Saturday, October 15, 2011

Sultan Brunei: Laksana Segera Syariah

BANDAR SERI BEGAWAN 14 Okt. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (gambar) mahu kerajaan melaksanakan segera undang-undang Syariah bersama undang-undang sivil yang telah dicadangkan sebelum ini.
Ketika berucap pada mesyuarat Majlis Agama Islam Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, pelaksanaan undang-undang itu tidak boleh ditangguhkan lagi selepas proses untuk melaksanakannya telah dimulakan.

''Kita tidak sepatutnya menangguhkannya tetapi menggunakan peluang ini secara positif. Kita sudah ada mahkamah agung, melahirkan banyak pakar dan mencapai kemerdekaan. Apa lagi yang diperlukan,'' katanya yang dipetik oleh portal berita Malaysia Chronicle, kelmarin.

Apabila dilaksanakan, Brunei akan menyertai Malaysia yang turut melaksanakan undang-undang Syariah tetapi tanpa hukum hudud.

Borneo Bulletin juga melaporkan Sultan Hassanal menyatakan Akta Jenayah Syariah jika difahami dengan jelas merupakan yang terbaik kerana ia dicipta oleh Allah dan bukan manusia,

Dalam pada itu, Peguam Negara Brunei, Datin Seri Paduka Hayati Pehin berkata, Perlembagaan Brunei yang tidak menyebut secara langsung satu sistem perundangan berdasarkan al-Quran merupakan satu cabaran besar bagi melaksanakan undang-undang Syariah di negara ini yang mempunyai dua sistem perundangan.

''Perlembagaan Brunei tidak menyebut secara langsung bahawa sistem perundangan negara ini adalah bertunjangkan al-Quran atau sistem perundangan Syariah,'' katanya dalam kertas kerja 'Ke arah Pelaksanaan Undang-undang Syariah daripada Perspektif Perlembagaan Brunei' yang disampaikan pada hari kedua Seminar Undang-undang Islam Antarabangsa, di sini semalam.

Hayati berkata, Perlembagaan beberapa negara seperti Malaysia bagaimanapun menyebut penggunaan sistem perundangan Syariah.

Ketika ini, katanya, semua penguatkuasaan undang-undang terletak di bawah undang-undang sivil dan bukannya undang-undang Syariah.

Ketua Program Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei, Mohd. Rafee Shahif pula menyatakan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah akan membawa rahmat dan melengkapkan undang-undang negara ini.

Bagaimanapun, katanya, rakyat masih menunggu bentuk hukuman yang akan digunakan termasuk pelaksanaan undang-undang takzir  - Agensi

No comments:

Post a Comment