ORANG sebelah utara terutama di Kedah sudah merungut tentang kenaikan harga barang. Wah! peniaga di utara awal-awal menangguk di air keruh. Bajet 2012 baru peringkat cadangan, sekarang baru dibahaskan.
Jadi, peruntukan yang dibentangkan itu pun belum diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Kita di Lembah Klang pun terkejut melihat kenaikan harga barangan. Kalau pada Ahad lalu kita ke pasar membeli ayam, jangan terkejut harganya melambung kira-kira RM9 sekilogram.
Harga ayam, bawang dan cili yang merupakan barang harga kawalan selalunya menjadi penanda aras sama ada harga barangan pengguna naik atau turun.
Sebenarnya, baru dua hari pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu yang memberi harapan dan senyuman kepada semua peringkat masyarakat, tiba-tiba dikecewakan dengan fenomena yang kerap berulang saban tahun.
Kalau kenaikan harga barangan selalu membayangi sedikit pendapatan yang diperolehi pihak penjawat awam dan pengurangan kos sara hidup kepada kumpulan rakyat yang lain, maka tiada makna kenaikan gaji dan lain-lain dicadangkan oleh kerajaan untuk melonjakkan rakyat menikmati pendapat tinggi. Sebab, harga barangan sudah ‘menelan’ pendapatan mereka.
Adalah lumrah, kenaikan harga barang bukan berlaku selepas pembentangan bajet sahaja, ia boleh berlaku tak tentu masa. Malah barang yang dikatakan dikawal itu pun selalu mengalami kenaikan.
Kita percaya, pihak berkuasa sudah tahu di mana punca kenaikan itu.
Janganlah memberi kenyataan bahawa harga barangan keperluan terkawal. Kenyataan berbunyi, kalau naik pun sebab faktor munasabah – faktor negara pembekal alami musibah alam, kos minyak dan sebagainya.
Itu alasan pihak berkuasa, tetapi rakyat sebagai pengguna bukan mahu mendengar alasan. Tetapi mereka mahu tindakan diambil – kalau tidak ke atas pemborong, pengedar, peruncit yang degil dan tamak, sekurang-kurangnya ada usaha pantas untuk menurunkan harga barangan terbabit.
Sudah kerap kita melihat pemimpin dan pegawai penguat kuasa membuat operasi di pasar-pasar raya besar. Selepas itu membuat kenyataan tidak berlaku kenaikan harga barangan yang ketara.
Memanglah di pasar raya kecil dan besar, harga barangannya boleh dikatakan berpatutan. Cuba pihak berkuasa berkenaan membuat tinjauan harga barangan di kedai-kedai kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Sekarang suasana sudah terbalik, ada harga sayur dan ikan di luar bandar lebih mahal daripada yang dinikmati oleh penduduk bandar.
Kadang-kadang saya simpati akan nasib peniaga kedai runcit di bandar dan pinggir bandar yang terpaksa bersaing dengan pasar-pasar raya. Tambahan pula mereka terpaksa mengambil barang daripada pemborong pada harga yang tinggi.
Kecualilah pasar raya yang sudah ada perjanjian dengan pemborong yang menetap harga yang mereka terima mengikut kontrak.
Kasihan juga kepada pengguna dan peruncit yang tersepit akibat tindakan mengambil kesempatan oleh kumpulan pemborong dan pengedar barangan keperluan.
Kalau cadangan memboikot kedai yang menjual harga tinggi dijalankan di seluruh negara, kesannya akan menutup rezeki dan pendapatan peniaga runcit terbabit sedangkan puncanya bukan salah mereka.
Oleh itu, pihak berkuasa usah memberi bermacam alasan dan cadangan. Kita minta minit-minit mesyuarat berupa cadangan dan pelan tindakan menangani fenomena kenaikan harga barangan yang disimpan di dalam komputer atau dalam fail-fail supaya dibuka semula. Kaji yang mana baik untuk dilaksanakan dan ambil tindakan segera.
Pengguna sudah letih memberi pelbagai cadangan, sekarang mereka mahu tindakan susulan yang segera.
Oleh : Aznan Anuan
No comments:
Post a Comment