MINGGU ini Kunta Kinte nak bincang sikit pasal titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenaan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.
Kalau kita baca surat khabar atau internet dan peduli hal ehwal agama kita, kita tentu tahu yang pada 3 Ogos lalu, pegawai JAIS dengan diiringi polis telah pergi ke gereja itu kerana ada laporan orang Islam terbabit dengan kegiatannya. Alhamdulillah, umat Islam Selangor ada Raja yang ambil berat soal hak dan kebajikan mereka. Bukan Kunta Kinte nak puji buta-tuli, tapi yang betul dan baik kita kena akui dan bagi pujian kalau kena tempat. Kalau yang ikut perkembangan semasa tentu dah baca macam mana pelbagai pihak, termasuk orang Islam sendiri, kutuk tindakan JAIS dan pertahan gereja. Ada yang belakangkan kepentingan agama sendiri kerana cita-cita politik dan ada yang kerana hendak jadi Muslim liberal.
Yang Kunta Kinte takut, puak-puak ini tak faham pun apa yang sedang berlaku. Maklumlah ada yang lebai dan tok guru, ada yang duduk di masjid dan surau dan ada pula yang tak peduli langsung soal agama.
Bukanlah Kunta Kinte nak puji diri, tapi lapan tahun, daripada Kelas Khas Melayu satu sampai Tingkatan Lima, Kunta Kinte belajar di sekolah mubaligh Kristian Roman Katolik. Jadi sikit sebanyak Kunta Kinte tahu hal agama Kristian.
Jadi betullah yang kita syak, cuma buktinya tak cukup kuat. Oleh sebab itu, macam titah Sultan Selangor, tidak ada tindakan undang-undang akan diambil, tapi 12 Muslim yang hadir kegiatan gereja itu akan dibagi kaunseling oleh JAIS.
Pada 10 Oktober lalu, baginda bertitah: “Selepas meneliti dengan mendalam laporan disediakan oleh JAIS dan selepas memperoleh nasihat daripada pihak berkuasa agama dan pakar perundangan, kami memutuskan bahawa tiada pendakwaan akan dikenakan ke atas mana-mana pihak.”
Merujuk kepada siasatan JAIS, baginda bertitah wujud keterangan yang ada cubaan hendak pesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam, tapi keterangan yang diperoleh tak cukup untuk ambil tindakan undang-undang.
Tok guru, tok lebai dan orang Islam yang duduk di masjid, surau, pondok dan madrasah, yang kuat akidah dan terlindung daripada godaan bolehlah buat main-main hal macam ini. Yang Kunta Kinte lebih bimbang, mereka ini tak tahu pun apa yang sedang berlaku di luar dunia mereka.
Hari ini, akibat kurang pengetahuan agama, kurang akidah, pergaulan yang luas dan kerana tekanan ekonomi dan emosi hidup dalam bandar, ramai remaja Islam dan orang Islam yang melarat terdedah kepada pujukan pengembang-pengembang Kristian.
Yang ramai orang Islam Malaysia tak tahu ialah ada banyak mazhab dan pecahan dalam agama Kristian. Mereka sangka orang Kristian semua sama.
Yang mereka tak tahu ialah ada berbelas-belas mazhab dan pecahan dalam agama Kristian di Malaysia. Sebab itulah, dalam satu kawasan atau sebatang jalan di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya, ada sampai empat atau lima buah gereja.
Mereka ini berlumba-lumba antara satu sama lain cari pengikut dan pengaruh. Mereka saling curi-mencuri pengikut. Ada mazhab dan pecahan Kristian yang sederhana macam Roman Katolik, tapi lebih banyak yang bersifat ‘avengelical’ yang gigih cari pengikut.
Di masjid kita jarang ada slogan. Kalau adapun suruh sembahyang sebelum disembahyangkan. Tapi ada gereja di Kuala Lumpur ini yang slogannya terpampang berbunyi ‘go make disciples’ – pergilah cari pengikut.
Dalam mereka berlumba-lumba cari pengikut dan pengaruh, mereka tak hadkan kepada orang Kristian saja. Orang yang tak ada agama, Orang Asli dan orang agama lain jadi sasaran.
Cuma, dengan orang Islam saja mereka tak boleh buat tak tentu hala sebab dicegah oleh Perlembagaan. Kalau tak dicegah, Kunta Kinte yakin mereka paling cergas di kalangan orang Islam sebab bilangan kita ramai.
Kita janganlah malu nak mengaku yang kebebasan beragama di Malaysia tidak mutlak. Di Malaysia, kita hanya bebas beragama dalam lingkungan agama kita masing-masing saja. Ini adalah kerana kita negara agama.
Kita bukan sekular macam Indonesia atau Singapura yang mana undang-undang tak cegah orang Islam tukar agama dan agama-agama lain pengaruhi orang Islam supaya jadi pengikut mereka.
Tapi Perlembagaan saja tak cukup kalau orang Islam, khasnya orang Melayu, tak hayati kandungannya dan tak ambil tahu mengenai agama-agama lain, mengenai ajaran mereka dan apa yang sedang mereka buat.
Sekarang ini, dalam masyarakat Kristian di Malaysia, ada apa yang dipanggil gereja-gereja bebas. Mereka inilah yang paling cergas cari pengikut dan pengaruh. Kita boleh nampak gereja mereka di mana-mana saja – di kawasan perumahan, di kedai-kedai dan dalam kompleks perniagaan.
Jadi eloklah kita ambil tahu juga hal agama-agama lain supaya kita boleh berjaga-jaga. Syukurlah, kita ada Raja-Raja Melayu yang jadi Ketua Agama di negeri masing-masing dan ada kuasa ke atas Jabatan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Kalau kita serah bulat-bulat kepada orang politik, boleh jadi jahanam agama kita pasal masing-masing dok fikir nak dapat perbatuan politik. Silap-silap, mimpi darul-Islam entah ke mana, Malaysia jadi negara sekular pula. Minta dijauhkan Allah.
Oleh : Kunta-kinte
No comments:
Post a Comment