Bin atau Binti, bangsa dan agama ketika orang ramai membuat permohonan sijil kelahiran dan Mykad anak masing-masing.
Beliau berkata, perkara itu menjadi semakin menakutkan apabila kebanyakan daripada enam juta belia di negara ini termasuk orang Melayu dan beragama Islam kini turut dipengaruhi oleh idea globalisasi serta liberalisasi dipelopori oleh negara Barat.
“Sebenarnya adalah idea ini berasal dari Barat yang kononnya mampu menyelesaikan masalah perbezaan identiti bangsa, keturunan dan agama. Mereka mahu kita keluar dari fitrah manusia atau dengan kata lain tiada lagi status bangsa seperti Melayu, Cina dan India serta agama.
“Penghapusan Bin dan Binti akan menyebabkan semua orang akan menjadi sama, sekali gus mewujudkan persamaan dan kesamarataan.
“Namun, kesannya anak zina atau zuriat dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan mengikut hukum syarak pun boleh didaftarkan secara sah, sekali gus menghancurkan institusi kekeluargaan serta akidah umat Islam di negara ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 anjuran bersama ISMA dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, semalam.
Bagaimanapun, Abdullah menyatakan keyakinannya idea kesamarataan dan persamaan yang cuba diterapkan Barat di kalangan masyarakat Malaysia adalah satu bentuk penjajahan baru, kerana ia adalah satu pembohongan bertujuan menghancurkan identiti rakyat negara ini.
Katanya, dengan leburnya identiti bangsa, keturunan dan agama, rakyat Malaysia termasuk beragama Islam akan hilang semangat, perasaan, jati diri dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara daripada dijajah sama ada dari aspek pemikiran, ekonomi atau secara fizikal oleh Barat.
“Umpamanya apabila sistem ekonomi Malaysia sekarang dikuasai tauke besar (syarikat multinasional) dari Barat atau kaum bukan Melayu memegang tampuk pemerintahan Malaysia adakah umat Islam di negara kita berasa sensitif atau tidak kisah?” katanya.
"Justeru, saya beranggapan idea persamaan ini adalah satu bentuk penjajahan bukan kemajuan. Jika Amerika Syarikat atau Barat mahu menegakkan keadilan sudah tentu tiada siapa yang dilanda masalah kelaparan atau kebuluran seperti di Somalia sekarang ini.
"Kenapa sekarang semua harta benda dan kekayaan di dunia termasuk bekalan minyak mentah di negara Arab mahu dibolot dan dibawa pulang sepenuhnya ke Barat sedangkan banyak negara lain masih miskin. Sebenarnya mereka mahu menjaya agenda menjajah dan menguasai negara lain termasuk Malaysia," katanya.
Sumber : Bharian
No comments:
Post a Comment